Pages


Hello people,
Thanks for those whose been reading this Bahasa Melayu version of No. 6 Novel. I really enjoy translating No. 6 although I have to admit that its quite difficult to write in Bahasa Melayu.
Your comments, feedback and support are appreciated and I will try to improvise my self chapter by chapter. Email me at kkaigoku@yahoo.com should you have questions or to post comments.

Enjoy this ED song clip, Rokutousei no Yoru by Aimer. (Note: I do not own this video)



NEW UPDATE:


Sunday, October 9, 2011

Vol. 1 Ch. 4 Bahagian a

BAB 4 
Ketakutan yang tidak diduga

Sion tidak menjangkakan air kumbahan itu mengalir dengan begitu deras, malah sangat dalam. Objek-objek yang tidak dikenalpasti juga terapung di hadapan mukanya malah ada juga yang tersangkut di gogglenya, menghalang penglihatan Sion. Dia dapat menghidu bau-bauan yang tidak pernah dihidunya sebelum ini, bau yang begitu menusuk hidung, gabungan bau sesuatu yang amat busuk dengan bau masam manis seperti peluh. Dalam kesuraman itu, dia hampir tidak dapat mengikut rentak Nezumi yang berenang di hadapannya. Sion tidak dapat bernafas dan dadanya terasa amat sakit seperti dicucuk-cucuk.

Nezumi dan Sion mencapai pemegang besi yang dilekatkan di dinding dan mereka bersama-sama memulas dan menariknya sekuat yang boleh. Satu bukaan bulat mula terbentuk di dinding itu.

Sion tidak dapat bernafas. Dirasakan dirinya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Perlahan-lahan dia semakin hilang kesedaran sebelum tubuhnya mula disedut ke dalam bukaan lubang bulat itu. Dia ditarik, ditolak ke atas dan terhumban ke daratan. Tubuhnya sakit terhempas ke tebing, hinggakan hentakan itu terasa hingga ke hujung ibu jari kaki. Namun kini, Sion dapat menghidu udara semula, bernafas sedalam-dalamnya. Hatinya berasa lega, diselang-seli dengan batuk yang teruk yang dikeluarkan oleh tekaknya. Tekaknya terasa loya dan bahagian dalam mulutnya terasa melekit-lekit. Sion menanggalkan gogglenya dan menutup mata. Untuk seketika, dia tidak dapat bergerak.

"Masih awal untuk kau tidur," Nezumi sempat berjenaka dengan nafas yang masih termengah-mengah, seperti Sion. Sion membuka matanya hanya untuk melihat permukaan konkrit yang kosong di sekeliling.

"Kita kat mana?"

"Dalam paip pembentungan. Artifak abad ke-20. Mungkin bukan artifak, sebab paip ni masih digunakan." Nezumi menggeleng-gelengkan kepalanya dengan kuat seperti seekor haiwan hendak mengeringkan bulunya selepas mengalami kebasahan. Titisan air jatuh dari rambutnya ke lantai. "Kalau air kumbahan dah nak melimpah, mereka akan buka pintu belakang dan mengepam air tu ke dalam paip-paip ni."

"Mereka mengepam air kumbahan ke bawah ni? Tak tapis dulu?"

"Ya. Bandar kesayangan kau tu selalu juga buat macam ni."

"Air kumbahan ni mengalir ke mana?"

"West Block."

"Jadi mereka pam air kotor - sampai hati mereka..." Sion mula kehilangan kata-katanya. Nezumi pula bangkit berdiri.

"Dia tak nampak West Block sebagai sebahagian dari Bandar. Dia mungkin nampak tempat ni macam tempat buang sampah saja."

"Dia?"

Nezumi berdiri tegak tanpa menjawab soalan Sion sambil memandang ke hadapan tanpa berkelip.

"Jom pergi." Dia tunduk ke lantai untuk mencekup seekor tikus yang sedang berlari-lari di kakinya sebelum berpusing membelakangi Sion. Sion turut bangun dengan tekak yang masih meloya, seperti akan menghamburkan segala isi perutnya tidak lama lagi. Namun, dia masih mempunyai sedikit tenaga di kaki untuk berdiri. Aku masih ada tenaga. Aku takkan apa-apa. Sion cuba merangsangkan fikirannya sendiri sambil memandang ke arah tikus yang menjadi penunjuk arah mereka tadi di atas bahu Nezumi.

