Pages


Hello people,
Thanks for those whose been reading this Bahasa Melayu version of No. 6 Novel. I really enjoy translating No. 6 although I have to admit that its quite difficult to write in Bahasa Melayu.
Your comments, feedback and support are appreciated and I will try to improvise my self chapter by chapter. Email me at kkaigoku@yahoo.com should you have questions or to post comments.

Enjoy this ED song clip, Rokutousei no Yoru by Aimer. (Note: I do not own this video)



NEW UPDATE:


Friday, September 30, 2011

Vol. 1 Ch. 3 Bahagian a

BAB 3
Untuk terus hidup

Sion memasukkan kad pengenalannya ke dalam alat pengimbas kad di pintu Pejabat Pengurusan Taman. Pintu pejabat itu terbuka dengan senyap dan secara automatik sistem penapisan udara dan pengawalan suhu mula dihidupkan. Dia berasa sedikit aneh memandangkan dialah yang pertama tiba di pejabat pada hari itu sedangkan selalunya Yamase yang terlebih dahulu akan tiba sebelumnya. Sion segera menghidupkan sistem pengurusan taman dan ianya adalah permulaan kepada satu hari yang baru.

"Selamat pagi." Imej City Hall, iaitu The Moondrop muncul bersama-sama ucapan selamat pagi itu. "Sila ikrarkan kesetian anda kepada bandar -"

Dia meletakkan tangannya di atas imej Moondrop itu dan mula berikrar perlahan. "Dengan ini saya mengikrarkan kesetiaan saya yang tidak berbelah bahagi kepada bandar No. 6."

"Kami menghargai kesetiaan anda. Berkhidmatlah dengan penuh setia tanpa berbelah bahagi dan berbanggalah menjadi seorang rakyat Bandar ini." Imej Moondrop itu akhirnya menghilang dan digantikan dengan laporan keadaan setiap organisma hidup di dalam Taman itu. Sion menghela nafas lega. Upacara ikrar kesetiaan yang terpaksa diharunginya pada setiap hari itu sentiasa membuatkan dia berasa kurang senang. Walaupun Pejabat Pengurusan Taman itu agak tersisih kedudukannya dari pusat bandar, namun ia masih di bawah pengawasan kerajaan. Setiap pekerja dikehendaki membuat ikrar kesetiaan kepada bandar setiap pagi, dan jika mereka menolak, mereka boleh dipecat.

Bagi Sion, ia bukannya sesuatu yang bermasalah. Dia hanya perlu meletakkan tangannya di atas imej Moondrop itu dan mengulangi ayat-ayat yang sama. Walaubagaimanapun, dia memang bencikan upacara itu. Mengulangi upacara yang sama setiap hari membuatkan maruahnya sedikit tercalar. Dia masih ingat yang Safu juga merungut perkara yang sama kerana dia juga dikehendaki membuat ikrar itu memandangkan makmal tempat Safu belajar juga berada di bawah pengaruh kerajaan.

Sion menghembus telapak tangannya. Dia sedar yang tidak ada gunanya dia terus merungut dan tidak berpuas hati. Asalkan dia terus menjadi rakyat No. 6, asalkan dia masih tinggal di situ, tiada gunanya dia memikirkan tentang maruah dan rungutannya. Sion selalu memperingati dirinya.

Pintu pejabat itu tiba-tiba terbuka luas dan Yamase bersama-sama seorang wanita berusia 20-an bertubuh kecil dan berambut panjang berdiri di luar. Yamase menoleh dan memanggil wanita itu yang berdiri dibelakangnya, namun dia hanya menggeleng dan menundukkan kepalanya sedikit sebelum bergegas meninggalkan tempat itu. 

"Macam tu.." Sion menoleh memandang ke arah wajah Yamase.

"Jarang nampak kau bersama dengan perempuan. Dia tu..." Sion mahu menyebut perkataan 'teman wanita' namun dia segera membatalkan hasratnya apabila terpandang wajah rakan sekerjanya itu. Yamase duduk di hadapan panel kawalan dan berikrar kesetiaan kepada bandar dengan wajah yang agak tegang. Sion sedar yang itu bukannya masa yang sesuai untuk dia mengusik lelaki itu.

