Pages


Hello people,
Thanks for those whose been reading this Bahasa Melayu version of No. 6 Novel. I really enjoy translating No. 6 although I have to admit that its quite difficult to write in Bahasa Melayu.
Your comments, feedback and support are appreciated and I will try to improvise my self chapter by chapter. Email me at kkaigoku@yahoo.com should you have questions or to post comments.

Enjoy this ED song clip, Rokutousei no Yoru by Aimer. (Note: I do not own this video)



NEW UPDATE:


Friday, September 30, 2011

Vol. 1 Ch. 3 Bahagian a

BAB 3
Untuk terus hidup

Sion memasukkan kad pengenalannya ke dalam alat pengimbas kad di pintu Pejabat Pengurusan Taman. Pintu pejabat itu terbuka dengan senyap dan secara automatik sistem penapisan udara dan pengawalan suhu mula dihidupkan. Dia berasa sedikit aneh memandangkan dialah yang pertama tiba di pejabat pada hari itu sedangkan selalunya Yamase yang terlebih dahulu akan tiba sebelumnya. Sion segera menghidupkan sistem pengurusan taman dan ianya adalah permulaan kepada satu hari yang baru.

"Selamat pagi." Imej City Hall, iaitu The Moondrop muncul bersama-sama ucapan selamat pagi itu. "Sila ikrarkan kesetian anda kepada bandar -"

Dia meletakkan tangannya di atas imej Moondrop itu dan mula berikrar perlahan. "Dengan ini saya mengikrarkan kesetiaan saya yang tidak berbelah bahagi kepada bandar No. 6."

"Kami menghargai kesetiaan anda. Berkhidmatlah dengan penuh setia tanpa berbelah bahagi dan berbanggalah menjadi seorang rakyat Bandar ini." Imej Moondrop itu akhirnya menghilang dan digantikan dengan laporan keadaan setiap organisma hidup di dalam Taman itu. Sion menghela nafas lega. Upacara ikrar kesetiaan yang terpaksa diharunginya pada setiap hari itu sentiasa membuatkan dia berasa kurang senang. Walaupun Pejabat Pengurusan Taman itu agak tersisih kedudukannya dari pusat bandar, namun ia masih di bawah pengawasan kerajaan. Setiap pekerja dikehendaki membuat ikrar kesetiaan kepada bandar setiap pagi, dan jika mereka menolak, mereka boleh dipecat.

Bagi Sion, ia bukannya sesuatu yang bermasalah. Dia hanya perlu meletakkan tangannya di atas imej Moondrop itu dan mengulangi ayat-ayat yang sama. Walaubagaimanapun, dia memang bencikan upacara itu. Mengulangi upacara yang sama setiap hari membuatkan maruahnya sedikit tercalar. Dia masih ingat yang Safu juga merungut perkara yang sama kerana dia juga dikehendaki membuat ikrar itu memandangkan makmal tempat Safu belajar juga berada di bawah pengaruh kerajaan.

Sion menghembus telapak tangannya. Dia sedar yang tidak ada gunanya dia terus merungut dan tidak berpuas hati. Asalkan dia terus menjadi rakyat No. 6, asalkan dia masih tinggal di situ, tiada gunanya dia memikirkan tentang maruah dan rungutannya. Sion selalu memperingati dirinya.

Pintu pejabat itu tiba-tiba terbuka luas dan Yamase bersama-sama seorang wanita berusia 20-an bertubuh kecil dan berambut panjang berdiri di luar. Yamase menoleh dan memanggil wanita itu yang berdiri dibelakangnya, namun dia hanya menggeleng dan menundukkan kepalanya sedikit sebelum bergegas meninggalkan tempat itu. 

"Macam tu.." Sion menoleh memandang ke arah wajah Yamase.

"Jarang nampak kau bersama dengan perempuan. Dia tu..." Sion mahu menyebut perkataan 'teman wanita' namun dia segera membatalkan hasratnya apabila terpandang wajah rakan sekerjanya itu. Yamase duduk di hadapan panel kawalan dan berikrar kesetiaan kepada bandar dengan wajah yang agak tegang. Sion sedar yang itu bukannya masa yang sesuai untuk dia mengusik lelaki itu.

"Yamase, ada apa-apa yang tak kena ke?"

"Sion, perempuan tadi..." Yamase berhenti sejenak dan memandang tepat ke wajah Sion. "Dia ialah isteri kepada lelaki yang meninggal semalam."

"Huh?"

Jika benar begitu, jarak umur mereka berdua memang besar. No. 6 memang tidak mempunyai peraturan yang ketat dalam perkahwinan, asalkan kedua-dua belah pihak bersetuju dengan perkahwinan mereka, walaupun mereka tidak mendapat sijil perkahwinan yang rasmi dari kerajaan. Namun, apa yang dititik beratkan oleh kerajaan ialah kelahiran anak mereka. Mereka-mereka yang tidak mencapai kriteria yang standard seperti yang ditetapkan oleh bandar itu, adalah dilarang sama sekali untuk melahirkan bayi. Sion sendiri kurang pasti dengan apakah standard yang dimaksudkan.

"Perempuan tu kata mereka cuma beza 3 tahun saja." Yamase membalas perlahan. Namun nampaknya Sion kelihatan bingung. "Lelaki semalam tu cuma 3 tahun lebih tua dari dia je." Ulang Yamase.

"Tiga tahun? Tapi..."

Yamase mengangguk. "Lelaki semalam tu baru berumur 31 tahun."

"Mustahil!" Sion berteriak pantas. "Tak mungkinlah. Tengok macam mana pun, mayat lelaki semalam tu ialah mayat lelaki tua."

"Betul." Nada suara Yamase semakin berat. "Aku pun terkejut jugak. Tapi, mayat tu tak dipulangkan kepada perempuan tadi. Mereka simpan mayatnya di Biro."

"Simpan? Jadi, maksudnya walaupun mereka buat bedah siasat pun, punca kematian masih belum dikenalpasti?"

"Rasanya macam tu lah."

Mereka masih belum dapat kesan sebab kematian? Sion tidak dapat membayangkan bagaimana teknologi perubatan di No. 6 yang canggih itu masih belum dapat mengesan sebab kematiannya. Bidang perubatan telah lama dapat menganalisa kewujudan organisma hingga ke skala nanometer. Satu sel biasa berukuran kira-kira 20 mikrometer manakala satu makrometer adalah 1000 kali lebih besar dari satu nanometer. Jadi, semua sel-sel penyakit yang berada dalam skala makrometer sepatutnya dapat dikesan dan dianalisa dengan mudah. Tapi kenapa...

Badan Sion mulai menggigil. Rigor mortis yang tidak normal, kadar pelesapannya yang luar biasa, dan mayat seorang lelaki yang jelasnya ialah seorang lelaki tua - apa maksud semua ni? Sion benar-benar runsing. 

Pada ketika itu, Yamase mula menyambung kata-katanya lagi dengan nada yang semakin merendah. "Puan tadi bagitahu aku yang suaminya meninggal dunia disebabkan kemalangan di taman, dan dia kena tunggu lagi sampailah mereka tahu apa penyebab kematian suami dia tu. Dia datang sini hari ni sebab dia nak tengok kat mana kemalangan tu berlaku."

"Kemalangan? Mengarut!"

"Kau memang betul. Semua tu mengarut. Perempuan tu ditipu hidup-hidup." Yamase membalas dan menggaru-garu lehernya yang terasa gatal itu.

"Yamase, kenapa Biro Sekuriti perlu menipu pasal ni? Dan pelik jugak mereka masih belum jumpa sebab kematian lelaki tu."

"Yelah. Kejadian ni memang pelik."

"Kalaulah pihak Biro masih tak tahu apa sebanya, maksudnya sebelum ni benda ni tak pernah berlaku lagi lah kan?"

"Tak pernah berlaku?"

"Yelah, lelaki tu mati disebabkan sesuatu sebab yang tak diketahui sampai sekarang, maksudnya ini adalah kejadian yang pertamalah, kan?"

"Sion! Apa yang kau..." Yamase mematikan kata-katanya. Wajahnya pucat dan Sion sedar yang wajahnya juga pasti kelihatan pucat juga.

"Jomlah kita minum kopi." Yamase bangkit berdiri tiba-tiba seolah-olah dia tidak mahu lagi terbeban dengan keadaan yang tegang itu. Dia mahu melgakan perasaannya segera. 

Sion turut bangun. "Oh, biar aku buatkan."

"Tak apa. Biar aku bancuh. Kau suka letak banyak susu kan, Sion?"

"Terima kasih." Sion berhenti sejenak selepas itu. "Jadi- kalaulah ada orang lain tengok mayat tu, mereka pun pasti akan kata itu bukannya kemalangan kan?"

Yamase menoleh memandang ke arahnya dengan wajah yang berkerut. 

"Yamase?"

"Sion, kalau kau nak tahu, sebenarnya keadaan mayat boleh diubahsuai."

"Huh?"

"Aku.. sebelum aku kerja di sini, aku pernah kerja di Hospital pusat bandar. Kerja aku dulu ialah mengubahsuai keadaan mayat." Kata Yamase sedikit teragak-agak.

"Ubahsuai? Apa maksud kau ni?"

"Sebenarnya, aku tak mahu beritahu sesiapa tapi..." Yamase masih teragak-agak. "Sion, kau pernah tengok mayat tak sebelum ni?"

"Pernah sekali masa majlis pengebumian datuk sebelah ibu aku. Aku tengok mayat datuk dalam keranda."

"Macam mana mayat datuk kau tu?"

"Macam mana... Ermm.. dia nampak tenang. Bukankah semua mayat memang nampak macam tu?"

"Kau betul-betul rasa macam tu?"

"Maksud kau, mereka sebenarnya tak tenang ke?"

Teknologi perubatan zaman sekarang ini semakin maju bukan sahaja untuk merawat dan mencegah penyakit malah untuk menghilangkan kesakitan juga. Teknologi maju ini dapat menghilangkan apa saja, samada yang berpunca dari kemalangan atau penyakit, kesakitan ketika dibedah, kesukaran bernafas, malah sakit tenat ketika di ambang kematian. Orang tidak lagi merasai kesakitan dan semuanya meninggal dunia dengan wajah yang tenang dan damai. Itulah apa yang pernah diberitahu kepada Sion dulu.

Yamase menyerahkannya segelas cawan kopi sebelum menundukkan wajahnya sambil menggaru-garu lehernya.