"Ah!" Sion meletakkan tangannya di leher. Lehernya terasa sedikit aneh dengan ada bahagian yang terasa kebas. Sion menyentuh bahagian itu dengan jarinya. Jarinya terasa kesan lepuhan kecil sebesar kacang dilehernya dan bahagian itu terasa gatal sekali. Dia menggarunya perlahan. Untuk seketika, dia terasa tubuhnya sedikit sejuk. Jantungnya berdegup kencang.

Garu leher - dia seperti pernah melihat seseorang melakukannya sebelum ini.

"Yamase." Imej Yamase yang sedang menuangkan kopi sambil berbual dengannya dan menggaru lehernya mula timbul di benak fikiran Sion. "Takkanlah..."

Nezumi berpusing. "Kenapa?"

"Tak ada apa-apa."

"Lebih baik kau jangan nak merungut yang kau tak larat nak jalan dah."

"Mana ada," Kata Sion, " Aku macam tengah bersenam je ni. Kau nak aku sikut kau di belakang aku?"

"Baiknya kau, tapi terima kasih je lah."

Tikus di atas bahu Nezumi berdecit kecil memandang Sion yang cuba berjalan laju mengejar Nezumi."

Dia terlalu banyak berfikir. Ianya hanya kesan melepuh. Kesan geseran di lengan dan badannya yang lebam-lebam itu lebih teruk dari ini. Ianya hanya kesan melepuh saja...

"Kenapa muka kau serius sangat ni? Rindukan mama kau ke?"

"Ibu aku..." Sion bergumam. "Nezumi, kau rasa aku boleh hubungi dia tak?"

"Lupakan saja niat kau tu."

"Kenapa?"

"Kau pun tahu, kan? Sekarang ni, Biro Sekuriti mesti tengah mengawasi rumah kau sampailah ke bakul sampah kau. Kau memang takkan boleh berhubung dengan dia melainkan kau ada kuasa telepati."

"Betul juga cakap kau."

-Ibu, maafkan saya. Dia hanya mampu memohon maaf. -Saya selamat. Saya masih hidup. Jadi tolonglah- Dia tidak mahu ibunya bersedih. Dia tidak mahu ibunya berduka.

"Bullshit!" Nezumi menyumpah.

"Apa dia?"

"Kaulah"

Itulah pertama kalinya Sion dihina terang-terangan begitu.

"Apa maksud kau ni?"

"Apa yang aku nak cakap ialah kau ni memang teruk sebab hidup kau rasa terbeban dengan benda-benda macam ni, benda-benda kesayangan ni cuma akan membebankan kau saja. Kau akan terikat dengan bebanan ni selama-lamanya." Nezumi mengecilkan matanya dan merenung Sion dengan tajam. Matanya tajam menikam, dipenuhi dengan perasaan seperti sedang berperang dengan seorang musuh tradisi.

Sion ingin membuka mulut menyoal Nezumi dengan lebih lanjut, namun lelaki itu mula memandang terus ke hadapan. Sebuah tangga berkarat kelihatan terlekat di dinding paip itu menuju ke atas. Sebaik sahaja dia naik ke permukaan, wajahnya disapa dengan angin petang. Dia sekarang berada di permukaan semula. Langit petang itu dihiasi dengan warna oren senja dan angin sejuk yang terasa hingga ke tulang.

Tempat itu kelihatan seperti pintu masuk ke West Block. Dari kejauhan, dinding luar No. 6 kelihatan berkilau dipanah mentari yang hampir terbenam itu. Memandangkan West Block terletak di tanah rendah, bandar No. 6 kelihatan amat besar sekali di mata Sion.

Nezumi mula berjalan ke arah yang bertentangan. Mereka melalui kawasan belukar hinggalah tiba di sebuah kawasan runtuhan sebuah bangunan. Asap keluar berkepul-kepul dari runtuhan bangunan itu dan Sion dapat mendengar suara-suara manusia di dalam.

"Ada orang ke tinggal dalam tu?"

"Ramai." Nezumi membalas.

Mereka kemudian melalui sebaris kawasan berek selepas melintasi runtuhan bangunan itu.

"Ikut sini." Lengan Sion ditarik ke arah satu lagi kawasan runtuhan bangunan yang kelihatan seperti sebuah gudang sebelum ini. Bangunan itu agak luas, namun hanya sebahagian sahaja yang musnah teruk.

