Pages


Hello people,
Thanks for those whose been reading this Bahasa Melayu version of No. 6 Novel. I really enjoy translating No. 6 although I have to admit that its quite difficult to write in Bahasa Melayu.
Your comments, feedback and support are appreciated and I will try to improvise my self chapter by chapter. Email me at kkaigoku@yahoo.com should you have questions or to post comments.

Enjoy this ED song clip, Rokutousei no Yoru by Aimer. (Note: I do not own this video)



NEW UPDATE:


Sunday, October 2, 2011

Vol. 1 Ch. 3 Bahagian b

"Sion, jangan panik. Aku datang tolong kau."

Betul cakap Nezumi. Jangan panik. Bertenang. Dia hanya perlu melengahkan masa mereka untuk memberi masa kepada Nezumi.

"Tolong jangan berkasar dengan saya." Pintanya.

"Kami takkan cederakan awak, asalkan awak bekerjasama dengan kami."

"Tak ada gunanya saya melawan, kan?"

"Tak perlu buat benda yang sia-sia. Budak baik macam awak ni sepatutnya tahu yang ianya tak berguna."

"Tak berguna? Pada siapa?"

"Pada awaklah."

"Saya tak faham apa yang encik cakapkan ni."

"Tak lama lagi awak akan faham. Awak ni memang budak yang bijak dan cepat faham, sama macam empat tahun lalu."

Sion masuk ke dalam kereta sambil diiringi oleh dua orang pegawai Biro. Sempat dia memandang ke atas, melihat langit musim luruh yang biru dan cerah. Matahari memancar terang dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Burung-burung berkicauan. Suasana yang cukup damai.

Kereta itu meluncur laju di jalan.

"Hari ni cuaca memang baik." Rashi memberi komen dari tempat duduk penumpang hadapan, tanpa menoleh memandang ke arah Sion yang duduk di kerusi belakang. Pegawai yang duduk di sebelah kanan Sion mengangguk tanda setuju. "Nampaknya hari ni lebih hangat dari biasa."

Rashi menoleh memandang ke arah Sion sambil tersenyum. "Awak ada kereta?" Soalnya.

"Tak. Saya biasanya berjalan kaki atau naik basikal je."

"Baguslah tu. Anak muda macam awak ni patut bersenam sikit. Gerakkan otot-otot tu. Kalau awak nak tahu, kereta yang kita naik ni ialah kereta yang pakai bateri. Selesa kan?"

"Memang bagus. Saya akan rasa macam tu kalau saya bukan dalam situasi sekarang ni." Sion menjawab dengan nada suara yang menyindir. Hanya itu sahaja yang dia mampu lakukan sebagai tanda memberontak dan protesnya. Rashi pula sekadar mengangkat bahu sahaja.

"Macam yang saya cakap tadi, kereta ni digerakkan menggunakan bateri. Awak tahu tak macam mana ia berfungsi? Kami tak berapa tahu benda-benda canggih macam ni sangat."

"Saya pun bukannya tahu sangat."

"Jadi, benda macam mana yang awak tahu?"

"Tak banyak... maksud saya, saya pun bukannya tahu sangat pasal pengetahuan saintifik."

Kedua-dua pegawai di sebelah Sion mula mencekak lengan Sion serentak. Nada suara Rashi juga telah berubah menjadi nada suara seorang pegawai menyiasat.

"Kalau macam tu, beritahu kami apa yang awak tahu."

"Macam yang saya cakap tadi, saya cuma ada pengetahuan asas sikit-sikit saja."

"Contohnya?"

Perbualan mereka amat pendek dan kedengaran santai, namun Sion merasakan nafasnya sedikit sesak dan kepalanya terasa terbeban seperti seseorang sedang mencekik lehernya perlahan-lahan menggunakan kain yang lembut dan ia membuatkan dia berasa loya dan tidak selesa. Membunuhnya perlahan-lahan.

"Emm... oksigen dan hidrogen akan terhasil dari alkohol melalui proses elektrolisis dan kalau mengabungkannya pula akan menghasilkan tenaga-"

"Tenaga apa?"

"Kita nak pergi mana sebenarnya ni?" Sion tiba-tiba menyoal. Dia mengangkat punggung dari kerusi namun ditarik semula oleh pegawai-pegawai itu membuatkan dia terhentak di kerusi.

"Bukankah kita nak pergi ke Biro Sekuriti? Ini bukan jalannya." Biro Sekuriti terletak bersebelahan dengan City Hall. Dari Pejabat Pengurusan Taman, mereka hanya perlu melalui jalan di taman dan ianya mengambil masa beberapa minit sahaja dengan menaiki kereta. Namun, Sion mula menyedari yang mereka sedang menghala ke arah jalan yang bertentangan.

"Awak rasa kita nak pergi mana?"

"Sebab tu lah saya tanya tadi." Sion hampir membentak.

"Awak tak berhak bertanya soalan."