"Yamase, ada apa-apa yang tak kena ke?"

"Sion, perempuan tadi..." Yamase berhenti sejenak dan memandang tepat ke wajah Sion. "Dia ialah isteri kepada lelaki yang meninggal semalam."

"Huh?"

Jika benar begitu, jarak umur mereka berdua memang besar. No. 6 memang tidak mempunyai peraturan yang ketat dalam perkahwinan, asalkan kedua-dua belah pihak bersetuju dengan perkahwinan mereka, walaupun mereka tidak mendapat sijil perkahwinan yang rasmi dari kerajaan. Namun, apa yang dititik beratkan oleh kerajaan ialah kelahiran anak mereka. Mereka-mereka yang tidak mencapai kriteria yang standard seperti yang ditetapkan oleh bandar itu, adalah dilarang sama sekali untuk melahirkan bayi. Sion sendiri kurang pasti dengan apakah standard yang dimaksudkan.

"Perempuan tu kata mereka cuma beza 3 tahun saja." Yamase membalas perlahan. Namun nampaknya Sion kelihatan bingung. "Lelaki semalam tu cuma 3 tahun lebih tua dari dia je." Ulang Yamase.

"Tiga tahun? Tapi..."

Yamase mengangguk. "Lelaki semalam tu baru berumur 31 tahun."

"Mustahil!" Sion berteriak pantas. "Tak mungkinlah. Tengok macam mana pun, mayat lelaki semalam tu ialah mayat lelaki tua."

"Betul." Nada suara Yamase semakin berat. "Aku pun terkejut jugak. Tapi, mayat tu tak dipulangkan kepada perempuan tadi. Mereka simpan mayatnya di Biro."

"Simpan? Jadi, maksudnya walaupun mereka buat bedah siasat pun, punca kematian masih belum dikenalpasti?"

"Rasanya macam tu lah."

Mereka masih belum dapat kesan sebab kematian? Sion tidak dapat membayangkan bagaimana teknologi perubatan di No. 6 yang canggih itu masih belum dapat mengesan sebab kematiannya. Bidang perubatan telah lama dapat menganalisa kewujudan organisma hingga ke skala nanometer. Satu sel biasa berukuran kira-kira 20 mikrometer manakala satu makrometer adalah 1000 kali lebih besar dari satu nanometer. Jadi, semua sel-sel penyakit yang berada dalam skala makrometer sepatutnya dapat dikesan dan dianalisa dengan mudah. Tapi kenapa...

Badan Sion mulai menggigil. Rigor mortis yang tidak normal, kadar pelesapannya yang luar biasa, dan mayat seorang lelaki yang jelasnya ialah seorang lelaki tua - apa maksud semua ni? Sion benar-benar runsing. 

Pada ketika itu, Yamase mula menyambung kata-katanya lagi dengan nada yang semakin merendah. "Puan tadi bagitahu aku yang suaminya meninggal dunia disebabkan kemalangan di taman, dan dia kena tunggu lagi sampailah mereka tahu apa penyebab kematian suami dia tu. Dia datang sini hari ni sebab dia nak tengok kat mana kemalangan tu berlaku."

"Kemalangan? Mengarut!"

"Kau memang betul. Semua tu mengarut. Perempuan tu ditipu hidup-hidup." Yamase membalas dan menggaru-garu lehernya yang terasa gatal itu.

"Yamase, kenapa Biro Sekuriti perlu menipu pasal ni? Dan pelik jugak mereka masih belum jumpa sebab kematian lelaki tu."

"Yelah. Kejadian ni memang pelik."

"Kalaulah pihak Biro masih tak tahu apa sebanya, maksudnya sebelum ni benda ni tak pernah berlaku lagi lah kan?"

"Tak pernah berlaku?"

"Yelah, lelaki tu mati disebabkan sesuatu sebab yang tak diketahui sampai sekarang, maksudnya ini adalah kejadian yang pertamalah, kan?"

"Sion! Apa yang kau..." Yamase mematikan kata-katanya. Wajahnya pucat dan Sion sedar yang wajahnya juga pasti kelihatan pucat juga.

"Jomlah kita minum kopi." Yamase bangkit berdiri tiba-tiba seolah-olah dia tidak mahu lagi terbeban dengan keadaan yang tegang itu. Dia mahu melgakan perasaannya segera. 