"Memanglah teknologi perubatan sekarang dah canggih dan maju," Yamase berkata. "Tapi apa yang aku tahu ialah... walau bagaimana canggih pun sesuatu teknologi tu, mustahil untuk manusia mati dengan tenang. Aku memang betul-betul pasti tu." Wajah Yamase semakin berkerut. Tangannya yang memegang cawan kopi kelihatan menggigil.

"Aku kerja di makmal bawah tanah di Hospital Pusat tu dah lama. Kerja aku ialah ubahsuai mayat-mayat yang dihantar ke sana."

"Yamase, apa sebenarnya kerja ubahsuai mayat ni?"

"Kerjanya senang saja. Bila kami terima mayat, aku perlu salutkan muka dia dengan sejenis bahan kimia. Dan lepas tu - "

"Lepas tu?"

"Lepas tu, mayat tu akan tersenyum seolah-olah mereka sedang bermimpi indah."

Sion terkedu. Apa yang dikatakan oleh Yamase memang sama. Ketika dia berusia 9 tahun, dia melihat wajah mayat datuknya tersenyum di dalam keranda.

"Datuk kamu macam tengah bermimpi indah, kan?" Dia masih ingat ibunya pernah berbisik di telinganya.

"Mestilah kebanyakan orang yang meninggal dunia tak perlu diubahsuai. Mereka tu yang memang betul-betul meninggal dunia dalam keadaan tenang dan terjaga. Tapi, bukan semuanya macam tu. Memang ada sebilangan kecil manusia yang meninggal dunia dalam keadaan tragik dengan muka mereka yang dalam kesakitan dan kesedihan."

"Contohnya?"

"Huh?"

"Orang-orang yang macam mana meninggal dunia dengan tragik macam tu, Yamase?"

Yamase menarik nafasnya dan menghirup kopinya sehingga habis. "Aku tak tahu. Kerja aku cuma menyalut muka mayat dengan bahan kimia tu saja. Aku tak tahu kenapa mereka meninggal dunia dan tak ada sesiapa pun yang bagitahu aku." Katanya. "Tapi, ada sekali ni aku terima mayat seorang lelaki pertengahan umur. Selalunya kami kena lap muka mayat sebelum letak bahan kimia tu di mukanya dan aku perasan yang di mukanya ada kesan air mata. Aku teka dia menangis sebelum dia mati. Aku rasa, dia mungkin bunuh diri."

"Bunuh diri? Penduduk bandar ni?"

"Kau ingat tak ada ke?" Yamase menyoal dengan nada suara yang rata.

"Dalam statistik kematian penduduk No. 6 sejak 10 tahun lalu, cuma 0.05% saja kes bunuh diri. Itupun kebanyakannya disebabkan mereka ialah penghidap penyakit psikiatri, jadi mereka tak patut masuk dalam kriteria bunuh diri tu."

"Itu statistik yang diwartakan sajalah. Bukan semuanya." Yamase membetulkan kata-kata Sion.

Di bandar No. 6 ini, tidak wujud istilah putus harapan. Kesemua penduduknya menikmati kehidupan yang selamat dan terlindung. Tiada kelaparan, tiada peperangan, tiada penderitaan. Malah, tiada kesakitan ketika berada di ambang kematian. 

Kamu semua dah diprogram untuk fikir yang tempat ini ialah sebuah utopia yang sempurna.

Nezumi pernah menyatakan ayat ini empat tahun lalu. Dan sekarang, Sion sedang mengalami realiti di sebalik kata-katanya satu demi satu. Lost Town ialah bandar yang dipenuhi dengan orang-orang yang kehilangan harapan. Mereka memang cukup makan, dan dapat meneruskan kehidupan namun mereka tidak punya harapan untuk masa depan. Mungkin bukan di Lost Town sahaja - mungkin juga di Chronos. Berapa orang di muka bumi ini yang dapat mati dengan senyuman dan mengaku yang kehidupan mereka benar-benar memuaskan?

"Yamase, kau rasalah pihak Biro sedang memanipulasi maklumat ke?"

"Sion!" Yamase memberi amaran keras sambil mengerutkan kening seraya menggelengkan kepalanya. "Jangan cakap benda macam tu. Kita bekerja untuk Bandar ni dan kita dah beri ikrar kesetiaan kita. Kita tak patut cakap pasal benda ni. Aku tak tahulah apa dah jadi pada aku. Lupakan semuanya yang aku cakap tadi. Lupakan saja."

"Yelah." Sion membalas dengan hati yang masih ragu-ragu.

"Bagus. Sekarang masa untuk kita kerja. Kat mana kawasan utama hari ni?"

"Kawasan JK01 dan ER005. Kena sapu daun-daun."

"Okey, mari mula kerja."

"Okey." Mereka mula menekan-nekan panel kawalan robot-robot pembersihan di Taman sebelum kedengaran suara Yamase mengaduh sedikit.

"Yamase?"

"Ah- tak ada apa-apa. Cuma jari-jari aku rasa semacam."

"Sakit?"

"Tak, tak...rasa macam kebas..." Kata-katanya terhenti secara tiba-tiba dan dia kemudian jatuh berteleku di lantai sambil menutup muka dengan telapak tangan.

"Kau okey tak ni?" Sion sedikit cemas.

"Mata aku.... aku tak nampak. Kabur..."

Baru sahaja Sion hendak menghulurkan tangannya untuk membantu Yamase, dia terus mematikan hasratnya apabila melihat rambut Yamase mulai berubah menjadi putih. Tompok-tompok mula kelihatan di tangan yang menutup wajahnya. 

"Sion... apa- apa yang dah jadi pada aku?"

Tubuh Sion terkaku tatkala dia melihat Yamase berubah menjadi seorang lelaki tua di hadapannya secara tiba-tiba. Perubahan yang teramat pantas itu amat mengejutkannya apatah lagi apabila dia melihat Yamase mulai merengkot di lantai dan tubuhnya kekejangan kerana mengalami kesukaran untuk bernafas. Sion pantas menghampiri interkom kecemasan.

"Kecemasan. Kami perlukan ambulans. Cepat!"

Yamase terbatuk lemah. Apa yang dah berlaku ni? Sion seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Semuanya kelihatan tidak realistik dan dia benar-benar panik- tidak tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Namun begitu, sebahagian daripada dirinya masih tenang. Perhati. Analisa. Tengok betul-betul. Perhatikannya dan serap semuanya sebagai satu pengetahuan.

Sion menelan air liurnya lalu mengangkat tubuh Yamase di lengannya. Selepas beberapa lama tubuhnya kejang, akhirnya dia kaku tidak bergerak. Jantung Sion berdegup pantas.

"Yamase?" Wajah Yamase memang tidak syak lagi kelihatan berusia malah lebih berusia dari umur seseorang yang masih hidup. Sion memeriksa nadi dan kelopak matanya. Dalam masa seminit sahaja, tubuh Yamase menjadi dingin seperti ais.. Mulutnya terbuka besar, sama seperti keadaan mayat di Taman Hutansemalam.

Sion, apa dah jadi ni? Aku tak percaya. Sion tidak dapat membayangkan ayat-ayat itu yang terbit dari bibirnya sendiri.

Aku kena tutup mata dia. Sion menekan jarinya di kelopak mata Yamase. Matanya tidak tertutup, malah dia sedar yang proses rigor mortis sudah pun bermula.

Sion jatuh terjelupuk di sebelah Yamase, menggenggam penumbuknya dan terus merenung mayat rakan sekerjanya yang baru sahaja berbual dengannya beberapa minit yang lalu. Tubuh Yamase benar-benar kaku.

Perhati. Analisa. Tengok betul-betul. Perhatikan dan serap semuanya sebagai satu pengetahuan. Dan ingat. Ingat. Ingat-

Sistem respiratori dan aktiviti kardiovaskular yang terhenti. Suhu badan yang merendah. Rigor mortis. Tompok-tompok. Perlesapan rigor mortis. Fenomena post-mortem yang sepatutnya akan berlaku selepas berbelas-belas jam, kini hanya memakan masa selama lima belas, tidak enam belas minit. Ianya bagaikan sedang menonton sebuah filem yang dipercepatkan.

Sion terus memerhatikannya dengan mata yang terbuka luas seolah-olah seperti dapat mengagak apa yang bakal berlaku kemudian. Sion sedang berpeluh. Peluhnya yang hangat itu menitik dari dahi hingga ke pipinya. Kehangatan itu memastikannya yang dia masih hidup.

Manusia yang hidup memang hangat. Kau memang betul, Nezumi. Badan manusia hangat sebab mereka masih hidup. Dan kau telah mengetahuinya empat tahun lalu.

Satu tompok berwarna hijau kehitaman mula kelihatan di leher Yamase. Sion menggigit bibirnya kuat hingga  dia terasa darahnya sendiri yang termasuk ke dalam mulut. Itulah dia, ia dah bermula - apa yang masih belum pernah berlaku sebelum ini. Sion menjengah ke hadapan untuk melihat dengan lebih teliti. Kesan tompokan itu bergerak-gerak dan kini sebahagian kulit Yamase kelihatan membengkak sedikit.

Bunyi penggera kedengaran menandakan Sampo telah mengesan objek yang tidak dikenalpasti ketika membuat rondaan. Sion tidak menghiraukannya walaupun sedikit. Kesemua sistem sarafnya terlalu tertumpu pada kesan di leher Yamase itu. Matanya tertancap lama padanya dan menantikan sebarang perubahan seterusnya.

Tidak lama selepas itu, Sion mula berteriak ketakutan sambil memegang dadanya apabila 'sesuatu' sedang memakan isi leher Yamase dari dalam melalui kesan itu. Sion terjatuh ke belakang dan jantungnya menendang kencang. Seekor serangga akhirnya keluar sepenuhnya dari leher Yamase - bersama sayap-sayap kecil, enam kaki yang berbulu dan sepasang antena. 

"Lebah.."

Seekor lebah baru sahaja keluar dari badan seorang manusia. Mana mungkin-

Lebah itu terbang tinggi di dalam pejabat itu. Mata Sion mengekori pergerakannya hinggalah dia ternampak ambulans dari Biro Perubatan yang berhenti di hadapan pejabat melalui tingkap. Dan matanya mulai terasa gelap sebelum dia rebah ke lantai. Serangga itu terbang mengelilingi bilik itu. Dalam kekaburan itu, Sion mengerang di lantai.

Sion terjaga apabila satu cahaya menyuluh ke dalam matanya. Dia dapat mendengar suara seorang lelaki bercakap dalam keadaan berbalam-balam.