"Apa- tapi kenapa-"

"Saya tak beritahu awak ke tadi? Awak ialah suspek utama dalam kes ni."

"Kes apa pulak?"

"Kematian hari ni dan kematian yang berlaku semalam. Awak telah disyaki membunuh."

Sion kehilangan suaranya. Darahnya tersirap dari telinganya hingga ke muka.

"Awak ialah seorang suspek yang merbahaya. Awak mempunyai pengetahuan dan tahap kebijaksanaan yang tinggi. Saya tahu itu melalui perbualan kita. Selain tu, awak bersikap tidak puas hati dan memberontak terhadap Bandar kita. Kemahiran yang amat tinggi dan sikap melawan awak tu menjadikan awak seorang yang merbahaya."

"Semua tu tuduhan palsu!"

"Palsu? Saya tak fikir begitu." Rashi memanjangkan tangannya dan menekan butang berwarna perak di stereng kereta dan suara Yamase dan Sion mula bergema melalui pembesar suara.

"Yamase, kenapa Biro Sekuriti perlu menipu pasal ni? Dan pelik jugak mereka masih belum jumpa sebab kematian lelaki tu."

"Yelah. Kejadian ni memang pelik."

Sion menutup kelopak matanya. Perbualan antaranya dan Yamase beberapa minit yang lalu, nampaknya telah dirakam sejak dulu. Adakah mikrofon tersembunyi telah dipasang di panel kawalan? Kalau ya, ianya untuk apa?

"Yamase, kau rasalah pihak Biro sedang memanipulasi maklumat ke?"

"Sion!"

Rashi menekan butang perak itu sekali lagi, mematikan perbualan itu. Untuk seketika, keadaan di dalam kereta itu menjadi senyap sunyi seolah-olah udara di sekeliling mereka telah membeku.

"Nak dengar lagi?" Rashi menyoal.

"Tolong... berhenti... saya tak percaya semua ni."

"Tak percaya?"

"Saya tak bunuh oranglah." Sion berkata.

"Habis tu awak nak kata pembunuh sebenar dalam kes ni ialah lebah yang awak cakapkan tadi?"

"Ya."

"Mengarut! Budak bijak macam awak ni mereka cerita yang macam ni?"

"Kalau macam tu, apa motif saya nak bunuh Yamase?"

"Perkara itu kami akan siasat. Tapi, saya agak awak cuma nak menimbulkan huru-hara."

"Apa?"

"Kekecohan. Awak nak mulakan kekecohan yang besar untuk menghuru-harakan Bandar ni. Awak mesti ingat yang awak tu ialah budak genius yang malang, jadi awak bencikan Bandar ni sebab apa yang berlaku pada awak 4 tahun lalu. Awak mahukan lebih perhatian, jadi awak mula terfikirkan cara macam ni, kematian misteri untuk menimbulkan kekacauan penduduk bandar. Awak memang ada pengetahuan dalam bidang biologi dan perubatan dan memang tak mustahil awak gunakan pengetahuan awak tu untuk melakukan pembunuhan."

Sion bersandar di kerusi kereta dengan tenaga yang semakin menghilang. Dia kini sedar semuanya adalah perangkap. Dia telah terjatuh ke dalam perangkap lelaki bernama Rashi ini dan sekarang sukar untuk dia meloloskan diri. Dia menjilat bibirnya yang kering itu.

"Saya dah faham." Sion membalas dengan tenang. "Semuanya dah diaturkan dari mula lagi. Saya diperangkap. Tapi, cerita awak ni lebih mengarut dari cerita saya, nampaknya."

"Kita tengok sajalah nanti bila kami soal-siasat awak." Tangan Sion kini mula digari. 

"Gari tu ada alat pengesan jejak supaya kami tahu lokasi awak. Kami akan tanggalkannya bila dah sampai nanti." Kata-kata Rashi itu membuatkan Sion dapat mengagak ke mana sebenarnya destinasi mereka. Dia akan dibawa ke West Block. Ke Pusat Pemulihan. Kalaulah dia disoal siasat di situ, dia pasti akan ditahan dan dikurung di situ sebagai penjenayah. Cip V juga akan diimplan ke dalam badannya.

Nezumi, sekarang dah terlambat. Aku dah tak boleh lari lagi.

Dia menutup matanya dan menarik nafas panjang.

"Awak memang budak baik. Duduk diam-diam."

Sion terus mendiamkan diri sambil menggigit bibir bawahnya.

Aku datang tolong kau. Suara Nezumi bergema di telinganya membuatkan hatinya beransur tenang. Kakinya masih menggigil namun bukan disebabkan ketakutan, tetapi kemarahan yang memuncak. Kemarahan kepada mereka yang menipunya dan suara Nezumi semakin menguatkan rasa amarahnya itu. 

Kereta itu mula memasuki Lost Town.

Ibu

"Awak risaukan ibu awak ke?"

"Tak ada apa-apa akan berlaku pada dia, kan?"