Sion turut bangun. "Oh, biar aku buatkan."

"Tak apa. Biar aku bancuh. Kau suka letak banyak susu kan, Sion?"

"Terima kasih." Sion berhenti sejenak selepas itu. "Jadi- kalaulah ada orang lain tengok mayat tu, mereka pun pasti akan kata itu bukannya kemalangan kan?"

Yamase menoleh memandang ke arahnya dengan wajah yang berkerut. 

"Yamase?"

"Sion, kalau kau nak tahu, sebenarnya keadaan mayat boleh diubahsuai."

"Huh?"

"Aku.. sebelum aku kerja di sini, aku pernah kerja di Hospital pusat bandar. Kerja aku dulu ialah mengubahsuai keadaan mayat." Kata Yamase sedikit teragak-agak.

"Ubahsuai? Apa maksud kau ni?"

"Sebenarnya, aku tak mahu beritahu sesiapa tapi..." Yamase masih teragak-agak. "Sion, kau pernah tengok mayat tak sebelum ni?"

"Pernah sekali masa majlis pengebumian datuk sebelah ibu aku. Aku tengok mayat datuk dalam keranda."

"Macam mana mayat datuk kau tu?"

"Macam mana... Ermm.. dia nampak tenang. Bukankah semua mayat memang nampak macam tu?"

"Kau betul-betul rasa macam tu?"

"Maksud kau, mereka sebenarnya tak tenang ke?"

Teknologi perubatan zaman sekarang ini semakin maju bukan sahaja untuk merawat dan mencegah penyakit malah untuk menghilangkan kesakitan juga. Teknologi maju ini dapat menghilangkan apa saja, samada yang berpunca dari kemalangan atau penyakit, kesakitan ketika dibedah, kesukaran bernafas, malah sakit tenat ketika di ambang kematian. Orang tidak lagi merasai kesakitan dan semuanya meninggal dunia dengan wajah yang tenang dan damai. Itulah apa yang pernah diberitahu kepada Sion dulu.

Yamase menyerahkannya segelas cawan kopi sebelum menundukkan wajahnya sambil menggaru-garu lehernya.

"Memanglah teknologi perubatan sekarang dah canggih dan maju," Yamase berkata. "Tapi apa yang aku tahu ialah... walau bagaimana canggih pun sesuatu teknologi tu, mustahil untuk manusia mati dengan tenang. Aku memang betul-betul pasti tu." Wajah Yamase semakin berkerut. Tangannya yang memegang cawan kopi kelihatan menggigil.

"Aku kerja di makmal bawah tanah di Hospital Pusat tu dah lama. Kerja aku ialah ubahsuai mayat-mayat yang dihantar ke sana."

"Yamase, apa sebenarnya kerja ubahsuai mayat ni?"

"Kerjanya senang saja. Bila kami terima mayat, aku perlu salutkan muka dia dengan sejenis bahan kimia. Dan lepas tu - "

"Lepas tu?"

"Lepas tu, mayat tu akan tersenyum seolah-olah mereka sedang bermimpi indah."

Sion terkedu. Apa yang dikatakan oleh Yamase memang sama. Ketika dia berusia 9 tahun, dia melihat wajah mayat datuknya tersenyum di dalam keranda.

"Datuk kamu macam tengah bermimpi indah, kan?" Dia masih ingat ibunya pernah berbisik di telinganya.

"Mestilah kebanyakan orang yang meninggal dunia tak perlu diubahsuai. Mereka tu yang memang betul-betul meninggal dunia dalam keadaan tenang dan terjaga. Tapi, bukan semuanya macam tu. Memang ada sebilangan kecil manusia yang meninggal dunia dalam keadaan tragik dengan muka mereka yang dalam kesakitan dan kesedihan."

"Contohnya?"

"Huh?"

"Orang-orang yang macam mana meninggal dunia dengan tragik macam tu, Yamase?"