"Dah bangun?"

Cahaya matahari memancar terik dari tingkap dan lelaki yang bercakap dengan Sion itu sedang berdiri membelakangi cahaya itu. Wajahnya kelihatan tidak jelas.

"Bangun. Saya ada benda nak tanya awak." 

Sion seperti pernah mendengar suara itu. Dia akhirnya tersedar yang dia sedang berbaring di atas sofa pejabatnya. Yamase yang dibalut dengan sehelai kain putih, sedang dibawa keluar dari bilik itu.

"Yamase."

Tanpa disedari, Sion memanggil nama rakan sekerjanya. Wajah senyum Yamase muncul di benak fikirannya untuk seketika bersama-sama memori lama mereka bersama-sama. Sejujurnya, mereka berdua bukanlah terlalu rapat. Bagi Sion, Yamase bagaikan seorang rakan sekerja yang lebih tua. Mereka tidak pernah bergaduh, malah tidak pernah juga berbual perkara-perkara yang terlalu peribadi. Namun, Sion memang sukakan Yamase. Lelaki itu tidak pernah menyibuk dan suka mengambil tahu hal orang lain, namun itu tidak bermakna dia langsung tidak pedulu. Dia ialah seorang lelaki biasa yang baik dan tidak lebih dari itu.

"Yamase." Mata Sion mulai hendak berkaca. Seketika kemudian dia terasa bahunya disentuh seseorang.

"Lepas ni awak boleh sedih-sedih, okey." Lelaki itu berkata dengan nada suara yang malas tanpa secalit emosi menyebabkan hati Sion berasa sedikit gentar.

"Boleh awak ceritakan pada kami apa yang berlaku?" Suara itu, Sion amat pasti dia pernah mendengarnya sebelum ini.

"Encik ni..."

"Lama tak jumpa, kan? Baguslah awak masih ingat saya."

Dia ialah Rashi, pegawai penyiasat dari Biro Sekuriti - seorang lelaki yang masih mempunyai suara yang lembut namun mata yang  dingin seperti empat tahun lalu. Lelaki yang sama yang menyoal siasatnya empat tahun lalu.

"Awak akan beritahu kami apa yang awak tahu, kan?"

Sion mengangguk laju tanpa disedarinya. Dia mulai berasa mindanya menjadi kusut, kepala dan badannya terasa berat dan suaranya kedengaran seolah-olah dia berada di tempat yang jauh.

Habislah aku.

Hatinya mulai berbisik memberikan amaran. Kali ini, dia tidak dapat mengawal kata-katanya seperti semalam lagi. Setiap soalan yang diajukan Rashi dijawab seolah-olah setiap jawapan sedang dipaksa keluar dari mulutnya.

"Lebah?" Kening Rashi bercantum. Dia mula memandang sekeliling dan mengangkat kepala ke udara. Tiada lebah atau apa-apa serangga pun kelihatan di dalam bilik itu ketika itu. 

"Saya tak percaya."

"Pergi periksa leher Yamase, sepatutnya ada kesan parut - " Dia menelan kata-katanya semula dengan wajah yang pucat. Sepatutnya ada kesan parut... Sepatutnya kesan parut yang sama turut berada di leher mayat lelaki semalam. Pihak Biro telah menyiasat kes semalam sebagai kematian luar biasa, dan tak mungkinlah mereka tidak menemui kesan itu. Mereka memang perasan, namun mereka masih memberitahu isteri kepada lelaki yang meninggal dunia itu yang kematian suaminya adalah disebabkan kemalangan. Mereka sengaja tidak mahu sebab kematian itu diketahui orang.

Sion melemparkan pandangannya menjauhi dari mata Rashi. Dia tahu yang dia terlalu banyak bercakap dan dia sedang ditimpa masalah. Dia telah mendedahkan segala-galanya yang dia tahu, fakta yang mungkin pihak Biro tidak mahu diketahui oleh orang luar - rahsia sulit yang mereka mahu sembunyikan. Kalau macam tu - 

"Dulu, awak ambil kelas ekologi, kan?"

"Saya pernah nak ambil, tapi tak sempat. Sekarang saya dah tak ada kena-mengena dengannya lagi."

"Awak berminat dengan biologi serangga juga?"

"Ekologi melibatkan semua interaksi antara spesis-spesis hidupan dengan persekitarannya. Bukan serangga saja yang saya minat."

"Ah, ye ke? Jadi, apa maksud awak dengan interaksi antara spesis-spesis hidupan dengan persekitarannya?"

"Itu-"

Sion mulai sedar dahinya sudah berpeluh dingin. Rashi kemudian mengukir senyuman nipis penuh rahsia walaupun nada suaranya kedengaran senada sahaja. Pandangan matanya tidak pernah lari dari memandang wajah Sion. Tidak lama kemudian, dua orang pegawai Biro Sekuriti menghampiri Rashi dan salah seorang daripada mereka berbisik di telinganya.

Selepas itu, Rashi pula bercakap sambil memandang tepat ke wajah Sion. "Saya harap awak tak kisah ikut kami ke Biro Sekuriti sekejap."

"Huh?"

"Tak ada apa-apa pun. Kami cuma nak dengar cerita awak saja. Ianya takkan ambil masa yang lama."

"Saya.."

Kedengaran bunyi penggera dari alat kawalan menandakan Sampo sedang menghantar isyarat ralat 'objek tidak dikenalpasti'.

"Maafkan saya. Saya kena jaga robot-robot ni."

"Tak perlu. Awak pun mesti tak boleh buat kerja untuk hari ni."

Sion tidak menghiraukannya lalu terus menghidupkan kamera. Seekor tikus kecil berwarna kelabu muncul di skrin dan ia sedang berlari-lari di atas lengan Sampo. Mulut tikus itu kelihatan bergerak-gerak, lalu Sion segera mendekatkan earphone ke telinganya dan menguatkan sensor bunyi di badan Sampo.

"Sion." Suara Nezumi berkumandang di telinganya. "Keluar dari situ. Kau dalam bahaya."

Apa?

"Keluar dari situ."

Klik. Dia mendengar satu bunyi di belakangnya dan apabila dia berpusing, dia menyedari yang dia sedang diacukan dua laras senapang. Dia tidak tahu apakah jenis senjata itu, namun dia dapat mengagak yang senjata itu bukanlah senjata berteknologi tinggi - ianya adalah model lama, model yang lebih efektif untuk membunuh. Pemburu-pemburu memang sukakan senjata begini. Sion segera menghidupkan pembesar suara di badan Sampo senyap-senyap supaya Nezumi dapat mendengar suaranya pula. 

"Encik nak tahan saya?"

"Nampaknya macam tu lah. Awak mesti ikut kami sekarang."

"Apa sebabnya encik nak tahan saya?"

"Sebab? Tak perlu tu. Tapi, kalau awak nak tahu jugak, basikal awak boleh dijadikan sebab kenapa saya tahan awak."

"Basikal saya?" Dahi Sion berkerut.

"Awak gunakan basikal yang tidak mempunyai pengehad kelajuan. Itu menyalahi undang-undang dan cukup untuk buat awak ditahan."

"Apa - merepek betul alasan tu. Disebabkan alasan yang remeh tu, tanpa prosedur yang sepatutnya, dan menggunakan kekerasan, encik nak tahan saya? Macam ni ke kamu semua tahan penduduk bandar ni? Mana hak saya sebagai seorang warganegara?"

"Warganegara? Hak?" Rashi tersenyum menyindir dengan mata yang kelihatan bersinar. "Awak ingat awak ada semua tu?"

Sion dapat mendengar Nezumi membunyikan lidahnya. Tsk.

"Rasanya aku takkan sempat." Sion berbisik perlahan sambil menarik nafasnya dan mula hendak mematikan sistem komputernya. Namun, sebelum ianya terpadam, dia terdengar satu mesej pendek dari Nezumi dengan jelas sekali.

"Sion, jangan panik. Aku datang tolong kau."

(bersambung di bahagian b)

Sunday, September 25, 2011

Vol. 1 Ch. 2 Bahagian b

"Sion." Safu menegur seraya meletakkan kedua-dua belah sikunya di atas meja. Dia kemudian menjengah ke meja dan meletakkan dagunya di atas kedua-dua belah tangannya sambil memandang ke arah Sion. 

"Aku nak tanya kau sesuatu." 

"Apa dia?"

"Empat tahun lalu, kenapa kau tak sambung belajar dalam Kurikulum Istimewa tu?" Soal Safu masih memandang Sion yang sedang menggigit sekeping pai epal yang manis. Isi pai itu kelihatan meleleh ke atas pinggannya.

"Kenapa baru sekarang kau nak tanya?"

"Sebab aku nak tahu. Dari dulu, kau memang pelajar yang pintar. Otak kau senang terima dan proses maklumat dan kau pandai mengaplikasikannya. Semua cikgu kita memang letak harapan yang tinggi pada kau."

"Kau puji aku melangit sangat, Safu."

"Betullah. Dah memang terbukti. Atau kau nak aku tunjukkan keputusan peperiksaan kau empat tahun dulu tu?"

"Safu." Secara tiba-tiba tekak Sion terasa pahit, rasa pahit hingga ke seuruh badannya.

"Apa gunanya kau tanya aku sekarang? Empat tahun dulu, mereka yang cakap aku tak layak masuk Kurikulum Istimewa tu, jadi aku dah kehilangan semua keistimewaan aku. Bukannya aku yang pilih untuk tak nak masuk, tapi aku memang tak boleh. Sekarang ni aku bekerja di Pejabat Pengurusan Taman untuk bayar kos pelajaran kelas perdagangan aku dari Biro Buruh. Tapi, disebabkan attendance aku tak berapa baik, aku sendiri tak pasti samada aku boleh graduate atau tak. Itulah realitinya sekarang."

"Kenapa pulak kau boleh hilang kelayakan?"

"Aku tak nak cakap pasal tu."

"Tapi, aku nak tahu."

Sion menjilat lapisan kerak pai yang tertinggal di jarinya dan menutup mulutnya segera. Dia sememangnya tidak mahu bercakap tentang perkara itu malah, tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada Safu supaya dia faham.

Sebenarnya, alasannya sangat mudah. Dia telah melindungi seorang VC dan membantunya melarikan diri. Biro Sekuriti akhirnya mendapat tahu apabila mereka berasa curiga kerana penggera keselamatan di rumah Sion tidak dihidupkan dan Sion telah menutup sistem pengesan objek asing di dalam biliknya. Sistem keselamatan di setiap rumah semuanya bersambung dengan sistem komputer di Biro Pentadbiran Pusat, dan mudah untuk dikesan.