"Tak ada apa-apa. Kewarganegaraan dia takkan dilucutkan hanya sebab anaknya seorang penjenayah." Kata Rashi sebelum membisikkan sesuatu kepada pemandu mereka. Kereta itu kemudian membelok ke kanan dan memasuki sebuah kawasan yang amat dikenali Sion. Kereta itu akhirnya berhenti.

"Tengok tu."

Rashi menuding kepada Karan yang sedang berbual dengan seorang kanak-kanak perempuan sambil memberikannya sebungkus roti. Kedua-dua mereka sedang tersenyum gembira. Suasana di musim luruh itu membuatkan mereka kelihatan seperti sebuah lukisan ataupun dalam babak di dalam sebuah drama. 

"Ibu awak nampak macam seorang perempuan yang baik. Tengoklah dia puas-puas sekarang." Kata Rashi sebelum kereta itu mula bergerak semula. "Awak takkan jumpa dengan dia lagi."

Rashi tergelak kecil.

"Awak tak perlu risau sangat. Saya pasti dia akan terkejut sedikit dan rasa sedih pada mulanya. Tapi, nanti dia akan lupakannya. Macam tu lah kehidupan. Awak tak perlu risaukan dia sebab lepas ni awak akan jumpa benda lain yang akan buat awak lebih risau, Sion."

Kata-kata Rashi amat mengguris hati Sion. Nafasnya tersekat di tekak dan kemarahan di dalam dirinya beransur pudar perlahan-lahan. Dia tidak akan kembali kepada kehidupan lamanya semula, selama-lamanya. Melihat ibunya, membuatkan dia dibelenggu kesedihan yang teramat sangat.

Mereka memang telah mengaturkan semuanya. Mereka bukannya berhenti berhampiran rumah Sion disebabkan simpati padanya, sebaliknya hanya untuk menjatuhkan semangat Sion. Sengaja mahu membuat dia berfikir yang dia tidak punya harapan lagi, memanipulasi perasaannya. Memang kejam sekali kerana Sion sama-sekali sudah kehilangan daya untuk melawan.

"Aku datang tolong kau. Aku datang tolong kau."

Sion mengulangi kata-kata itu seorang diri.

Aku datang tolong kau. Hanya frasa yang pendek, namun suara Nezumi kedengaran amat berkeyakinan.

Macam mana agaknya rupa dia? Sion berfikir sendiri dan cuba membayangkan wajah Nezumi. Namun, ternyata dia hanya dapat mengingat sepasang mata kelabu itu sahaja.

Kita akan bertemu lagikah, Nezumi?

"Apa ni?" Rashi menoleh memandangnya dengan kening yang berkerut. "Awak tengah senyum?"

"Senyum? Mestilah tak." Sion membalas. "Tak mungkin saya boleh senyum dalam keadaan macam ni."

"Dalam keadaan macam ni, huh.... awak nampak tenang. Saya harap awak faham dengan situasi awak sekarang ni."

"Faham sangat."

"Awak terlalu tenang." Mata Rashi mengecil sedikit, barangkali berasa curiga.

"Sebab saya ni memang seorang yang naif."

"Apa?"

"Naif." Sion mengulang. "Ada orang pernah cakap macam tu pada saya. Yang saya ni seorang naif yang semulajadi."

Rashi merenung lama wajah Sion dalam senyap. Kereta itu akhirnya keluar dari Lost Town dan mula menghampiri sempadan di barat. Itulah pertama kali Sion menjejakkan kaki ke situ kerana penduduk biasa tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu. No. 6 memang bagaikan sebuah kubu - dengan tembok benteng yang dibina dari aloi khas yang mengelilingi seluruh bandar. Di kebanyakan tempat di dalam bandar, pokok-pokok ditanam berhampiran tembok itu membuatkan ia tidak dapat dilihat dari jauh namun di West Block ini, ianya kelihatan terdedah sahaja. Kereta itu kemudian melepasi Pejabat Imigresen.

"Nak masuk ke West Block dari sini ke?" Sion membuka mulut.

"Ada dua pintu di sini. Satu digunakan untuk urusan keluar masuk ke bandar. Satu lagi pintu menghubungkan terus ke Pusat Pemulihan. Pusat Pemulihan tu tempat khas, jadi ianya terasing dari kawasan lain termasuklah dari West Block. Rasanya awak tak tahu pasal ni kan?"

"Tak, saya tak tahu."

"Lepas ni, lagi banyak awak akan tahu."

Laluan itu semakin sempit dengan pokok-pokok gergasi yang banyak dan menghalang cahaya matahari terus menyinar ke tanah.

"Lepas hutan ni, kita akan melalui kawasan gurun. Bila dah lepas pintu nanti pun, kita akan melalui kawasan terbiar jugak. Jadi, lebih baik awak nikmati permandangan hijau ni sekarang."

Kereta itu berhenti tiba-tiba.

"Kenapa berhenti?" Rashi menyoal.