"Kita akan masuk ke bawah tanah lagi." Nezumi menekan di satu kawasan di dindingnya dan ia mula bergerak membentuk satu laluan. Kelihatan sebuah tangga yang diperbuat dari konkrit seperti tangga di dalam terowong pusat kumpahan tadi. Tikus di atas bahu Nezumi berlari-lari menuruni tangga itu. Sion dapat melihat sebuah pintu sebaik sahaja menuruni tangga itu. Pintu itu dibuka dan dalamnya kelihatan amat gelap sekali. Kedengaran satu bunyi 'klik' sebelum bilik itu disimbah dengan cahaya yang malap.

Sion terlopong dan matanya tertancap pada satu bahagian di dalam bilik itu. Beratus-ratus buah buku kelihatan tersusun tinggi malah hampir setiap sudut bilik itu boleh dikatakan dipenuhi dengan buku.

"Semua ni, buku?"

"Habis tu, kau nampak macam makanan ke?"

"Aku tak pernah tengok buku sebanyak ni."

"Aku agak kau mesti baca benda-benda elektronik saja sebelum ni, kan?"

"Ya, emm... tak jugak, tapi... tapi wow, hebatlah."

"Dan aku rasa kau mesti tak pernah baca Moliere, Racine atau Shakespeare sebelum ni. Kau mesti tak tahu apa-apa pasal karya klasik negara China ataupun misteri kaum Aztec kan?"

"Tak pernah." Sion tidak mahu membantah buat masa sekarang.

"Habis tu, apa yang kau tahu?" Soal Nezumi sambil menggosok rambutnya yang basah itu.

"Huh?"

"Apa yang kau belajar sampai sekarang? Pengetahuan sistematik, teknologi-teknologi canggih, apa lagi?"

"Banyak lagilah." Sion membalas dengan marah.

"Macam apa?"

"Macam cara nak buat kek, cara nak bancuh kopi, menyelenggara taman ... dan sekarang ni, aku pun dah tahu macam mana nak menyelam dalam air kumbahan."

"Kau lupa 'macam mana cara nak tolak ajakan seorang perempuan yang nak tidur dengan kau dan cuma anggap dia macam kawan biasa'. Yang tu, kau memang tak pandai." Nezumi menyindir.

Sion mengangkat dagunya dan menentang mata kelabu Nezumi itu dengan berang. "Boleh tak kau biar aku mandi dan bersihkan diri sebelum kau nak kutuk aku?"

"Aku dulu." Nezumi menarik sehelai tuala dari celahan beberapa buah buku dan melemparkannya kepada Sion. "Janganlah marah.," katanya. "Apa yang aku maksudkan ialah kau memang dah tahu banyak benda sejak 4 tahun lalu. Kau dah belajar banyak benda yang lebih berguna selain daripada cara nak buat koko."

"Aku berbesar hati dengar kau puji aku."

"Hei, betul ni, kau janganlah marah."

Nezumi menghilang di sebalik timbunan buku-bukunya. Tidak lama kemudian, Sion dapat mendengar bunyi paip air hujan dibuka dan titisan air jatuh ke lantai. Dia sempat melihat-lihat keadaan sekeliling. Rak-rak buku kelihatan meninggi di dalam bilik itu dan semuanya dipenuhi dengan buku. Buku-buku itu tidak disusun mengkut turutan saiznya. Sion terasa seperti berada di dalam kesesakan dan keriuhan di stesen keretapi. Karpet yang lusuh di atas lantai jelasnya berwarna hijau dahulu dan turut ditimbuni buku-buku. Sebuah katil terletak di satu sudut. Tiada tingkap. Tiada dapur dan tiada perabot-perabot lain di bilik itu.

Cheep cheep

Seekor tikus berdecit dari atas sebuah buku. Sion mengambil buku itu dan membukanya, dan hidungnya menangkap bau kertas di buku itu. Dia masih ingat yang dia pernah mencium bau yang sama, lama dulu. Dia sedang duduk di atas sesuatu yang lembut dan hangat - memorinya sedikit pudar. Dia tidak dapat mengingatinya. 

Tikus itu memanjat lengannya dan duduk di bahunya. Ia menggosok-gosok misainya dan berdecit kuat.

"Kau nak aku baca ni?"