Kurang dari sejam setelah Nezumi meninggalkan biliknya, pegawai-pegawai dari Biro Sekuriti datang dan mengetuk pintu rumahnya. Dan itulah permulaan untuk satu sesi soal-siasat yang panjang.

-Awak tahu dia seorang VC?
Ya.
-Kenapa tak telefon polis segera?
Ermm...
-Jawab soalan saya. Awak tak perlu terburu-buru, cuma jawab dengan jelas dan tepat.
Itu sebab, dia nampak sebaya dengan saya dan dia cedera parah. Saya kesian pada dia..
-Jadi, awak bersimpati dengan VC ini, tak hubungi pihak polis, tapi awak rawat kecederaan dia dan bantu dia lari.
Ya.

Pegawai yang menyoal-siasatnya bernama Rashi, seorang lelaki yang bercakap dengan nada suara yang baik dan tidak pernah meninggikan suaranya. Malah, selesai aktiviti soal siasat itu dua hari kemudian, dia menepuk bahu Sion dengan mesra dan berkata, "Saya tahu ianya agak susah untuk awak. Tapi, terima kasih." Namun, Sion sedar mata Rashi tidak pernah tersenyum walaupun sekali. Sampai sekarang pun, pandangan mata yang tidak mesra dan dingin itu muncul di dalam mimpinya dan dia akan bangun keesokan harinya menggeletar dan bermandikan peluh dingin.

Dia telah menyembunyikan seorang penjenayah, malah membantunya melarikan diri. Sion tidak dihukum untuk kesalahannya itu, tetapi dianggap sebagai seseorang yang tidak mempunyai keupayaan untuk mempertimbangkan perkara yang sepatutnya dan tidak mempunyai kemahiran untuk bertindak, maka segala keistimewaannya telah dilucutkan.

Sebaik sahaja taufan yang melanda No. 6 mereda, Sion dan Karan diarahkan keluar dari kawasan elit itu. Mereka tidak mempunyai tempat berteduh dan tidak mempunyai wang. Dia juga tidak lagi dibenarkan menghadiri Kurikulum Istimewa penghkhususan Ekologinya itu.

Segala kestabilan hidupnya kini telah hilang. Bagaikan dedaun yang terbang ditiup angin di dalam hujan ribut, kehidupan lamanya tidak akan kembali. Itulah pertama kali dalam hidupnya, Sion merasakan dirinya benar-benar tumpas. 

No. 6 tidak mempunyai sistem kebajikan. Insurans kehidupan hanya diberikan kepada warganegaranya berdasarkan sumbangan mereka. Sion dan Karan dilayan sebagai orang-orang yang gagal untuk menyumbang mereka kepada negara, mereka berada di dalam golongan terendah di dalam hierarki masyarakat. Sebab itulah selain daripada dihalau daripada bandar itu, mereka juga tidak layak lagi menerima sebarang bantuan ataupun isurans.

Elit hidangan petri. Nezumi telah menggunakan istilah ini pada malam itu, dan ianya memang benar. Sion mula menyedari kesusahannya setelah dia dan ibunya dihalau dari 'bekas yang sentiasa tertutup dan terlindung' ini. Ternyata No. 6 mengamalkan sistem kasta. Hierarki masyarakatnya disusun di dalam struktur sebuah piramid. Sekali terjatuh ke bawah, memang susah untuk merangkak semula ke atas.


"Seriusnya kau ni." Safu ketawa. "Yelah, aku faham. Kalau susah sangat nak terangkan, aku takkan tanya lagi."

"Sorry." Sion mengangkat tangannya membentuk gaya meminta maaf. Dia lega kerana Safu tidak lagi bertanya dengan lebih lanjut. Hakikatnya, peristiwa ini mudah saja hendak diterangkan. Dia memang hendak memberitahu Safu tentang kehidupannya yang sudah kucar-kacir itu. Tapi, apa yang Sion khuatirkan ialah, dia tidak dapat mencari perkataan yang sesuai untuk menerangkan tentang perasaannya. Dia sendiri terperanjat kerana dia langsung tidak menyesali apa yang berlaku. Walaupun dia memang berasa terkejut sedikit pada mulanya, namun dia langsung tidak merasakan apa yang dilakukannya itu membawa kehancuran padanya. Sampai sekarang pun, dia masih tertanya-tanya. Apa akan jadi kalau dia dapat memutarkan masa kembali pada malam hari jadinya yang ke-12 itu? Adakah dia akan menelefon pihak polis? Adakah dia akan membuka penggera keselamatan di rumahnya? Dan jawapannya sentiasa sama iaitu "tidak."

Meskipun dia mempunyai peluang untuk kembali ke masa itu, dia akan tetap melakukan perkara yang sama. Dia tetap akan menerima penceroboh itu juga. Dia benar-benar yakin. Bukannya dia berasakan kehidupannya sekarang lebih baik dari dulunya. Dia masih meminati ekologi, merindui pembelajarannya di sekolah dulu, kehidupan lamanya yang amat selesa itu - dan dia juga sukakan kata-kata pujian dan rangsangan serta pandangan dari mata mereka yang menyanjunginya dulu. Tetapi, walau macam mana pun, dia tetap akan melakukan perkara yang sama. Kalaulah dengan menerima Nezumi, bermakna kehidupannya akan musnah, maka biarlah kemusnahan itu berulang dan berulang lagi. Dia tidak pernah menyesal dengan apa yang dia lakukan sejak malam itu walaupun dia sendiri tidak tahu apa sebabnya.Yang ada hanyalah keinginan hatinya untuk bertemu dengan Nezumi sekali lagi.

Sion tidak berkeyakinan untuk menjelaskannya kepada Safu. Dia tidak mempunyai pilihan lain selain daripada hanya terus berdiam diri.

"Jomlah Sion." Safu bangkit berdiri. Restoran itu kelihatan semakin padat dan semakin susah mereka hendak mendengar suara masing-masing.

"Aku hantar kau sampai ke stesen." Sion menawarkan diri.

"Mestilah. Kau memang kurang sopan kalau kau biar budak perempuan balik sorang-sorang."

"Alah... kau tu kuat walaupun nampak kecik dan kurus macam ni. Dan kau lari laju juga. Aku selalu rasa kau lebih sesuai ambil seni mempertahankan diri daripada bidang fisiologi." Bangkang Sion.

"Kau tahu, kau memang betul. Semua orang cakap aku boleh jadi emosional tiba-tiba walaupun aku ni sebenarnya pendiam. Mungkin aku memang tak sesuai bekerja dalam makmal agaknya."

Mereka berjalan beriringan menuju ke stesen. Selain daripada restoran, aktiviti lewat malam lain sememangnya dilarang di dalam bandar. Apabila hari semakin menginjak ke tengah malam, orang ramai di jalanan juga semakin berkurangan. Sion menepuk bahu Safu perlahan. Kata-kata gadis itu kedengaran berbunyi kecewa di telinganya.

"Itu ke kata-kata orang yang baru lulus periksa dan akan pergi belajar di luar negara?"

Safu mengangkat mukanya dan tersengih. "Kau cemburu, eh?"

"Yelah."

"Pengakuan jujur nampak."

"Jujur terhadap diri sendiri, dan berbuat baik pada orang lain. Inilah moto hidup aku sekarang ni."

"Penipu!"

"Huh?"

"Kau langsung tak cemburukan aku, Sion."

Sion berhenti berjalan dan memandang ke arah Safu yang sedang merenungnya dengan pandangan mata yang sedang mencabar. Baru sahaja dia hendak memanggil nama Safu, Sion terasa bahunya dicekak seseorang dari belakang.

"Maafkan saya." Sion menoleh dan terpandang seorang lelaki sedang berdiri dibelakangnya sambil tersenyum. Dia sedikit rendah dari Sion dan memakai pakaian seragam Biro Sekuriti yang berwarna biru dan diperbuat daripada sejenis bahan dipanggil superfibre. Pakaian itu turut dilengkapkan dengan ves kalis peluru dan kelihatan amat selesa dipakai. Sion sedar yang bilangan unit beruniform pegawai penguatkuasa undang-undang semakin ramai di kawasan yang berdekatan dengan West Block. Sion menolak tangan lelaki itu dari bahunya dengan tenang.

"Boleh saya tolong encik?" Sion menyoal.

"Ah.. saya cuma nak tanya kamu berdua beberapa soalan. Berapa umur kamu ni?"

"Enam belas."

"Kamu berdua?"

"Ya."

"Kamu tahu kan mereka di bawah umur 18 tahun dilarang berkeliaran di luar lepas pukul 9?"

"Tahu. Tapi sekarang ni belum pukul 8 lagi."

"Sion." Safu pantas berbisik. Dia mahu menghalang Sion dari terus bertekak dengan pegawai itu. Namun, pakaian seragam Biro Sekuriti itu mengingatkan Sion pada mata pegawai yang menyoal siasatnya 4 tahun lalu. Disebabkan itulah dia lebih terasa seperti hendak melawan daripada berasa takut.

"Bagi saya tengok kad pengenalan kamu berdua." Senyuman di bibir lelaki itu mulai pudar setelah menyedari sikap memberontak Sion itu, lalu dia terus mengarahkan untuk melihat kad pengenalan mereka berdua. Safu menyerahkan kad peraknya dengan senyap dan diikuti oleh Sion.

"Beritahu saya nombor Pendaftaran Warganegara kamu"

"SSC-000124GJ."

Qw- 55142."

Lelaki itu mengeluarkan kad-kad itu dari card-reader dan tunduk sedikit kepada Safu.

"Pelajar Kurikulum Istimewa macam cik ni tak sepatutnya merayau-rayau di kawasan ini malam-malam begini. Saya cadangkan cik pulang ke rumah."

"Saya memang dah nak balik ni ... saya dalam perjalanan ke stesen."

"Biar saya hantar cik ke sana."

"Tak apa, terima kasih. Dia yang akan hantar saya." Safu memeluk lengan Sion.

"Biar saya yang hantar dia." Kata Sion. "Memang kami nak pergi ke stesen pun. Jomlah, Safu."

Sion menarik tangan Safu selepas merampas kad-kad pengenalan mereka dari tangan pegawai itu dan berjalan menjauhinya. Apabila dia berpusing kebelakang semula, lelaki itu telah hilang dari pandangan ditelan orang ramai.