"Ah, itu..." Pemandu kereta menunjuk ke arah sesuatu di hadapan. Sebuah robot berwarna perak sedang terbaring secara melintang di tengah jalan. Tidak lama kemudian, perlahan-lahan robot itu bangkit berdiri.

"Sampo?" Sion tergamam.

"Apa ni? Apa robot pembersihan buat di sini?"

"Mungkin ia dapat arahan untuk bersihkan kawasan hutan ni."

"Saya tak tahu pum."

Sampo sedang mengutip daun-daun yang berguguran dengan lengan besinya itu.

"Jaga suspek ni baik-baik." Rashi memberi arahan sebelum keluar dari kereta dan berjalan ke arah Sampo. Robot itu bergerak menghampiri Rashi dalam terhoyong-hayang dan lengan besinya mencekak badan Rashi kuat. Badannya menjengah ke hadapan. Rashi berteriak perlahan sebelum dia diheret oleh Sampo di tanah ke celahan pokok-pokok.

"Ah!" Pemandu kereta itu menaikkan nada suaranya terkejut melihat insiden itu lalu membuka pintu kereta. Tidak lama kemudian, kelihatan dua ekor tikus bergerak laju menuju ke kereta itu dan dalam sekelip mata, kedua-dua ekor haiwan kecil berwarna kelabu itu naik ke badan kedua-dua orang pegawai yang duduk di sebelah Sion dan mencekak leher mereka.

"Jangan bergerak." Satu suara yang rendah memberi arahan. Seorang manusia yang menutup kepala dan bahunya dengan sehelai kain berwarna kelabu menyelinap masuk ke kerusi penumpang di hadapan. Seekor tikus berwarna coklat pula memanjat ke leher pemandu kereta.

"Dalam badan tikus-tikus ni ada bom. Kalau cuba buat apa-apa, aku akan letupkan kepala kamu semua."

Pemandu kereta itu mula berteriak ketakutan.

"Tanggalkan gari dia. Lepas tu, kamu bertiga keluar dari kereta ni."

Tiada sesiapa pun yang bergerak.

"Cepatlah!" Dia mengarah dengan nada yang marah. "Aku ni bukannya penyabar. Kamu nak aku letupkan bom ni ke, hah?" Bunyi klik, klik, klik dari tikus-tikus itu sudah cukup untuk menakutkan mereka. Gari di lengan Sion ditanggalkan dan ketiga-tiga mereka keluar dari kereta dengan leher yang berdarah.

"Nezumi!"

"Lepas ni baru beramah mesra." Nezumi berkata dengan wajah yang serius tanpa memandang muka Sion. Dia memusing stereng kereta lalu kereta itu berpusing membuat pusingan-U dan meluncur laju dengan kelajuan penuh.

"Nezumi, betul ke kau nak letupkan lelaki-lelaki tadi?"

"Bodohlah kau ni. Takkanlah aku betul-betul letak bom dalam kawan-kawan aku pulak? Tadi tu cuma nak menakutkan mereka sajalah."

"Jadi, tikus-tikus tadi tu robotlah, ya? Nampak macam tikus betullah. Sampo juga. Macam mana kau..."

"Diamlah!" Nezumi bertempik. "Tutup kepala kau baik-baik dengan kain tu."

"Ini kain superfibre ke? Kenapa aku kena pakai kain ni?"

"Sebab aku nak langgar."

"Langgar apa?"

"Kereta ni lah."

"Apa? Tapi, kenapa..."

Nezumi menumbuk stereng kereta itu kasar. "Diam boleh, tak? Kau ni pandai tanya soalan je ke?"

"Tapi, kita masih boleh lari pakai kereta ni."

"Memanglah rancangan asal aku macam tu, tapi..."

"Tapi apa?"

"Ianya akan jadi terlalu sempurna." Mereka semakin menghampiri tembok yang memisahkan West Block dengan No. 6, namun kereta itu tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan diperlahankan. "Sepatutnya tak semudah ni untuk selamatkan kau."

"Betul ke?"

"Si lembab macam kau ni memang takkan tahu apa-apa. Kalau rancangan kita berjalan terlalu sempurna, maksudnya ianya agak mencurigakan. Mesti ada bahaya sedang menanti. Sebab tu lah kita akan tinggalkan kereta ni. Kau tutup badan kau dengan kain tu dan bila aku bagi isyarat, kau lompat keluar dari kereta ni sebab aku nak biar kereta ni berlanggar."

"Kau pulak macam mana?"

"Aku dah biasa dengan benda-benda macam ni. Kau tak payah nak risaukan aku."

"Tapi, mana boleh aku tinggalkan kau!"

Mereka semakin mendekati dengan tembok.

"Keluar sekarang. Buka pintu tu." Nezumi menjerit. Serentak dengan itu, tayar kereta itu berdecit apabila kereta itu berhenti secara tiba-tiba. Tubuh Sion melambung ke atas disebabkan inersia. Tidak lama kemudian, dia terhentak ke kerusi semula. Mujur juga kerusi itu dilengkapi dengan bahan penyerap hentakan, jika tidak sudah pasti tulang Sion akan patah riuk.