Cheep cheep

Sehelai penanda buku diletakkan di tengah-tengah buku itu. Sion membuka mukasurat itu dan mula membacanya kuat.

Here's the smell of the blood, still. All perfumes of Arabia will not sweeten this little hand. Oh, oh, oh
- What a sigh is there. The heart is sorely charged.
- I would not have such a heart in my bosom for the dignity of the whole body.

Seekor lagi tikus bermata seperti warna buah anggur muncul di kaki Sion. Tikus berwarna coklat yang duduk di atas buku awal-awal tadi mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah mengajak tikus itu menyertainya.

To bed, to bed. There's knocking at the gate. Come, come, come, come, give me your hand. What's done, cannot be undone - To bed, to bed.

Sion terasa seperti ada seseorang sedang berdiri di belakangnya, lantas dia pantas menoleh. Nezumi sedang berdiri dengan sehelai tuala melingkari di lehernya.

Nezumi tertunduk. "Kamar mandi sudah siap sedia, Tuanku."

"Nezumi, buku ni-"

"Itu Macbeth. Shakespeare. Pernah dengar?"

"Cuma tajuk saja."

"Aku dah agak dah."

"Semua ni buku-buku klasik ke?"

"Tidak, Tuanku. Kami juga ada buku pengenalan kepada ekologi dan jurnal-jurnal saintifik, khas untuk Tuanku."

"Buku-buku ni semuanya kepunyaan kau?"

"Kau nak soal-siasat aku lagi ke?" Nezumi menyoal tidak sabar. "Dahlah tu. Pergi mandi. Aku sediakan makanan untuk kau."

Paip air hujan di situ memang jenis model yang lama dan agak sukar juga Sion hendak menyelaras suhu airnya. Namun bagi Sion, ia sudah cukup sempurna. Sudah lama rasanya dia tidak menikmati masa mandi dalam keadaan yang amat selesa seperti ini. Kegatalan di belakang lehernya juga terasa semakin menghilang.

-Aku masih hidup. Aku dah selamat sekarang.

Sion berfikir sendiri di bawah pancuran air membiarkan segenap inci tubuhnya dibasahi air hangat itu. Dia masih belum pasti dengan hari esoknya, namun dia lega kerana dia masih hidup dan sedang menikmati air mandian yang menghangatkan badan dan hatinya itu.

- Aku masih belum ucap terima kasih pada dia.

Dia telah diselamatkan dan Nezumi telah mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan dirinya. Namun, dia mula sedar yang sepatah kata penghargaan pun masih belum diucapkan kepada penyelamatnya itu setakat ini.

Sebaik sahaja dia selesai mandi, seekor tikus mula berlari-lari di kaki Sion.

"Ia suka kau bacakan buku tadi tu." Nezumi kelihatan sedang mengacau sesuatu di dalam periuk kerosin yang berwap itu. Tiba-tiba sahaja Sion berperasaan seperti sedang berada dalam suasana di rumah sahaja.

"Oh..." Nostalgia lama Sion mula terimbas. Dia sudah ingat perasaannya apabila menghidu bau kertas di buku yang dibacanya tadi.

"Kenapa kau menjerit tiba-tiba ni?"

"Tak, aku baru teringat. Dulu, ibu aku selalu bacakan buku untuk aku."

"Dia bacakan Macbeth untuk kau?"

"Mestilah tak. Aku kecik lagi. Aku ingat aku duduk di atas riba dia, dan dia akan bacakan buku untuk aku." Apa tajuk cerita tu, ya? 

"Kau akan musnahkan diri kau sendiri nanti." Kata Nezumi dengan suara yang dingin.

"Apa?"

"Aku dah cakap tadi. Kalau kau asyik bawa bebanan bersama, satu hari nanti, habislah kau. Kau akan musnah teruk."

"Bebanan? Bebanan apa?"

"Memori. Kehidupan selesa kau di No. 6. Tanggapan kau yang kau tu istimewa dan orang-orang terpilih. Kebanggaan kau. Buang semuanya. Dan yang paling teruk ialah ibu kau. Kalau kau asyik fikirkan dia, siapa tahu kau mula cakap kau nak balik ke sana dan jumpa Mama kesayangan kau tu."

Kata-katanya membuatkan darah Sion tersirap.