"Takutnya." Safu mengurut dadanya. "Aku tak pernah kena marah dengan Biro Sekuriti."

"Aku dah biasa." Sion membalas. "Kalau kau tak ada kad Kurikulum Istimewa tu, lagi teruk kita kena."

"Ye ke?"

"Betul. Macam tren yang kau nak naik ni. Kalau kau ada kad pengenalan tu, kau boleh naik Kelas Pertama dengan senang. Macam tu lah kehidupan di bandar ni. Semua orang dikelaskan ikut kemahiran, harta dan macam-macam lagi lah."

"Jangan cakap macam tu lah." Safu membantah. "Mana boleh kita kelaskan orang macam kita kelaskan sampah atau benda-benda. Orang adalah orang. Semuanya manusia."

"Safu, dalam bandar ni tak kira lah kau orang ke bukan. Asalkan kau berguna di sini, kau akan dapat layanan istimewa. Macam tu je."

"Sion..."

"Macam tadi kau kata aku penipu. Mana adalah. Mestilah aku cemburu sebab kau dapat semua keistimewaan dan kau boleh belajar apa yang kau nak belajar. Aku cemburu dan iri hati pada kau, Safu. Kau ada semuanya yang aku tak ada."

Sion berhenti seketika dan mengeluh berat. Nampaknya dia sudah melampau. Memang memalukan dan teruk.

Safu turut mengeluh.

"Kau masih seorang penipu, Sion."

"Huh?"

"Kau tak dengar apa aku cakap? Kau-masih-seorang-penipu. Aku boleh tambah perkataan 'besar' kat situ, kalau kau nak. Kau cuma berpura-pura cemburu pada aku. Ataupun kau langsung tak sedar yang kau tengah menipu? Huhh..."

"Safu, apa yang..." Sion terpinga-pinga.

"Kalau betullah kau cemburu, kau takkan keluar makan dengan aku hari ni. Tapi, kau boleh pulak makan, ketawa, dan berbual dengan aku macam biasa, macam tak ada apa-apa."

"Hei, aku pun ada ego jugak tau. Takkanlah aku nak tunjuk terang-terang yang aku cemburukan kau."

"Sion, kau dah lupa yang pengkhususan aku ialah dalam bidang otak dan hubungannya dengan hormon." Kata Safu dengan tegas.

"Aku tahu."

"Baguslah, sebab kalau kau tak tahu, aku takkan marah. Aku takkan cakap yang kau ni menipu dan berpura-pura kalau tak ada sebab, okey." Safu menyambung lagi.

"Ye la kut." Sion membalas teragak-agak.

"Kalau kau rasa cemburu, kau pasti akan tertekan. Dan kalau kau tertekan, kelenjar adrenal kau akan membebaskan hormon steroid yang dipanggil corticosteroids yang akan mempengaruhi otak kau. Aktiviti otak kau kemudian akan ..."

"Okey Safu. Aku faham." Sion mencelah. "Cukuplah tu. Simpan syarahan kau tu dan aku akan dengar elok-elok nanti.."

"Dengar cakap aku. Kau langsung tak rasa tertekan dan kau tak benci atau iri hati pada aku langsung. Sion, apa sebenarnya yang kau nak buat?"

"Huh?"

"Kalau kau memang nak sambung belajar, kau mesti akan cemburukan aku. Tapi, kau tak. Kau kata aku ada segalanya yang kau tak ada. Habis tu, apa yang kau ada? Kau tak boleh kata kau tak punyai apa-apa." Safu menambah. "Orang-orang yang tak ada apa-apa - tak - orang yang fikir dia tak ada apa-apa lagi, tak boleh senyum macam kau. Atau bercakap macam kau. Kau memerlukan latihan khas untuk kawal emosi dan tindakan kau. Aku tak rasa kau jenis yang bertindak mengikut perasaan, tapi aku juga tak rasa kau ni jenis yang boleh kawal perasaan kau seratus peratus jugak. Satu-satunya sebab kau boleh bersembang macam biasa dengan aku ni ialah kau ada kestabilan emosi."

"Safu, apa yang kau cakap ni cuma teori. Manusia ada emosi yang kompleks. Manusia bukan macam tikus makmal. Aku tak rasa kau boleh jelaskan tentang emosi mempengaruhi tindakan manusia semudah ini. Kau terlalu memandang rendah dengan keupayaan dan sifat manusia."

Safu mengangkat bahu tidak peduli. Mereka semakin menghampiri stesen tren.

"Kalau macam tu biar aku cakap dalam konteks yang lain. Kestabilan emosi ... aku cakap pasal harapan dan impian. Kau ada semua tu sebab tu kau rasa kau tak perlu rasa cemburu terhadap aku. Sion, apa sebenarnya yang kau harapkan?"

Harapan. Dia menyebut perkataan itu dengan senyap berulang-ulang kali. Ianya adalah perkataan yang telah lama tidak disebutnya sejak beberapa tahun lalu. Perkataan itu bukanlah perkataan yang manis malah bukan juga pahit, namun ia berupaya menghangatkan tubuhnya perlahan-lahan.

Harapan. Apa sebenarnya yang aku harapkan?


Masa hadapannya telah pun musnah. Apa yang tinggal di dalam dirinya hanyalah seorang ibu, gaji yang tidak seberapa dari pekerjaannya dan badan berusia 16 tahun kepunyaannya itu. Dia sendiri tidak tahu apakah harapan yang ada di situ. Namun apa yang dia pasti ialah, dia masih tidak kehilangannya juga.


Mereka telah tiba di stesen. Bandar lama tempat Sion tinggal sekarang terletak bertentangan dengan West Block dan sempadan bandar, dan bertindak sebagai zon penampan (buffer zone)* di antara pusat bandar dan West Block. Ianya digelar Lost Town, sebuah kawasan yang tenang dari kejauhan pusat bandar dan padat dengan penduduk.

"Aku boleh balik sendiri." Safu berhenti. Seekor serangga berwarna hitam hinggap di bahunya dan dia segera menepuknya.

"Hati-hati. Oh, bila kau nak bertolak?"

"Lusa."

"Lusa? Kenapa tak beritahu aku awal-awal?"

"Sajalah. Kau nak buat majlis perpisahan ke kalau aku bagitahu awal-awal?"

Safu menjongketkan dagunya ke hadapan sambil tersenyum. "Sion, aku nak minta sesuatu dari kau."

"Boleh kalau aku sempat..."

"Sperma."

Safu memandang ke arah Sion dengan pandangan mata yang serius. Matanya tidak berkelip walaupun sekali menyebabkan rahang Sion terbuka luas.

"Kau tak dengar ke? Aku nak sperma kau."

"Uh- apa? Safu... um-"

"Dalam ramai-ramai orang, aku tahu kau boleh menjadi penyumbang sperma yang berkualiti. Kau tak rasa sperma kau dan ovum aku boleh menghasilkan anak yang sangat sempurna? Aku mahukannya, Sion."

"Persenyawaan artifisial memerlukan kebenaran dari kerajaan." Sion menjawab dengan hati-hati.

"Nak dapat kebenaran tu senang saja. Kerajaan menggalakkan persenyawaan artifisial di antara dua orang yang mempunyai DNA yang unggul dan mempunyai kemahiran yang cemerlang." Safu membidas.

Sion menelan air liurnya dan menoleh dari menatap wajah serius Safu. Seekor serangga bersayap terbang di hadapannya sambil berbunyi degungan yang amat menyakitkan telinga.

"Safu, aku tak tahu samada aku pernah beritahu kau ni. Sebenarnya aku tak pernah kenal ayah aku. Aku tak tahu dia bagaimana orangnya ataupun samada dia ada penyakit atau tak."

"Aku tahu tu. Tapi, ibu bapa tak penting. 99 peratus daripada genetik manusia dah berjaya ditafsir dan aku boleh tahu tentang data genetik kau dengan mudah."

"Lepas tu...  bila kau dah dapat maklumat tentang aku dan ada sesuatu yang kau tak suka dalam genetik aku, kau nak buat apa?"

"Hmm... itu.."

"Safu, apa sebenarnya maksud kau ni? Kau ingat siapa manusia tu bergantung pada DNA nya ke? Memanglah kau boleh analisa DNA aku tapi, apa yang kau akan dapat kalau kau buat macam tu? Kau cakap macamlah senang untuk dapat anak, tapi..."

"Aku tahulah!" Suara Safu meninggi dan kedengaran dingin memotong kata-kata Sion membuatkan dia tersentak.

"Kita dah bersama sejak umur kita 2 tahun. Aku kenal kau orang yang macam mana, apa yang kau suka buat.. aku tahu. Aku tahu semuanya, dan aku perlu beritahu kau ni - kau tu yang tak tahu apa-apa."

"Apa?"

Safu besuara di bawah nafasnya dengan nada yang amat rendah. Sion merapatkan telinganya ke hadapan, cuba untuk menangkap kata-katanya.

"Aku nak tidur dengan kau."

Suara Safu bergema bagaikan bunyi loceng di dalam telinga Sion.

"Safu..."

"Aku tak mahu sperma kau. Aku tak mahu buat persenyawaan artifisial. Aku tak peduli ada anak atau tak. Aku cuma nak tidur dengan kau. Itu saja."

"Nanti dulu, uh.. Safu, aku.."

"Sekarang."

Sion menghela nafasnya kuat sehingga dia terasa makanan berminyak tadi di nostrilnya. Jarum jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 8 malam. 

"Bukan sekarang."

"Kenapa? Kau tak berminat dengan aku? Atau kau tak berminat dengan seks?"

"Aku berminat dengan kedua-duanya. Tapi... bukan sekarang. Bukan dengan kau."

"Jadi sebab akulah?"

"Tak, bukan macam tu. Sekarang ni aku... aku tak nak tergesa-gesa."

"Kau tahu tak, cara kau bercakap ni macam kau tak pernah rasa apa-apa terhadap aku."

"Ya. Aku selalu anggap kau macam kawan aku. Tak lebih dari itu."

Safu mengeluh berat. "Macam tak percaya! Apa-apa sajalah, aku nak balik rumah."

"Safu, dua tahun lagi ..."

"Hmm?"

"Program pertukaran pelajar tu dua tahun kan? Bila kau balik nanti, aku akan tanya kau."

"Samada aku masih berminat?"

"Ya."

"Kau ni memang bodoh betul. Macam manalah kau boleh hidup sampai sekarang."