"Tak guna!" Nezumi menyumpah seraya menendang pintu kereta dengan kuat. Ia tidak bergerak.

"Kereta ni pakai sistem brek automatik ke?" Sion menyoal sambil menggosok-gosok bahunya yang lebam itu.

"Aku dah matikan sistem tu awal-awal lagi. Sistem penggera, sistem pengesan pelanggaran, semuanya aku dah matikan. Kereta ni dikawal oleh alat kawalan jauh." Nezumi naik angin.

Mereka dapat mendengar suara Rashi sedang ketawa melalui pembesar suara di dalam kereta. "Jangan pandang rendah dengan kami dari Biro Sekuriti. Kereta yang awak naik tu sebenarnya kereta pengiring, walaupun awak mungkin tak perasan. Bukan senang nak kawal kereta ni."

Nezumi menyumpah lagi.

"Saya tak tahu pula awak ada kawan. Memang langsung tak jangka. Apa kata kita semua duduk bersembang baik-baik kejap lagi."

Kereta itu mula bergerak sendiri.

"Kawan awak tu pendiam, ya? Ataupun dia sengaja tak mahu bercakap sebab sistem kami ada sampel suara dia? Kalau macam tu, dia mesti ada rekod jenayah."

"Aku rasa kau tu yang cakap banyak. Maaflah, tapi aku tak berminat nak berborak dengan pak cik-pak cik tua." Nezumi berpindah ke kerusi belakang dan menolak Sion tunduk ke bawah. "Tunduk dan masuk dalam kain superfibre ni. Pegang kuat-kuat."

"Hei, apa kamu nak buat?" Suara Rashi kedengaran panik.

"Jumpa lagi, pak cik. Cakap selamat tinggal pada kereta canggih ni jugak."

"Apa-"

"Keluar!" Suara mengarah Nezumi bergema di telinga Sion. Pintu dibuka dan angin hangat mula bertiup di sekeliling mereka. Keluar. Aku kena keluar. Sion memejam matanya dan terus melompat keluar dari kereta. Dia terasa badannya menjejak tanah dan berguling-guling. Beberapa saat kemudian, dia terdengar bunyi letupan yang kuat dengan kereta yang mereka naiki tadi itu berkecai menjadi serpihan-serpihan.

"Bagus!" Nezumi bersiul kecil. "Kau memang pandai berguling. Kau tak cedera, kan?"

"Tangan aku luka. Kau?"

"Aku dah cakap tadi. Aku dah biasa dengan semua ni."

"Apa sebenarnya yang kau buat tadi?"

"Aku musnahkan sistem kawalan kereta tu."

"Macam mana?"

"Kereta pengiring macam tu memang nampak kuat di bahagian luar, tapi bahagian dalamnya biasa-biasa saja. Asalkan kau pasang di tempat yang betul, bom kecil pun dah boleh musnahkan kereta tu."

"Kau macam tahu banyak pasal benda-benda ni."

"Kan aku cakap tadi, aku dah biasa. Sekarang, kita kena pergi dari sini. Kau boleh lari?"

"Boleh."

Beberapa buah kereta Biro Sekuriti semakin menghampiri kawasan itu. Mereka tahu yang kawasan itu diletakkan sebagai kawasan berjaga-jaga. Pengawalan pasti amat ketat dengan pasukan menjejak mereka.

"Buang kad pengenalan kau." Nezumi mengarah. "Cepatlah. Jangan buang masa lagi. Benda tu akan menyusahkan kita."

Sion memang tahu. Kad pengenalan itu mengandungi maklumat peribadinya yang disambung terus ke sistem komputer pentadbiran pusat. Komputer itu akan mudah saja mengesan jejaknya daripada gelombang radio lemah yang dibebaskan dari kad itu. Sekiranya kad itu masih berada dengannya, samalah seperti dia sendiri memberitahu mereka di mana dia berada. Objek kecil yang amat berbahaya bagi mereka yang dalam pelarian, bersembunyi dan tidak mahu dirinya dikesan. Nezumi telah menyuruhnya supaya membuang kad itu. Namun - sekali dia melepaskannya, Sion tidak akan dapat memilikinya semula. Samalah seperti dia membuang dirinya dari No. 6. Kad pengenalannya itulah yang digunakan untuk membeli-belah, membayar bil utiliti, sebagai medium komunikasi dan juga untuk menaiki pengangkutan awam. Mereka-mereka yang gagal menunjukkan bukti kewarganegaraan ini, memang tidak dapat tinggal di No. 6.

"Cepat buang." Ulang Nezumi dengan nada yang masih rendah.

Kalaulah dia enggan, mereka tidak akan berpeluang melarikan diri. Tapi, kalaulah dia menurut, dia pasti tidak dapat kembali lagi. Mata kelabu Nezumi merenungnya lama. Mata yang langsung tidak kelihatan risau mahupun panik, sebaliknya kelihatan amat tenang dan susah dibaca. Sion akhirnya menurut, mencampakkan kad pengenalannya ke tanah. Seekor tikus kelabu muncul, menggigit kad itu di mulutnya dan berlari laju menuju ke arah bertentangan.