Yamase menarik nafasnya dan menghirup kopinya sehingga habis. "Aku tak tahu. Kerja aku cuma menyalut muka mayat dengan bahan kimia tu saja. Aku tak tahu kenapa mereka meninggal dunia dan tak ada sesiapa pun yang bagitahu aku." Katanya. "Tapi, ada sekali ni aku terima mayat seorang lelaki pertengahan umur. Selalunya kami kena lap muka mayat sebelum letak bahan kimia tu di mukanya dan aku perasan yang di mukanya ada kesan air mata. Aku teka dia menangis sebelum dia mati. Aku rasa, dia mungkin bunuh diri."

"Bunuh diri? Penduduk bandar ni?"

"Kau ingat tak ada ke?" Yamase menyoal dengan nada suara yang rata.

"Dalam statistik kematian penduduk No. 6 sejak 10 tahun lalu, cuma 0.05% saja kes bunuh diri. Itupun kebanyakannya disebabkan mereka ialah penghidap penyakit psikiatri, jadi mereka tak patut masuk dalam kriteria bunuh diri tu."

"Itu statistik yang diwartakan sajalah. Bukan semuanya." Yamase membetulkan kata-kata Sion.

Di bandar No. 6 ini, tidak wujud istilah putus harapan. Kesemua penduduknya menikmati kehidupan yang selamat dan terlindung. Tiada kelaparan, tiada peperangan, tiada penderitaan. Malah, tiada kesakitan ketika berada di ambang kematian. 

Kamu semua dah diprogram untuk fikir yang tempat ini ialah sebuah utopia yang sempurna.

Nezumi pernah menyatakan ayat ini empat tahun lalu. Dan sekarang, Sion sedang mengalami realiti di sebalik kata-katanya satu demi satu. Lost Town ialah bandar yang dipenuhi dengan orang-orang yang kehilangan harapan. Mereka memang cukup makan, dan dapat meneruskan kehidupan namun mereka tidak punya harapan untuk masa depan. Mungkin bukan di Lost Town sahaja - mungkin juga di Chronos. Berapa orang di muka bumi ini yang dapat mati dengan senyuman dan mengaku yang kehidupan mereka benar-benar memuaskan?

"Yamase, kau rasalah pihak Biro sedang memanipulasi maklumat ke?"

"Sion!" Yamase memberi amaran keras sambil mengerutkan kening seraya menggelengkan kepalanya. "Jangan cakap benda macam tu. Kita bekerja untuk Bandar ni dan kita dah beri ikrar kesetiaan kita. Kita tak patut cakap pasal benda ni. Aku tak tahulah apa dah jadi pada aku. Lupakan semuanya yang aku cakap tadi. Lupakan saja."

"Yelah." Sion membalas dengan hati yang masih ragu-ragu.

"Bagus. Sekarang masa untuk kita kerja. Kat mana kawasan utama hari ni?"

"Kawasan JK01 dan ER005. Kena sapu daun-daun."

"Okey, mari mula kerja."

"Okey." Mereka mula menekan-nekan panel kawalan robot-robot pembersihan di Taman sebelum kedengaran suara Yamase mengaduh sedikit.

"Yamase?"

"Ah- tak ada apa-apa. Cuma jari-jari aku rasa semacam."

"Sakit?"

"Tak, tak...rasa macam kebas..." Kata-katanya terhenti secara tiba-tiba dan dia kemudian jatuh berteleku di lantai sambil menutup muka dengan telapak tangan.

"Kau okey tak ni?" Sion sedikit cemas.

"Mata aku.... aku tak nampak. Kabur..."

Baru sahaja Sion hendak menghulurkan tangannya untuk membantu Yamase, dia terus mematikan hasratnya apabila melihat rambut Yamase mulai berubah menjadi putih. Tompok-tompok mula kelihatan di tangan yang menutup wajahnya. 

"Sion... apa- apa yang dah jadi pada aku?"

Tubuh Sion terkaku tatkala dia melihat Yamase berubah menjadi seorang lelaki tua di hadapannya secara tiba-tiba. Perubahan yang teramat pantas itu amat mengejutkannya apatah lagi apabila dia melihat Yamase mulai merengkot di lantai dan tubuhnya kekejangan kerana mengalami kesukaran untuk bernafas. Sion pantas menghampiri interkom kecemasan.

"Kecemasan. Kami perlukan ambulans. Cepat!"