"Jaga diri, Safu. Jangan kerja keras sangat."

"Oh, aku memang akan kerja keras. Sampai semua budak lelaki akan jauhkan diri daripada aku."

Safu melambai sebelum berpusing membelakangi Sion dan menjerit kecil. Seekor haiwan kecil berwarna kelabu berlari melintasi kaki Safu dan memanjat badan Sion.

"Tikus!"

Seekor tikus kecil duduk di atas bahu Sion sambil menguis-nguis hidungnya.

"Tak sangka ada tikus di bandar ni. Tapi, comellah." Safu kelihatan sedikit teruja.

"Jinak pulak tu."

Tikus itu merapatkan mukanya ke telinga Sion.

"Kau ni masih naif macam dulu." Ia berbisik.

Sion terasa seperti terkena renjatan elektrik di seluruh badannya. Dia cuba menangkap tikus itu, namun ia terlepas dan berlari menuruni bahunya dan keluar dari stesen tren itu. Memang benar, Lost Town ialah sebuah daerah yang agak tua namun kewujudan tikus di dalam bandar ini memang agak mustahil. Biro Kesihatan dan Kebersihan sentiasa berjaga-jaga dan mengambil inisiatif untuk menghapuskan serangga dan haiwan berkeliaran.

Sion berlari di celah-celah orang ramai mengejar seekor tikus kecil yang semakin hilang dari pandangan. Dari kesibukan itu, dia terlihat sepasang mata berwarna kelabu sedang memandang ke arahnya. Walaupun hanya untuk seketika, seluruh badannya tersentak dan terasa menyengat.

"Nezumi!"

"Sion, kenapa kau ni?"

"Safu, kau boleh balik sendiri, kan?"

"Apa? Memanglah. Aku memang nak balik pun. Kenapa kau tiba-tiba nampak teruja sangat ni?"

"Maaf. Aku telefon kau nanti."


Selepas mereka berpisah malam itu, dia tidak akan berjumpa dengan Safu lagi selama 2 tahun. Dia tahu yang dia sepatutnya menghantar gadis itu dengan baik, atau sekurang-kurangnya menghantarnya dengan senyuman sehingga dia menaiki tren.  Namun, dia sedar yang dia tidak dapat berbuat demikian. Safu sememangnya penting baginya, tak kiralah samada mereka akan bersama ataupun tidak. 

Badannya sekali lagi bergerak sendiri, tanpa sempat dia berfikir apa-apa. Ya, dia pernah mengalaminya empat tahun lalu - walaupun dia selalu tahu apa akibatnya.

Pasang sistem sekuriti. Laporkan kepada Biro Sekuriti. Jangan terima sebarang entiti asing di kediamannya. Dia telah menolak semuanya. Tidak mengendahkan apa yang seharusnya dilakukan. Sekarang juga sama. Dia membenarkan emosinya mengawal tindakannya.

Hujan semakin lebat turun di luar. Titisan hujan mula jatuh ke pipinya. "Sion." Karan menyambut anaknya di pintu dengan mata yang terbuka luas. "Kenapa kamu basah ni? Kamu buat apa?"

"Berjalan."

"Dalam hujan? Dari mana?"

"Stesen."

"Kenapa kamu biarkan badan kamu basah ni?"

"Saya nak tenangkan diri."

"Tenangkan diri? Hmm... kamu ni.."

Sion ketawa kecil dan mula mengelap rambutnya dengan tuala. Sejak akhir-akhir ini, rumahnya terasa sejuk sekali apabila hujan turun. Karan menguap. Sudah sampai masanya untuk dia tidur. Dia membuka sebuah kedai bakeri kecil di satu sudut dalam Lost Town ini. Ternyata kedai kecil itu mampu menarik perhatian penduduk-penduduk di situ dengan aroma roti yang harum memikat selera. Kedai bakeri itu dibuka seawal pagi, jadi dia perlu tidur awal juga. Bagi Karan, pukul 9 itu bagaikan tengah malam untuknya.

"Ibu rasa ibu nak tambah butter rolls esok. Mungkin ibu nak cuba jual kek-kek kecil dan muffin juga. Apa pendapat kamu?"

"Macam kek ceri?"

"Ya. Orang ramai boleh beli sebagai hidangan sampingan, selain daripada roti. Mungkin boleh jadi hadiah untuk hari istimewa juga."

"Okey jugak tu." Sion bersemangat.

"Kamu rasa macam tu? Ibu rasa kalau kita jual kek, akan buat kedai kita lebih seronok."

Sion mengangguk dan mula meninggalkan ruang tamu. Di dalam rumah mereka yang sempit itu, mereka tidak mempunyai ruang tidur yang mewah. Karan tidur di satu sudut di ruang tamu, manakala Sion pula menjadikan stor sebagai tempat tidurnya.

"Sion." Ibunya memanggil. "Ada sesuatu dah terjadi ke?"

"Huh?"

"Ada benda yang terjadi ke, sampai buat kamu nak tenangkan diri?" Karan menyambung tanpa menunggu jawapan dari anaknya itu. "Bila kamu balik tadi, kamu nampak sedang mengelamun jauh. Kamu tak sedar pun badan kamu basah dalam hujan tadi. Dan... sekarang pun.."

"Sekarang?"

"Kamu nampak macam berfikir jauh, tapi teruja dengan sesuatu... muka kamu memang pelik. Kamu nak ibu bawakan cermin?"

Sion menarik nafasnya.

"Ada orang mati di taman hari ni."

"Apa? Di Taman Hutan? Tapi, tak ada pulak dalam berita."

Tiada dalam berita? Adakah ini bermaksud lelaki itu meninggal dunia di atas sebab semulajadi? Kematian yang biasa, sebab itulah tiada di dalam berita? Sion menggeleng-gelengkan kepalanya. Mestilah tidak. Jangka masa badan mayat itu menjadi kaku, ekspresi di wajahnya, kesan hijau kehitaman di badannya. Semuanya terlalu luar biasa.

Siang tadi, dia hanya menjelaskan apa yang ditemuinya di tempat kejadian kepada Biro Sekuriti. Dia berpura-pura tidak menyedari keadaan rigor mortis dan kesan hijau itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa, tetapi suara hatinya menyuruhnya supaya berpura-pura dan menipu. Sama seperti seekor haiwan yang mempunyai naluri mengesan kebahayaan, naluri Sion juga bertindak yang sama. Naluri - sekali lagi. Dia tidak bertindak berdasarkan alasan, sebaliknya berdasarkan firasat. Dia membelakangi sebab dan logik akal dan terlalu bergantung kepada nalurinya. Sion mengeluh berat dengan nafas yang tersekat-sekat.

"Jadi, sebab tu lah kamu nampak teruja?"

"Ya. Saya tak pernah tengok mayat sebelum ni."

Saya menipu, ibu. Saya nampak mata itu lagi, hari ni. Saya nampak Nezumi. Saya dapat rasakan sesuatu akan berlaku. Sebab tu lah - 

Karan mengukir senyuman dan mengucapkan selamat malam. Sion membalas dan meninggalkan ruang tamu.

Sion merebahkan badannya di atas katil. Badannya menggeletar kesejukan dan belakang kepalanya terasa berdenyut-denyut. Sebaik sahaja dia menutup matanya, imej-imej masa lampau yang tersimpan di otaknya mulai terimbau bagaikan filem projektor. Kesan kehijauan, kubis, kemeja merah jambu, wajah Safu, Aku nak tidur dengan kau. Seekor tikus yang memanjat badannya, Kau ni masih naif seperi dulu. Badan Sion terasa hangat membahang. Degupan jantungnya bertambah laju. Ianya bukan mimpi. Bukannya ilusi. Nezumi memang betul-betul ada di situ, di celahan orang ramai di stesen tadi. Bagus betul cara kau munculkan diri tadi. "Jahat!" Dia bermonolog di bawah nafasnya. Apa tujuan Nezumi memunculkan dirinya begitu? Dalam masa sesingkat itu? Kenapa begitu sekejap Nezumi muncul dihadapan mata aku?

Sion duduk di atas katilnya. Pada hari yang sama dia menemui mayat di taman, Nezumi muncul kembali. Adakah semua ini kebetulan? 

Bunyi deringan telefon bimbit di kad pengenalannya mematikan lamunannya. Mustahil! Dia tahu panggilan itu tidak mungkin dari Nezumi, namun hatinya berdebar-debar. Jemarinya menggeletar semasa dia mengeluarkan kad itu. Huruf-huruf berwarna putih muncul si skrin membentuk nama Safu. Sion menghela nafas kecewa dan menekan butang Talk lalu wajah Safu muncul di skrin.

"Sion, kau dah tidur?"

"Ah- um, belum."

Dia benar-benar terlupa. Dia sepatutnya menelefon gadis itu semula.

"Safu, aku minta maaf pasal tadi. Aku..."

"Orang tu penting sangat untuk kau ke?"

"Huh?"

Safu mengukir senyuman hambar.

"Aku tak pernah tengok kau macam tadi. Kau tahu tak muka kau macam mana?"

"Huh? Nanti, muka aku teruk sangat ke?"

"Sebenarnya menariklah. Buat aku tertanya-tanya sepanjang masa. Mula-mula, kau nampak terkejut sangat-sangat, lepas tu kau nampak seronok, teruja. Cukup teruja sampaikan kau dah tak ingat benda lain lagi. Kemudian kau tiba-tiba meluru keluar dari stesen dan tinggalkan aku sorang-sorang."

"Maaflah, Safu. Aku tak tahu macam mana lagi nak cakap."

"Tak apalah. Sekurang-kurangnya, aku dapat tengok diri kau yang tak pernah aku tengok sebelum ni. Jadi, siapa dia? Siapa orang yang buat kau rasa macam tu? Dia tu penting sangat ke sampaikan kau terkejar-kejar dia dan lupakan segala-galanya?

"Ya."

Sion sendiri terperanjat dengan jawapan spontan yang meluncur dari mulutnya itu.

"Um, Safu, jangan salah faham. Dia bukan teman wanita aku. Uh, aku tak boleh terangkan pada kau, tapi..."

"Ni jugak pertama kali aku tengok kau susah nak terangkan sesuatu pada orang. Tak apalah kalau kau dah ada teman wanita. Aku tak kisah kalau kau sukakan orang lain. Tak, aku tipu. Tengoklah aku ni. Dah selalu sangat aku buat muka tabah depan orang. Dah jadi tabiat aku, agaknya."

"Tak betul tu." Sion mencelah. "Kau selalu jujur pada diri kau sendiri."