"Ia akan tolong kita lengahkan Biro Sekuriti buat sementara waktu. Mungkin tak lama, tapi sekurang-kurangnya kita akan sempat lari. Jom cepat." Kata Nezumi.


Sebuah kereta Biro Sekuriti membelok ke kanan dan menghilang di dalam laluan hutan. Kereta itu telah mengesan gelombang radio dari kad pengenalan Sion, dan sekarang kereta itu sedang mengekori tikus kecil itu.

"Cepat. Kalau pihak Biro hidupkan sistem satelit, mereka akan dapat tengok kawasan ni. Lepas tu, mereka akan tahu yang kita dah tipu mereka. Kita kena lari sementara mereka masih kejar kad pengenalan kau tu."

"Lari ke mana? Macam mana - ?"

"Kita guna itu." Nezumi menuding ke arah sebuah trak kecil yang diparkir di bawah sebatang pokok. Trak itu adalah kenderaan Pengurusan Taman dan kelihatan sebuah robot pembersihan di belakang trak itu.


"Sampo - tak, itu Ippo."

"Ya. Mereka kata nak tolong kau, tapi kau tak nak dengar, jadi aku bawak mereka sekali. Berguna juga robot-robot ni."

Trak itu akhirnya bergerak di jalan, dipandu oleh Nezumi.

"Nezumi, kawasan ni sepatutnya dikawal ketat sekarang. Kalau kita tak ada kad, mereka pasti akan syak sesuatu. Kita mesti kena tangkap nanti."

"Kita ada kad."

"Mana?"

"Dia ada." Nezumi mengerling ke arah Ippo.

"Ippo? Oh, betul juga." Semua robot dikehendaki berdaftar dengan Bandar. Robot seperti Sampo dan Ippo dilengkapi dengan cip dan didaftarkan mengikut kegunaan yang ditetapkan.

"Cip robot ni akan tolong kita melepasi sistem pemeriksaan."

"Tapi Ippo ni robot pembersihan. Kalaulah robot pembersihan ni berada di kawasan tak sepatutnya, mereka akan syak sesuatu."

"Kita memang akan pergi ke tempat yang sepatutnya."

"Huh?"

Mereka semakin menghampiri sebuah pintu pagar berwarna perak. Sebaik sahaja mereka melepasinya, mereka akan melalui alat pengimbas dan sekiranya sistem itu mengimbas benda-benda yang tak sepatutnya, pagar itu akan tertutup secara automatik dan mereka pasti akan terpaksa menghentikan trak itu.

Nezumi semakin menekan pedal minyak dan memecut laju melintasi pagar itu. Sion mengeluh lega apabila lampu dan penggera di pagar itu tidak menyala. 

Nezumi pula sekadar tertawa melihat reaksi Sion itu. "Jangan seronok sangat, Sion. Kita baru nak mula."

"Maaf. Aku tak biasa dengan semua ni."

"Tak lama lagi kau akan dapat biasakan diri. Lepas tu, kau boleh berseronok."

"Ni bukan caranya aku berseronok." Sion berbisik sendiri.

"Oh, ye ke? Aku nampak muka kau macam rasa seronok jugak."

Sion mengeluh lagi. Dia kemudian memusatkan pandangan matanya memandang lama wajah Nezumi yang sedang memandu.

"Suka tengok muka kacak aku ni ke?"

"Taklah, aku cuma perasan yang kau makin tinggi."

"Mestilah. Dah empat tahun, kan? Empat tahun tu masa yang lama. Mestilah kita akan berubah."

Empat tahun memang masa yang lama. Bagi Sion, ia memang tempoh yang lama dan berliku-liku. Namun, jika hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku beberapa jam yang lalu, tempoh empat tahun itu boleh dikatakan sebagai tempoh yang amat tenang di dalam hidupnya. 

Nezumi mengukir senyuman sinis. "Jadi, kau memang perasanlah ya?"

"Apa?"

"Aku dah lebih tinggi dari kau." 

"Tipu!" Sion membantah.

"Betullah. Kau makan apa selama ni? Badan kurus macam ranting kayu. Aku tak boleh bayangkan kau tanggalkan baju depan kekasih kau dengan badan yang macam ni."

"Jangan sibuklah!" Sion membalas sedikit berang. "Pernah ke kau nampak aku tak berpakaian? Jangan nak memandai cakap saja."

"Kalau aku cakap aku pernah nampak, macam mana?" Neumi berkata sambil terus ketawa dan mengangkat keningnya. Kain yang dipakai di bahunya bergerak-gerak mengikut rentak pergerakan badannya. Sion yang telah merawat bahu yang sama itu 4 tahun yang lalu. Bahu itu kelihatan lebih bidang dan gagah. Rambutnya yang panjang dulu sudah pendek, kini hanya menutup telinganya sahaja. Rahang dan lehernya masih kurus namun tidak melidi seperti dulu. Nezumi yang sekarang, bukanlah seperti Nezumi yang menarik simpati Sion 4 tahun dulu lagi.