Yamase terbatuk lemah. Apa yang dah berlaku ni? Sion seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Semuanya kelihatan tidak realistik dan dia benar-benar panik- tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Namun begitu, sebahagian daripada dirinya masih tenang. Perhati. Analisa. Tengok betul-betul. Perhatikannya dan serap semuanya sebagai satu pengetahuan.

Sion menelan air liurnya lalu mengangkat tubuh Yamase di lengannya. Selepas beberapa lama tubuhnya kejang, akhirnya dia kaku tidak bergerak. Jantung Sion berdegup pantas.

"Yamase?" Wajah Yamase memang tidak syak lagi kelihatan berusia malah lebih berusia dari umur seseorang yang masih hidup. Sion memeriksa nadi dan kelopak matanya. Dalam masa seminit sahaja, tubuh Yamase menjadi dingin seperti ais.. Mulutnya terbuka besar, sama seperti keadaan mayat di Taman Hutansemalam.

Sion, apa dah jadi ni? Aku tak percaya. Sion tidak dapat membayangkan ayat-ayat itu yang terbit dari bibirnya sendiri.

Aku kena tutup mata dia. Sion menekan jarinya di kelopak mata Yamase. Matanya tidak tertutup, malah dia sedar yang proses rigor mortis sudah pun bermula.

Sion jatuh terjelupuk di sebelah Yamase, menggenggam penumbuknya dan terus merenung mayat rakan sekerjanya yang baru sahaja berbual dengannya beberapa minit yang lalu. Tubuh Yamase benar-benar kaku.

Perhati. Analisa. Tengok betul-betul. Perhatikan dan serap semuanya sebagai satu pengetahuan. Dan ingat. Ingat. Ingat-

Sistem respiratori dan aktiviti kardiovaskular yang terhenti. Suhu badan yang merendah. Rigor mortis. Tompok-tompok. Perlesapan rigor mortis. Fenomena post-mortem yang sepatutnya akan berlaku selepas berbelas-belas jam, kini hanya memakan masa selama lima belas, tidak enam belas minit. Ianya bagaikan sedang menonton sebuah filem yang dipercepatkan.

Sion terus memerhatikannya dengan mata yang terbuka luas seolah-olah seperti dapat mengagak apa yang bakal berlaku kemudian. Sion sedang berpeluh. Peluhnya yang hangat itu menitik dari dahi hingga ke pipinya. Kehangatan itu memastikannya yang dia masih hidup.

Manusia yang hidup memang hangat. Kau memang betul, Nezumi. Badan manusia hangat sebab mereka masih hidup. Dan kau telah mengetahuinya empat tahun lalu.

Satu tompok berwarna hijau kehitaman mula kelihatan di leher Yamase. Sion menggigit bibirnya kuat hingga  dia terasa darahnya sendiri yang termasuk ke dalam mulut. Itulah dia, ia dah bermula - apa yang masih belum pernah berlaku sebelum ini. Sion menjengah ke hadapan untuk melihat dengan lebih teliti. Kesan tompokan itu bergerak-gerak dan kini sebahagian kulit Yamase kelihatan membengkak sedikit.

Bunyi penggera kedengaran menandakan Sampo telah mengesan objek yang tidak dikenalpasti ketika membuat rondaan. Sion tidak menghiraukannya walaupun sedikit. Kesemua sistem sarafnya terlalu tertumpu pada kesan di leher Yamase itu. Matanya tertancap lama padanya dan menantikan sebarang perubahan seterusnya.

Tidak lama selepas itu, Sion mula berteriak ketakutan sambil memegang dadanya apabila 'sesuatu' sedang memakan isi leher Yamase dari dalam melalui kesan itu. Sion terjatuh ke belakang dan jantungnya menendang kencang. Seekor serangga akhirnya keluar sepenuhnya dari leher Yamase - bersama sayap-sayap kecil, enam kaki yang berbulu dan sepasang antena. 

"Lebah.."

Seekor lebah baru sahaja keluar dari badan seorang manusia. Mana mungkin-

Lebah itu terbang tinggi di dalam pejabat itu. Mata Sion mengekori pergerakannya hinggalah dia ternampak ambulans dari Biro Perubatan yang berhenti di hadapan pejabat melalui tingkap. Dan matanya mulai terasa gelap sebelum dia rebah ke lantai. Serangga itu terbang mengelilingi bilik itu. Dalam kekaburan itu, Sion mengerang di lantai.