"Cuma depan kau saja. Kau tak sedar ke?" Safu menyambung dengan wajah yang serius.

"Safu, um- jaga diri kau baik-baik. Lepas dua tahun - "

"Aku cintakan kau, Sion. Lebih daripada orang lain." 

Talian itu terputus tanpa menunggu jawapan darinya. Sion dapat mendengar bunyi hujan dan dia seolah-olah dapat melihat sesuatu sedang bergerak di satu sudut di biliknya.

"Nezumi?"

Di dalam bilik setor yang menyimpan beg-beg berisi tepung dan gula itu, hanya bunyi hujan sahaja yang kedengaran. Sion memeluk lututnya dan duduk dengan senyap di dalam kegelapan, mendengar bunyi hujan yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda hendak berhenti sepanjang malam itu.


* buffer zone - zon yang bertindak untuk menjauhkan dua atau lebih wilayah atas sebab-sebab tertentu. Antara contoh buffer zone ialah Mongolia diantara Republic of China dengan Rusia,  Poland di antara Soviet Union (Rusia) dengan Jerman ketika Perang Dunia Pertama.

(bersambung di bab 3)

Friday, September 23, 2011

Vol. 1 Ch. 2 Bahagian a

BAB 2
Permulaan yang senyap

Kes (Sampel pertama dikesan)
Lelaki, 31 tahun. Jurutera di sebuah firma bioteknologi
Meninggal dunia ketika dijumpai. Alamat ....

Lelaki itu menghempaskan punggungnya ke atas bangku di taman hutan dan mengeluh. Dia sendiri tertanya-tanya berapa kalikah dia mengeluh sejak awal pagi itu. Matanya merenung lama ke arah sayuran kubis di tangannya lalu dia mengeluh lagi. Kualiti kubis itu, memang amat baik - segar dan hijau. Dia mengoyakkan sedikit kepingan kubis itu sebelum menyuapkannya ke dalam mulut. Rasanya amat menyelerakan dan teksturnya juga memang mengagumkan. Memang kubis kelas pertama. Tapi, dia terfikir pula kenapakah ianya masih belum terjual?

Lelaki itulah yang sebenarnya menghasilkan kubis itu. Dia ialah seorang kakitangan di sebuah firma bioteknologi dan bertanggungjawab mengasilkan hasil-hasil sayuran yang segar. Dia amat percaya bahawa sayuran yang dihasilkannya ini akan terjual dan dalam satu jangka masa akan dapat mengatasi masalah krisis makanan. Namun, pembeli-pembeli nampaknya lebih gemarkan sayur-sayuran yang dihasilkan di ladang-ladang di South Block daripada sayuran segar yang dihasilkannya. Jika perkara ini berterusan, dia perlu mula mempertimbangkan untuk menghentikan penghasilan sayur-sayurannya itu.

Dia mula menggaru-garu belakang lehernya yang mulai terasa gatal itu. Lelaki itu memang cenderung untuk mendapat ruam apabila dia tertekan dan letih. Dia yakin yang ruam-ruam merah itu akan mula merebak ke seluruh badannya tidak lama lagi. Terlalu banyak perkara berlaku hari ini membuatkan dia mengeluh lagi. Dan kubis di tangannya terasa berat dan membebankan.

Kedengaran bunyi 'bip' dari poket kemejanya, lalu dia segera mengeluarkan skrin telefon bimbit di kad pengenalannya dan wajah seorang wanita mula terpapar di skrin itu.

"Selamat sejahtera dari Sistem Maklumat Perbandaran. Kami ingin memaklumkan anda berkenaan dengan keputusan Peperiksaan Kanak-kanan yang anda daftarkan. Untuk mengenalpastikan akaun anda, sila masukkan Nombor Pendaftaran Warganegara ..." Sebelum sempat wanita di skrin menghabiskan ayat-ayatnya, lelaki itu mula memasukkan nombor seperti yang dipinta. Hari itu ialah hari peperiksaan anak perempuannya yang berusia 2 tahun, seorang budak perempuan yang amat bijak dan comel. Walaupun dia tidak pernah memberitahu sesiapa, namun lelaki itu sebenarnya berharap anaknya akan diakui sebagai seorang yang berbakat besar.

"Terima kasih. Kami telah mengesahkan cop jari dan nompor pendaftaran anda. Maklumatnya adalah seperti berikut ..." Nama anaknya mula terpapar diikuti dengan profilnya. Berat badan, ketinggian, tahap kesihatan, nutrisi, perkembangan minda, kemahiran ... kesemuanya berada di tahap A hingga C. Dia bukanlah seorang yang tercorot, namun bukan juga seorang yang cemerlang- seorang yang sederhana. Itu saja. Lelaki itu merenung lama ke dalam skrinnya sebelum menyimpan kembali kad itu ke dalam poket. Dia mula memikirkan senyuman anak gadisnya itu.

Tak apalah.

Lelaki itu bergumam sendiri dan mengukir senyuman. Berbakat atau tidak, anaknya tetap ialah anaknya. Anak yang disayanginya dan itu sudah memadai.

Secara tiba-tiba, sesuatu melintasi fikirannya membuatkan dia mula terfikir. Adakah selama ini dia begitu mengidami sesuatu yang sempurna, terlalu sempurna? Memang betul - tiada apa yang dapat dirungut tentang kubisnya itu. Tapi, kesempurnaannya itu mungkin juga ialah racun.Adakah kubisnya yang terlalu sempurna itu sebenarnya menakutkan pembeli-pembeli untuk membelinya?

Sebuah robot pembersihan bergerak perlahan menghampirinya. Robot itu mempunyai kepala berbentuk bulat, dan dua tangan yang panjang untuk mengutip sampah dan membuangnya ke dalam bekas sampah di dalam badannya sendiri. Ya! Kubis-kubisnya bagaikan robot ini. Memang sempurna dan kelihatan teratur, namun ianya terlalu palsu. Para pembeli mahukan sayur-sayuran yang unik dan natural, bukan tiruan seperti yang dihasilkan olehnya. 

Kubisnya itu tiba-tiba jatuh bergolek dari tangan. Lelaki itu mula tunduk untuk mengutipnya.

Huh?

Jari-jemarinya mulai kebas. Pandangan matanya kabur dan dia mengalami kesukaran bernafas. Robot pembersihan itu turut mengutip kubis yang terjatuh, dan berhenti seketika. Suara seorang lelaki mula keluar dari badannya.

"Boleh saya buang sampah ini, tuan?"

Lelaki itu membuka mulutnya untuk membalas, namun dia hanya terbatuk-batuk dan sesuatu mula terkeluar dari mulutnya. Gigi. Giginya telah tertanggal nampaknya.

"Adakah tuan pasti? Saya akan buangkannya sekarang." Kubis itu kemudian dimasukkan ke dalam bekas sampah dan robot itu mula bergerak pergi.

Nanti dulu. Tolong aku!

Lelaki itu mula menggerakkan tangannya dan menjerit dalam ketakutan. Lengannya mula kelihatan bertompok-tompok dan badannya terasa berat. Lelaki itu berjalan terhuyung-hayang dan kemudian rebah di tanah. 


"Sion, tengok ni."

Jam telah melepasi pukul 6 apabila Sion diseru oleh rakan sekerjanya, Yamase. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di Pejabat Pengurusan Taman ketika itu dan mereka bertanggungjawab untuk mengendali dan menyelenggara ketiga-tiga robot-robot pembersihan yang sedang meronda di dalam kawasan taman. Robot-robot pekerja seperti itu masih dalam peringkat prototaip, dan sememangnya amat mudah rosak. Mengendalikan robot-robot itu juga agak menyusahkan kerana ia memang tidak pandai mengasingkan sampah-sarap. Robot-robot itu seharusnya berupaya mengingati setiap jenis sampah yang direkod di dalam memorinya. Namun, ianya sering membawa pulang 'objek-objek yang tidak dapat diasingkan' setiap masa. Malah, setengah jam yang lalu, Sion mengesan imej seperti kubis yang dihantar kepadanya oleh salah sebuah robot itu, dan dia tidak pasti apa yang harus dilakukan. Dia pernah melihat objek-objek lain yang dia sendiri tidak pasti samada ianya adalah sampah atau tidak, seperti anak burung yang terjatuh dari atas pokok dan topi dengan hiasan bulu burung yang kelihatan mewah. Namun kubis, ianya memang ialah kali pertama. 

"Ada apa?" Sion menyoal sambil berjalan menghampiri Yamase yang sedang duduk di hadapan panel pengendali.

"Hmmm... Sampo pelik sikit hari ni"

Yamase gemar memberi nama kepada robot-robot itu dan Sampo ialah Robot No.3. Hari ini, Sampo ditugaskan bekerja di kawasan yang agak tersorok di dalam taman itu. Sampo juga ialah robot yang sama yang mengutip serpihan kubis tadi. Skrin di hadapan mereka telah memaparkan paparan pesanan RALAT yang berkelip-kelip menunjukkan ianya telah mengesan objek yang tidak dikenalpasti.

"Imejnya macam mana?"

"Tak jelaslah. Aku pun tak nampak. Tapi... aku rasa pelik."

"Pelik?"

Yamase, pemuda berusia 20 tahun - hanya tua 4 tahun dari Sion - seorang yang amat pendiam dan tenang. Disebabkan sikap Yamase yang sebegitulah membuatkan Sion suka bekerja di situ selain daripada dia lebih gemarkan bekerja dengan mesin daripada bekerja dengan manusia. Sion memang tidak begitu pandai berbual.

"Kau tengok ni." Kata Yamase sambil menunjuk ke arah skrin.

"Boleh fokus sikit tak?"

"Okey." Dia membalas dan tangannya mula bergerak perlahan-lahan di atas panel kawalan dan imej di skrin mula semakin jelas.

"Apa..." Sion merapatkan badannya untuk melihat dengan lebih jelas, dan nafasnya tersekat di kerongkong. Kaki? Sepasang kaki berseluar hitam terhulur dari belakang sebuah bangku taman dan dia dapat melihat sepasang kasut berwarna coklat menutup kaki itu.

"Kau rasa dia tertidur ke?" Suara Yamase menggeletar.

"Ada tanda-tanda dia masih hidup tak?"

"Huh?"

"Boleh kau tinggikan pengesan Sampo sampai ke tahap maksimum?" Pinta Sion. Sampo dibekalkan dengan reseptor yang dapat mengesan haba, bunyi dan tekstur. 