"Nezumi, adakah selama ni kau mengawasi aku?"

"Apa kau cakap ni?" Nezumi menyoal dengan nada tidak bersalah.

"Jangan pura-pura. Kau muncul tepat pada masanya macamlah kau tahu benda ni akan berlaku pada aku. Apa ni? Kau memang perhatikan aku ke selama ni?"

"Jangan perasan sangat. Aku ni bukannya tak ada kerja lain nak buat."

"Kalau macam tu, jelaskan pada aku."

"Kau memang selalu macam ni, kan?" Kata Nezumi. "Kau sentiasa perlukan penjelasan untuk segala-galanya. Kau takkan buat sesuatu kalau kau tak faham betul-betul."

"Kau apa tahu?" Sion marah. "Jangan cakap macam kau tahu semuanya pasal aku. Aku mesti nak tahu apa sebenarnya yang dah berlaku - apa yang akan berlaku. Aku tak boleh bertindak kalau aku masih keliru macam ni."

Trak itu berhenti mendadak mengejutkan Sion. Nezumi menarik kolar baju Sion dan menggoncangnya kasar. Wajahnya tampak serius dan marah benar.

"Kau mesti bertindak." Nezumi berkata. "Jangan biar aku dengar kau merungut lagi. Mereka tu tak nampak kita macam manusia. Mereka boleh hapuskan kita dengan senang macam pijak semut saja, tahu! Lebih baik kau ingat tu."

Sion menarik nafasnya dan merenung wajah Nezumi. Kata-katanya itu kini bagaikan serpihan-serpihan puzzle yang mulai bercantum.

Hak? Awak ingat awak ada semua tu? 

Pegawai Penyiasat Biro Sekuriti yang bernama Rashi pernah berkata begitu padanya. Apa yang lelaki itu maksudkan ialah, dia dapat menghapuskan Sion dengan senang seperti memijak serangga sahaja. Menghapuskan kewujudannya dari muka bumi ini.

"Keluar." Nezumi membuka pintu. "Kita akan berjalan dari sini."

Selepas mereka turun, trak itu bersama-sama Ippo berpatah balik ke Pejabat Pengurusan Taman dan bergerak melalui laluan yang dilalui mereka tadi melalui sistem pemanduan auto.

Sion dan Nezumi kini berada di dalam sebuah kilang pemprosesan bahan-bahan buangan. Kesemua sampah sarap yang dikumpulakn di Bandar akan dibawa ke sini samada akan diproses menjadi Refuse-derived Fuel (RDF)* atau dihantar ke pusat kitar semula yang lain ataupun akan terus dibuang sebagai bahan buangan. 80% sumber tenaga di No. 6 menggunakan tenaga solar. Di Chronos, setiap rumah akan dilengkapkan dengan panel solar sendiri manakala di Lost Town pula, penduduknya lebih gemar menggunakan RDF kerana kosnya lebih murah.

"Aku dah faham sekarang. Kalau kita masuk ke kilang memproses bahan buangan, taklah pelik sangat kalau kita bawa robot pembersihan.Nezumi, kau memang dah rancang semua ni dari awal lagi ke?"

"Tanya soalan lagi?" Bahu Nezumi membongkok sedikit namun dia masih membelakangkan Sion yang mengekorinya dari belakang. Sion kemudian mula menyedari yang seekor tikus kecil berwarna kelabu sedang duduk di atas bahu Nezumi. 

"Kalau aku bawa robot tu, taklah mencurigakan sangat kalau memandu dalam bandar. Mereka takkan tangkap aku asalkan aku terus pandu sampai ke tempat ni. Trak pengangkut memang lembab, buat aku rasa nak marah saja. Tapi, nasib baik juga lelaki-lelaki tadi bawa kau balik ke Lost Town sekejap. Jadi aku ada sedikit masa. Tapi..."

"Tapi?"

"Tapi, kalau boleh aku nak lari dengan kereta Biro Sekuriti." Nezumi mengeluh. "Hmm.. itu menunjukkan kita takkan boleh buat semua seperti yang dirancangkan. Kita mesti hati-hati sebab perjalanan kita akan lebih susah lepas ni."

"Huh?"

Kedengaran satu letupan besar di belakang mereka membuatkan kedua-dua mereka menoleh. Asap putih naik berkepul-kepul di udara.

"Trak tu dah diletupkan berdekatan dengan pintu pagar." Kata Nezumi.

"Maksudnya, cip Ippo dah diimbas dan - "

"Ya. Mereka mesti dah arahkan ia diletupkan di semua pintu. Mereka dah tahu rancangan kita sebab kita tinggalkan robot yang satu lagi tu."