Sion terjaga apabila satu cahaya menyuluh ke dalam matanya. Dia dapat mendengar suara seorang lelaki bercakap dalam keadaan berbalam-balam.

"Dah bangun?"

Cahaya matahari memancar terik dari tingkap dan lelaki yang bercakap dengan Sion itu sedang berdiri membelakangi cahaya itu. Wajahnya kelihatan tidak jelas.

"Bangun. Saya ada benda nak tanya awak." 

Sion seperti pernah mendengar suara itu. Dia akhirnya tersedar yang dia sedang berbaring di atas sofa pejabatnya. Yamase yang dibalut dengan sehelai kain putih, sedang dibawa keluar dari bilik itu.

"Yamase."

Tanpa disedari, Sion memanggil nama rakan sekerjanya. Wajah senyum Yamase muncul di benak fikirannya untuk seketika bersama-sama memori lama mereka bersama-sama. Sejujurnya, mereka berdua bukanlah terlalu rapat. Bagi Sion, Yamase bagaikan seorang rakan sekerja yang lebih tua. Mereka tidak pernah bergaduh, malah tidak pernah juga berbual perkara-perkara yang terlalu peribadi. Namun, Sion memang sukakan Yamase. Lelaki itu tidak pernah menyibuk dan suka mengambil tahu hal orang lain, namun itu tidak bermakna dia langsung tidak pedulu. Dia ialah seorang lelaki biasa yang baik dan tidak lebih dari itu.

"Yamase." Mata Sion mulai hendak berkaca. Seketika kemudian dia terasa bahunya disentuh seseorang.

"Lepas ni awak boleh sedih-sedih, okey." Lelaki itu berkata dengan nada suara yang malas tanpa secalit emosi menyebabkan hati Sion berasa sedikit gentar.

"Boleh awak ceritakan pada kami apa yang berlaku?" Suara itu, Sion amat pasti dia pernah mendengarnya sebelum ini.

"Encik ni..."

"Lama tak jumpa, kan? Baguslah awak masih ingat saya."

Dia ialah Rashi, pegawai penyiasat dari Biro Sekuriti - seorang lelaki yang masih mempunyai suara yang lembut namun mata yang  dingin seperti empat tahun lalu. Lelaki yang sama yang menyoal siasatnya empat tahun lalu.

"Awak akan beritahu kami apa yang awak tahu, kan?"

Sion mengangguk laju tanpa disedarinya. Dia mulai berasa mindanya menjadi kusut, kepala dan badannya terasa berat dan suaranya kedengaran seolah-olah dia berada di tempat yang jauh.

Habislah aku.

Hatinya mulai berbisik memberikan amaran. Kali ini, dia tidak dapat mengawal kata-katanya seperti semalam lagi. Setiap soalan yang diajukan Rashi dijawab seolah-olah setiap jawapan sedang dipaksa keluar dari mulutnya.

"Lebah?" Kening Rashi bercantum. Dia mula memandang sekeliling dan mengangkat kepala ke udara. Tiada lebah atau apa-apa serangga pun kelihatan di dalam bilik itu ketika itu. 

"Saya tak percaya."

"Pergi periksa leher Yamase, sepatutnya ada kesan parut - " Dia menelan kata-katanya semula dengan wajah yang pucat. Sepatutnya ada kesan parut... Sepatutnya kesan parut yang sama turut berada di leher mayat lelaki semalam. Pihak Biro telah menyiasat kes semalam sebagai kematian luar biasa, dan tak mungkinlah mereka tidak menemui kesan itu. Mereka memang perasan, namun mereka masih memberitahu isteri kepada lelaki yang meninggal dunia itu yang kematian suaminya adalah disebabkan kemalangan. Mereka sengaja tidak mahu sebab kematian itu diketahui orang.

Sion melemparkan pandangannya menjauhi dari mata Rashi. Dia tahu yang dia terlalu banyak bercakap dan dia sedang ditimpa masalah. Dia telah mendedahkan segala-galanya yang dia tahu, fakta yang mungkin pihak Biro tidak mahu diketahui oleh orang luar - rahsia sulit yang mereka mahu sembunyikan. Kalau macam tu - 

"Dulu, awak ambil kelas ekologi, kan?"