"Salah ke aku nak fikir pasal ibu aku?" Sion marah. "Aku tahulah situasi aku sekarang ni dan aku tahu tak ada caranya untuk aku terus berhubungan dengan dia. Tapi, aku masih boleh fikir pasal dia. Rindukan dia. Kau tak ada hak nak larang aku."

"Buang semuanya." Suara Nezumi semakin dingin. "Buang semua perasaan tak guna tu."

"Kenapa kau cakap..." Sion seperti tidak percaya.

"Sebab ianya bahaya."

"Perasaan aku? Bahaya?"

"Kau buang kad pengenalan kau sebab ianya akan bahayakan kita berdua. Macam tu jugak dengan perasaan terhadap orang. Kau akan tersangkut, teragak-agak untuk buat sesuatu. Mama kau, papa, datuk, semuanya dah jadi orang asing sekarang. Kau tak perlu ada perasaan terhadap orang asing. Kau cuma perlu fikirkan diri kau sendiri saja, macam mana kau nak terus hidup."

"Dan sebab tu la aku kena buang semuanya?"

"Ya. Putuskan hubungan kau dengan semua bebanan yang kau bawa tu."

Sion menggenggam penumbuknya erat dan melangkah menghampiri Nezumi. "Habis tu, kau pulak macam mana?"

"Aku?"

"Kenapa kau tolong aku? Aku ni cuma orang asing bagi kau, tapi kau sanggup bahayakan diri kau untuk selamatkan aku. Kau tu pun cakap saja lebih."

"Berani betul kau ya," Nezumi berkata. "Kalau kau betul-betul rasa kau diselamatkan oleh aku, baik kau jaga mulut tu sikit."

Nezumi mula mencekak kolar baju Sion dan menghempaskan badannya ke sebuah rak buku. "Aku berhutang dengan kau." suara Nezumi yang merendah dibisikkan ke telinga Sion. "Kau dah selamatkan nyawa aku empat tahun dulu. Dan sekarang aku cuma nak bayar hutang aku balik. Itu saja."

"Kalau macam tu, kau dah bayar hutang kau." Sion cuba menolak tangan Nezumi dari kolar bajunya, namun genggaman tangan Nezumi tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan terlepas. "Lepaskan aku."

"Kau cubalah sendiri."

"Aku gigit hidung kau nanti." Sion mengetap giginya. Dia melingkari tangannya di belakang leher Nezumi. "Aku memang pandai gigit hidung orang."

"Huh? Nanti dulu, kotorlah-"

"Lupa nak cakap. aku pun dah belajar berlawan sejak empat tahun dulu."

"Woi, berhentilah." Suara Nezumi kedengaran gelabah. "jangan gigit - whoa.."

Nezumi hilang keseimbangannya dan kedua-dua mereka terjatuh di atas timbunan buku yang berselerakan di lantai. Beberapa buah buku lagi jatuh dari atas rakm mnimpa kepala dan badan masing-masing.

"Aduh," Nezumi mengerang. "Sakitnya. Rasanya kepala aku kena hentak dengan ensiklopedia. Sion, kau okey?"

"Ya... apa ni? Chumayel's Chilam Balam?"

"Itu kisah kaum Maryan - cerita pasal manusia dan dewa. Kau mesti tak minat punyalah." Nezumi tersenyum sambil mula mengemas buku-buku yang jatuh itu.

"Kenapa kau kata aku tak minat?"

"Betullah, kan? Kau pernah ke berminat dengan manusia atau dewa-dewi sebelum ni?"

Manusia? Dewa? Dia memang tidak pernah memikirkannya sebelum ini. Sekali pun tidak. Tapi, itu dulu.

Sion menghela nafasnya ke udara. Di sini ialah dunia asing yang dia tidak pernah tahu. Apa agaknya yang bakal menantinya di sini? Jantungnya berdebar-debar, namun dia tidak pasti mengapa. Untuk seketika, hatinya dicengkam rasa ingin tahu dan teruja, seperti melihat lautan untuk kali yang pertama. Selepas itu, dia mula terfikirkan bagaimanalah wajahnya pada ketika itu. Dia berasa malu, dan tunduk ke bawah mengutip buku-buku yang berselerak, tidak mahu Nezumi melihat wajahnya.

"Ni apa pulak?"

"Koleksi sajak-sajak Hesse." Nezumi membalas.