- Jadi, Ippo dan Sampo dah musnah.

Pergelangan tangan Sion dicekak secara tiba-tiba.

"Mereka akan jumpa kita nanti. Kita kena lari sekarang. Cepat."

Pegangan Nezumi itu amat kuat dan kejap hingga jari jemari Son terasa kebas.

"Nezumi, sakitlah."

"Diam. Jalan dekat dengan aku."

"Aku tahulah. Lepaskan tangan aku. Nanti tangan aku patah."

Dia mendengar Nezumi membunyikan lidahnya, tsk dengan marah.

"Itulah masalahnya dengan budak kecik yang lembut macam kau ni."

"Aku bukan budak kecil yang lembutlah." Kata Sion cuba menidakkan kata-kata Nezumi. "Aku dah berbeza dari 4 tahun lalu."

"Ye ke? Kau tahu tak, kau ni memang buat aku sakit hati juga kadang-kadang. Kau faham tak situasi kau sekarang ni? Kau boleh mati bila-bila masa saja, tahu tak?"

"Faham."

"Bohong."

"Aku tak bohonglah."

Nada suara Nezumi semakin keras. "Habis tu, kenapa kau buat muka macam tadi, huh? Takkanlah kau rasa kesian pada robot-robot tu pulak? Kau tu sebenarnya langsung tak faham apa-apa." Jari Nezumi semakin dalam di kulit Sion. Pegangannya semakin kuat dan semakin menyakitkan, namun Sion hanya mendiamkan diri, mengetap giginya menahan rasa sakit dengan senyap.

Tangan Nezumi akhirnya terlerai dari pergelangan tangannya.

"Ikut rentak aku kalau kau tak nak mati. Jangan berjauhan dengan aku walau apa pun berlaku." Nezumi mula mengatur langkah laju, berlari. Kilang bahan buangan itu memang sebuah kilang terbiar. Walaupun kamera-kamera pengawasan dipasang namun kebanyakannya adalah model lama yang tidak begitu efektif. Sion mengagak yang tiada sesiapa pun akan menyangka yang kawasan itu akan dipecah masuk, sebab itulah pengawasan di situ amat longgar. Walaubagaimanapun, Nezumi kelihatan begitu berwaspada mencari-cari laluan di dalam titik buta kamera pengawasan.

Dari jauh, mereka dapat mendengar mesin pelupusan bahan buangan bersaiz besar mengeluarkan bunyi perlahan. Bahan-bahan yang tidak dapat dikitar semula akan dilupuskan di sini. Air kumbahan juga menitis dari mesin-mesin itu ke dalam kolam di bawahnya, yang mengalir perlahan-lahan ke pusat penapisan di luar kilang. Airnya dalam dan kotor seperti sungai yang hampir melimpah selepas hujan lebat. Namun, tiada hidupan di dasar 'sungai' ini. Sebaik sahaja mereka menuruni tangga mendekati air itu, bau busuk mula menyengat nostril Sion lalu dia pantas menutup hidungnya. Lantainya sedikit licin dan berlumut, membahayakan mereka jika tidak berhati-hati. Nezumi berhenti sebelum melemparkan sesuatu kepada Sion.

"Goggle?"

"Ya. Yang ni ada pengesan infrared, jadi kau boleh tengok dalam air."

"Air?"

Nezumi menuding jari ke dalam air kumbahan itu. "Kau suka menyelam tak?"

"Jadi, kita kena menyelam dalam ni, huh..."

"Ya."

Sion menarik nafas panjang memenuhkan peparunya dengan udara yang bercampur bau yang tidak menyenangkan itu. Tanpa banyak cakap, dia mengenakan goggle itu di matanya.

"Wow, kau memang dah dengar cakap sekarang." Nezumi tersengih. "Aku ingatkan kau akan buat muka masam dan hentak kaki ke lantai."

"Aku tak mahu mati," Sion berkata dengan tegas. "Aku takkan biarkan diri aku dipijak macam semut. Aku akan buat apa saja untuk selamatkan diri aku, termasuklah menyelam dalam air ni."

Nezumi menoleh memandangnya dan tersenyum sedikit.

"Kalau macam tu, ikut aku."

"Ya."

Bunyi mesin tiba-tiba berhenti diganti dengan bunyi beberapa tapak kaki yang didengari berhampiran mereka.

"Mereka dah datang." Nezumi mendepakan tangannya ke arah sungai kumbahan itu. Seekor tikus berlari di lengannya dan terjun ke dalam air. 

"Ikut tikus tu dan masuk dalam air perlahan-lahan."

Sion menurut kata Nezumi tanpa banyak soal. Dia menarik nafas panjang sebelum masuk ke dalam air. Sebelum kepalanya mencecah air, wajah ibunya mula terbayang-bayang di minda.

* RDF - tenaga yang dihasilkan dari bahan-bahan buangan pepejal dengan menggunakan teknologi waste converter. 

(bersambung di bab 4)

No comments:

Post a Comment