"Saya pernah nak ambil, tapi tak sempat. Sekarang saya dah tak ada kena-mengena dengannya lagi."

"Awak berminat dengan biologi serangga juga?"

"Ekologi melibatkan semua interaksi antara spesis-spesis hidupan dengan persekitarannya. Bukan serangga saja yang saya minat."

"Ah, ye ke? Jadi, apa maksud awak dengan interaksi antara spesis-spesis hidupan dengan persekitarannya?"

"Itu-"

Sion mulai sedar dahinya sudah berpeluh dingin. Rashi kemudian mengukir senyuman nipis penuh rahsia walaupun nada suaranya kedengaran senada sahaja. Pandangan matanya tidak pernah lari dari memandang wajah Sion. Tidak lama kemudian, dua orang pegawai Biro Sekuriti menghampiri Rashi dan salah seorang daripada mereka berbisik di telinganya.

Selepas itu, Rashi pula bercakap sambil memandang tepat ke wajah Sion. "Saya harap awak tak kisah ikut kami ke Biro Sekuriti sekejap."

"Huh?"

"Tak ada apa-apa pun. Kami cuma nak dengar cerita awak saja. Ianya takkan ambil masa yang lama."

"Saya.."

Kedengaran bunyi penggera dari alat kawalan menandakan Sampo sedang menghantar isyarat ralat 'objek tidak dikenalpasti'.

"Maafkan saya. Saya kena jaga robot-robot ni."

"Tak perlu. Awak pun mesti tak boleh buat kerja untuk hari ni."

Sion tidak menghiraukannya lalu terus menghidupkan kamera. Seekor tikus kecil berwarna kelabu muncul di skrin dan ia sedang berlari-lari di atas lengan Sampo. Mulut tikus itu kelihatan bergerak-gerak, lalu Sion segera mendekatkan earphone ke telinganya dan menguatkan sensor bunyi di badan Sampo.

"Sion." Suara Nezumi berkumandang di telinganya. "Keluar dari situ. Kau dalam bahaya."

Apa?

"Keluar dari situ."

Klik. Dia mendengar satu bunyi di belakangnya dan apabila dia berpusing, dia menyedari yang dia sedang diacukan dua laras senapang. Dia tidak tahu apakah jenis senjata itu, namun dia dapat mengagak yang senjata itu bukanlah senjata berteknologi tinggi - ianya adalah model lama, model yang lebih efektif untuk membunuh. Pemburu-pemburu memang sukakan senjata begini. Sion segera menghidupkan pembesar suara di badan Sampo senyap-senyap supaya Nezumi dapat mendengar suaranya pula. 

"Encik nak tahan saya?"

"Nampaknya macam tu lah. Awak mesti ikut kami sekarang."

"Apa sebabnya encik nak tahan saya?"

"Sebab? Tak perlu tu. Tapi, kalau awak nak tahu jugak, basikal awak boleh dijadikan sebab kenapa saya tahan awak."

"Basikal saya?" Dahi Sion berkerut.

"Awak gunakan basikal yang tidak mempunyai pengehad kelajuan. Itu menyalahi undang-undang dan cukup untuk buat awak ditahan."

"Apa - merepek betul alasan tu. Disebabkan alasan yang remeh tu, tanpa prosedur yang sepatutnya, dan menggunakan kekerasan, encik nak tahan saya? Macam ni ke kamu semua tahan penduduk bandar ni? Mana hak saya sebagai seorang warganegara?"

"Warganegara? Hak?" Rashi tersenyum menyindir dengan mata yang kelihatan bersinar. "Awak ingat awak ada semua tu?"

Sion dapat mendengar Nezumi membunyikan lidahnya. Tsk.

"Rasanya aku takkan sempat." Sion berbisik perlahan sambil menarik nafasnya dan mula hendak mematikan sistem komputernya. Namun, sebelum ianya terpadam, dia terdengar satu mesej pendek dari Nezumi dengan jelas sekali.

"Sion, jangan panik. Aku datang tolong kau."

(bersambung di bahagian b)

No comments:

Post a Comment