"Oksigen, pembebasan haba ... sifar." Suara Yamase semakin menggeletar hebat.

"Aku pergi periksa." Kata Sion laju.

"Aku nak ikut kau."

Mereka mengayuh basikal masing-masing sepantas yang mungkin. Basikal adalah merupakan pengangkutan yang paling popular sejak beberapa tahun yang lalu dan statitik menunjukkan setiap warganegara biasa mempunyai sekurang-kurangnya sebuah basikal. Pada masa itu, lebih ramai orang cenderung untuk menaiki basikal ataupun berjalan kaki menuju ke destinasi masing-masing kerana ianya lebih mudah. Bagi Sion pula, memandangkan dia masih seorang pelajar, dia lebih gemarkan kenderaan yang murah, tidak perlu menggunakan minyak dan mudah.

Sion tiba di kawasan terlindung itu tidak lama kemudian dan terpandang Sampo sedang berdiri di bawah rimbunan daun dari pokok-pokok di taman hutan itu.

"Sampo." Sebaik sahaja terdengar suara Sion, mata LED Sampo mula menyala ke warna hijau. Sion mengintai ke belakang bangku taman itu dan dia terperanjat besar.

"Sion, apa yang dah jadi?" Yamase tiba sedikit lewat daripadanya dan terbatuk-batuk kecil.

Lelaki yang terbaring di belakang bangku taman itu kelihatan seolah-olah hendak menyembunyikan dirinya di situ dari pandangan mata orang ramai. Mulutnya ternganga dan matanya terbuka luas seperti sedang merenung sesuatu. Ekspresi wajahnya menunjukkan dia sedang terkejut dengan sesuatu, dan dia seolah-olah telah melihat sesuatu yang mengejutkan sebelum menemui ajal. Rambutnya putih beruban, dan pipinya kelihatan cengkung sekali. Kedutan di wajahnya kelihatan jelas dan ternyata dia seorang yang agak berusia.

Tapi, pakaiannya agak tidak sesuai dengan seseorang yang berusia sepertinya.


Sion merenung lama ke arah kemeja merah jambu muda yang dipakai lelaki itu.

"Yamase, boleh tolong hubungi Biro Sekuriti?"

"Huh? Oh.. oh ya. Okey. Nanti kejap ya... Helo? Urmm.. sini ialah Pejabat Pengurusan Taman..." Suara Yamase kedengaran menggeletar.

Sion mula menghampiri mayat lelaki itu bercadang mahu menyentuhnya. Nampaknya mayat tersebut telah mengalami keadaan rigor mortis.*

"Mustahil." Sion bergumam sendiri tidak percaya. Cepat sangat ni.


Mayat akan mengalami keadaan rigor mortis sekurang-kurangnya satu jam selepas kematian bergantung kepada keadaan - namun kebiasaannya mengambil masa hingga dua ke tiga jam. Ia akan bermula dari rahang dan akan merebak perlahan-lahan ke bahagian bawah tubuh sehingga ke kaki. Berdasarkan keadaan mayat, lelaki itu sepatutnya telah meninggal dunia sekurang-kurangnya beberapa jam yang lalu. Namun 30 minit sebelum ini, Sion amat pasti mayatnya tidak ada di sini. Jika ada pun, Sampo pasti akan dapat mengesannya. Sion tahu yang seorang lelaki hidup pernah duduk di bangku itu melalui kamera namun dia tidak mempunyai bukti menunjukkan lelaki yang hidup itu ialah orang yang sama yang terbaring kaku di belakang bangku ini. Tidak, mustahil mereka ialah orang yang sama. Mustahil untuk seseorang yang masih hidup 30 minit lalu akan mengalami rigor mortis sepenuhnya dalam masa sesingkat ini. Jadi - adakah orang lain yang duduk di sini tadi, langsung tidak perasan akan lelaki tua ini?

Mustahil.


Sion melepaskan lengan lelaki tua itu, yang terasa semakin kaku dan sejuk dari badan mekanikal Sampo itu. Memang mustahil. Meskipun dia meninggal dunia tanpa disedari sesiapa, Sampo pasti akan dapat mengesannya. Namun, Sampo hanya mengesan keadaan lelaki tua itu dan menghantar isyarat 'objek yang tidak dikenalpasti' beberapa minit lalu. Maksudnya pada 30 minit yang lalu, mayat ini tidak ada di sini

Sion menyangkakan dia melihat mayat itu bergerak dan pastilah ianya hanya imaginasinya sahaja. Namun, Sion mula berteriak ketakutan. Rahang lelaki itu yang kaku seminit yang lalu, mula menjadi lembut semula. Malah, dia juga dapat menghidu bau busuk mayat yang reput. Lelaki itu dijumpai tertiarap dengan wajahnya menghala ke bawah, dan Sion dapat melihat kesan berwarna hijau kehitaman di belakang telinganya mulai membesar dan merebak. Dia amat pasti yang kesan itu tidak ada di situ sebelum ini, atau sekurang-kurangnya ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sion mula menghampirinya untuk melihat dengan lebih jelas.

"Mereka dah datang." Yamase mula mengeluh kelegaan. Dari situ mereka dapat melihat sebuah kenderaan Biro Sekuriti bergerak menghampiri kawasan itu.


"Jadi dalam masa 10 minit macam tu, mayat tu dah mengalami rigor mortis dan mereput lepas tu? Mustahillah!" Safu melontarkan kesimpulannya sebaik sahaja dia menelan donut cokolatnya. Kedai makanan segera di mana mereka duduk sekarang terletak berhampiran dengan kawasan perbandaran lama dan keadaan sekeliling kelihatan amat sibuk dengan orang yang lalu-lalang.

"Kalau betullah kau kata kau terbau busuk, maksudnya bakteria dah mula terurai kan? Mana mungkinlah. Dalam musim panas pun, ianya masih akan makan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk rigor mortis lesap sepenuhnya, kan?" Sambung Safu lagi.

"Kalau dalam keadaan yang biasa pun, ianya akan masa 36 jam pada musim panas, 3 hingga 7 hari pada musim sejuk dan 60 jam dalam cuaca yang macam sekarang ni. Kalau ikut buku teks la." Sion membalas, melemparkan pandangannya dari wajah Safu dan meneguk tehnya dengan berselera walaupun dia berasa agak penat.

"Biro Sekuriti soal siasat kau teruk ke?" Safu merenung dalam-dalam ke wajah Sion. Rambut Safu yang dipotong pendek terbentuk cantik di wajahnya dan sesuai sekali dengan mata besarnya, membuatkan dia kelihatan misterius dan menarik. Safu juga ialah salah seorang daripada mereka yang mendapat pangkat tinggi di dalam Peperiksaan untuk kanak-kanak berusia 2 tahun dan dia ialah salah seorang daripada rakan sekelas Sion hinggalah mereka berusia 10 tahun. Dan sekarang pada usia 16 tahun, dialah satu-satunya orang yang berhubungan rapat dengan Sion. Gadis itu mengambil pengkhususan dalam bidang fisiologi, dan akan menyertai program pertukaran pelajar di luar negara tidak lama lagi.

"Mereka mestilah rasa curiga sebab lelaki tu meninggal dunia disebabkan sebab yang tak diketahui. Mesti mereka soal-siasat kau gila punya sebab tu kan?"

Sion mengenali Safu sebagai seorang gadis yang pendiam di kelas, dan mungkin juga di makmal. Namun, apabila dia berdua bersama Sion, Safu gemar tersenyum, makan dengan berselera dan bercakap dalam nada suara yang biasa. Sion meneguk tehnya lagi dan terus mengosongkan gelasnya sambil menggeleng.

"Takde la teruk sangat." Sejujurnya, soal-siasat dari pegawai biro sekuriti amat pendek dan ringkas. Mereka hanya mengambil data yang direkodkan oleh Sampo dan mencatat penjelasan yang diberikan oleh Sion dan Yamase. Mereka bercakap dengan agak kasar dan tegas apabila mengetahui yang Sion menetap di daerah bandar lama berhampiran dengan West Block, namun Sion sudah lali dengan layanan sebegitu dan tidak begitu mengambil pusing.

"Habis tu, kenapa kau nampak terganggu sangat ni? Kau nampak macam orang bermasalah saja."

"Aku... aku rasa macam ada benda yang tak kena."

"Maksud kau pasal rigor mortis dan jangka masa ia lenyap tu ke?"

"Betul. Kau sendiri juga dah cakap, Safu. Ianya memang mustahil walau fikir macam mana pun. Tak ada pun keadaan  yang boleh mempercepatkan rigor mortis sampai macam tu sekali."

"Maksud kau tak ada keadaan macam suhu atau kelembapan atau pengaruh sekeliling yang lain, kan? Kalau tak buat bedah siasat, kita mana tahu. Manalah tahu, mayat tu jadi macam tu disebabkan faktor dalaman badan dia ke."

"Keadaan dalam badan, huh... macam apa?"

"Manalah tahu badannya memang amat lemah, ianya takkan ambil masa yang lama untuk mayatnya menjadi kaku. Dalam kes keracunan fosforus ataupun budak-budak ...."

"Safu, dia bukan budaklah. Aku masih belum rabun."

Safu mengeluh dan mengerling ke arah Sion.

"Aku bagi contoh je. Kau ni masih sinis dan sarkastik macam dulu. Tak berubah langsung. Tapi, aku rasa kita tak mungkin boleh teka apa sebabnya sebab kita tak ada maklumat lain."

"Ya..." Sion mengangguk dan menggigit bibirnya tanpa disedari. Maklumat, buku teks, manual...  ada masanya ia memang akan jadi sangat tidak berguna. Kepercayaan dan keyakinannya akan dapat disangkalkan dengan mudah dan semuanya akan dihancurkan di hadapannya dan dia pernah mengalaminya empat tahun yang lalu.


*rigor mortis - keadaan mayat yang kaku/menegang perlahan-lahan setelah beberapa lama (selalunya bermula selepas 3 jam kematian dan mencapai rigor mortis sepenuhnya dalam masa 12 jam). Rigor mortis adalah disebabkan perubahan kimia dalam otot mayat dan turut dipengaruhi oleh suhu, cuaca dan kelembapan sekeliling. Badan mayat akan lembut kembali perlahan-lahan dalam masa 3 hari kemudian. Forensik selalunya dapat tahu masa kematian mayat dan samada mayat pernah diubah kedudukannya selepas mati melalui keadaan rigor mortis ini.

(bersambung di bahagian b)