My soul, you frightened bird,
Over and over you must ask: 
When after so many turbulent days
Comes peace, comes calm?

"Pernah dengar?"

"Tak"

"Dah agak, dah."

"Tak payah la tanya kalau dah tahu." Sion menarik muka masam.

"Kalau tak tahu, belajarlah."

"Benda-benda ni bukan benda tak berguna ke?"

"Satu hari nanti, ia akan jadi berguna jugak." Nezumi berkata. "Dahlah. Sup tu akan sejuk..." Nezumi terdiam. Matanya membulat besar.

"Kenapa, Nezumi?"

"Sion, tangan kau."

"Huh?"

"Tangan kau... sejak bila ada tompok..."

Nezumi menggulung lengan baju Sion hingga ke siku. Beberapa tompokan gelap kelihatan dan mula hendak merebak ke badannya. Tompokan itu tidak ada ketika dia mandi tadi.

"Apa? Apa ni?"

Sion menjerit. Dalam masa yang sama, kepalanya terasa amat sakit.

"Sion!"

Kesakitan itu datang seperti gelombang. Sekejap ia surut, sekejap ia menyerang. Jari jemari Sion kaku dan kakinya mulai mengejang.

"Sion, aku panggilkan doktor-"

Sion mencapai baju Nezumi dengan lemah. Dia sudah tiada masa lagi. Tiada gunanya memanggil doktor sekarang.

"Apa aku nak buat? Sion, apa yang-"

"Leher aku..." Suaranya semakin lemah.

"Leher?"

"Kesan melepuh tu... potongkan."

"Tapi, aku tak ada bius."

"Tak payah." Dia mengerang. "Cepat..."

Dia semakin hilang kesedaran. Sion merasakan badannya diangkat. Jangan pengsan. Kalau pengsan, aku tak akan sedar lagi. Dia tidak tahu apakah yang membuatkannya begitu kuat, namun dia amat pasti. Rasa perit itu menghilang untuk seketika dan dia mula terbayangkan Yamase yang pengsan di lantai.

- Tapi, Yamase tak menderita.

Yamase tidak berguling-guling kesakitan. Dia hanya berusia dalam sekelip mata dan mati seperti pokok yang layu. Simptom-simptom Yamase berlainan dengan simptom-simptom Sion. Mungkin aku masih ada peluang-

Otak Sion seperti dicucuk dengan beribu-ribu jarum dari pelbagai arah. Badannya menggeletar dalam kesakitan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Jeritannya sendiri menjadi serpihan tajam yang menikam badannya. Dia mula berpeluh, tekak meloya, darah dan cecair dalam perut mula terkumpul di mulut seolah-olah akan dimuntahkan melalui mulutnya. 

Sakitnya! Sakit! Sakit!

Sion tidak lagi mahu diselamatkan. Dia hanya mahu dibebaskan dari rasa sakit itu, dari penderitaan itu. Dia tidak perlu membuka matanya, tidak perlu hidup. Dia hanya mahu bebas-

Dia terasa rambutnya ditarik ke belakang dan diheret ke arah kegelapan. Apa yang dia perlu buat hanyalah menurut dan dia akan dibawa ke tempat lain yang lebih baik.

Sejenis cecair panas dituang ke dalam mulutnya. Cecair itu meluncur ke tekaknya dan dan dia dapat rasakan badannya ditarik keluar dari kegelapan itu.

"Buka mata kau." Sepasang mata kelabu sedang memandang tepat ke wajahnya.

"Nezumi... aku dah tak tahan... biar aku mati."

Pipinya ditampar kuat. "Jangan mengarut. Kau takkan pergi mana-mana. Minum benda ni." Cecair itu sekali lagi dipaksa menuruni tekaknya.

Sion seperti terdengar satu bunyi - mungkinkah ia hanya halusinasinya? Bunyi-bunyi halus beribu-ribu serangga yang sedang menggigit dan memakan otaknya. Bunyi-bunyi yang menyakitkan kepalanya:

Makan. Makan. Makan.

Halusinasinya kah? Atau adakah disebabkan kesakitan yang melampau itu menyebabkan dia mula terdengar bunyi yang bukan-bukan? Dia sudah tidak dapat bertahan. Dan dia berasa takut. Anak tekaknya terus-terusan menjerit menghamburkan rasa sakitnya yang semakin menjalar itu.

"Jangan mengalah. Kau tu baru 16 tahun. Masih terlalu awal untuk kau mati."

Sion terasa segala tenaganya semakin menghilang. Badannya berat seolah-olah dia diikat dengan beban yang berat. Dia semakin lemas, namun dia sedar yang kesakitan itu semakin berkurangan.

"Teruskan menjerit. Kau mesti sedar. Jangan pengsan. Aku akan potong lepuhan tu."

Tangan Nezumi sedang memegang sebilah pisau bedah.

"Aku tak ada pisau bedah elektronik, jadi kau jangan bergerak-gerak."

Samada sistem sarafnya sudah kebas daripada kesakitan itu, ataupun disebabkan semua tenaganya sudah hilang dari badannya, dia tidak tahu. Tetapi, Sion langsung tidak bergerak walaupun sedikit. Dia sudah kehilangan daya untuk bergerak.


Tiga ekor tikus sedang duduk memerhatikannya dari atas timbunan buku. Jarum jam analog di dinding bergerak perlahan-lahan. Tik-tik-tik. Sion dapat mendengar bunyinya dengan jelas. Itulah pertama kalinya dia dapat mendengar bunyi masa yang berlalu dan ia terasa amat lama. Mula-mula satu saat, kemudian satu minit. Dunia Sion terasa gelap. Pipinya terasa panas. Setitis air matanya jatuh ke pipi, menyentuh bibirnya dan jatuh ke atas tilam. 

Semuanya sudah berakhir. Dia mendengar Nezumi menghela nafas panjang dan bunyi pisau bedah itu terjatuh ke lantai.

"Luka kau tak teruk sangat. Sakit tak?"

"Tak..." Sion berkata lemah. "Aku nak tidur."

"Jangan tidur lagi. Bertahan sekejap."

Suara Nezumi semakin menjauh. Sion hanya dapat mendengar bunyi jam yang berdetik.

"Sion."

Badannya digoncang-goncang.

"Buka mata kau. Sikit lagi - tolonglah - buka mata kau."

Diam! Dia mahu menengking. Diam, diam! Sikit lagi? Berapa lama lagi dia perlu bertahan?

"Jangan mengarut. Kau dah susahkan aku tadi dan sekarang kau dah nak pergi. Sion, kau tahukan apa akan jadi? Mama kau akan menangis. Macam mana dengan budak perempuan, Safu apatah namanya tu? Pernah ke kau tidur dengan perempuan sebelum ni? Kau dah sia-siakan peluang kau sebab tolak dia, tahu tak?" 

Diam, diam. Berhenti bercakap lagi.

"Kau masih tak tahu apa-apa. Tentang buku, seks, atau cara berlawan. Dan sekarang kau dah tak mahu hidup lagi? Sion, buka mata kau!"

Dia membuka matanya dan terpandang empat pasang mata sedang merenung ke arahnya. Sepasang daripadanya berwarna kelabu, kepunyaan seorang manusia, dan tiga pasang lagi kepunyaan tiga ekor tikus.

"Bagus. Aku puji kau."

"Nezumi..."

"Hmm?"

"Aku masih tak tahu nama kau."

"Nama aku?"

"Nama sebenar kau..."

"Itupun satu lagi benda yang kau tak tahu. Aku akan beritahu kau lepas kau sihat nanti dan itu akan jadi hadiah untuk kau."

Mulutnya disuap dengan cecair pahit beberapa kali. Baru saja dia hendak emlelapkan mata, matanya akan terbuka semula apabila menghirup cecair itu. Sion demam. Dia berpeluh kuat dan muntah-muntah.

"Air..."

Dia merayu berulang-ulang kali dan setiap kali itulah tekaknya dibasahi dengan cecair sejuk itu.

"Sedap rasanya."

"Ya. Dunia ni bukannya tempat yang teruk sangat." Tangan Nezumi mengusap-ngusap rambut Sion dengan lembut.

"Kau boleh tidur sekarang. Kau dah tak apa-apa."

"Boleh?"

"Ya. Kau dah melepasi masa genting kau sekarang. Kau dah menang. Kau memang hebat." Jari-jemari yang mengusap rambutnya sangat lemah lembut, dan begitu juga dengan nada suara pemiliknya, Nezumi. Sion kemudian menutup matanya dan terus hanyut dibuai lena.

(bersambung di bahagian b)

No comments:

Post a Comment