Pages


Hello people,
Thanks for those whose been reading this Bahasa Melayu version of No. 6 Novel. I really enjoy translating No. 6 although I have to admit that its quite difficult to write in Bahasa Melayu.
Your comments, feedback and support are appreciated and I will try to improvise my self chapter by chapter. Email me at kkaigoku@yahoo.com should you have questions or to post comments.

Enjoy this ED song clip, Rokutousei no Yoru by Aimer. (Note: I do not own this video)



NEW UPDATE:


Friday, November 4, 2011

Vol. 1 Ch. 4 Bahagian b

Nezumi masih mengusap-ngusap rambut Sion sambil memeriksa pernafasannya. Sedikit lemah, namun sudah nampak tenang.

- Kau dah berjaya.

Sion memang menakjubkan. Dia mempunyai ketabahan yang melebihi rupa dan aura yang dikeluarkannya. Nezumi mengaku itu. Dia merenung wajah tidur Sion yang kepenatan dan lemah membuatkan dia menyedari akan kepenatannya sendiri. Penat mental. Nezumi sebenarnya masih langsung tidak mengerti apakah yang sebenarnya berlaku tadi namun perasaan tidak senang hati menjalar-jalar di mindanya.

-Apa sebenarnya yang terjadi di dalam sana?

No. 6. Sesuatu sedang membiak dan berkembang di bandar yang dipanggil 'Bandar Suci' itu. Sesuatu yang menjangkaui ruang pemikiran manusia telah terlahir dan membesar perlahan-lahan tanpa sesiapa pun sedari. Nezumi mengeluarkan sebuah piring petri dari atas sebuah rak yang mengandungi sesuatu yang dikeluarkan dari lepuhan di kulit Sion tadi.

- Mustahil. Aku tak percaya.

Ya. Perkara-perkara mustahil memang boleh berlaku kadang-kala hinggakan manusia mula merasakan realiti mula mengkhianati mereka. Realiti memang kejam dan tidak dapat dipercayai. Nezumi amat menyedarinya. 

Nezumi kembali ke sisi Sion dan mengusap rambutnya lagi.

-Bila kau bangun nanti, boleh ke kau percayakan realiti ni?

Bolehkah dia menerimanya? Bolehkah seorang budak lelaki yang selama ini hidup dengan baik di dalam Bandar Suci itu selama 12 tahun hinggalah diusir ke kawasan pinggir bandar di Lost Town dapat menerima realiti sebegini? Adakah dia benar-benar kuat?

-Tapi, dia juga bukanlah seorang yang begitu lemah.

Namun, Nezumi tidak tahu sejauh manakah kekuatan dan kelemahan Sion yang sedang tidur lena ini. Samada dia akan bangkit atau rebah, Nezumi tidak tahu. Namun, Sion masih hidup dan itu juga adalah satu realiti. Untuk hidup, manusia mestilah mempunyai keazaman yang kuat walaupun pintu kematian hanya berada sejengkal. Dan Sion memang mempunyai keazaman untuk itu. Dari pengalaman silam Nezumi, dia amat mengerti tentang pahit jerih untuk terus hidup. Dari situ, dia amat menghargai kehidupan. Adalah lebih sukar untuk terus hidup dalam keadaan yang payah berbanding dengan mati dalam keadaan yang baik.

-Kau takkan apa-apa. Kau akan selamat.

Nezumi membasahkan bibir Sion dengan air sebelum membuka pintu rumahnya dengan senyap dan menyelinap keluar. Matahari subuh kian emmancar menukarkan warna langit yang gelap kepada warna ungu keperangan.

"No. 6." Nezumi bergumam sambil merenung ke arah bandar raksasa itu dari jauh. "Tunggu sajalah. Satu hari nanti, aku akan bongkarkan rahsia kau."

Sejalur cahaya mula memancar di angkasa. Burung-burung mula terbang keluar dari sarang dan fajar juga mulai terbit. West Block masih kelihatan gelap dan suram, namun Bandar Suci itu sudah bermandikan dengan cahaya matahari pagi dan kelihatan bersinar-sinar. Nezumi terus merenung bandar itu dengan senyap.

****

Dia tidak pernah berasa bosan merenung jalan raya di bawah dari biliknya. Permandangan pagi memang indah. Jalan-jalan yang teratur itu memang kelihatan amat cantik sekali.

Kedengaran monitor yang dilekatkan di dinding berbunyi sebelum memaparkan wajah seorang lelaki.

"Maafkan saya sebab ganggu tuan pagi-pagi." Kata lelaki itu.

"Tak apa. Aku memang tengah tunggu kau."

"Siasatan kita dah selesai. Saya nak buat laporan kepada tuan."

"Ada perkara luar biasa?"

"Suspek kita berjaya lari, tuan."

"Aku tahu. Tapi, rasanya ianya tak penting."

"Dia juga terlibat, tuan. Dia yang bantu suspek kita lari." Lelaki di monitor menolak bingkai cermin matanya ke atas hidung.

"Kau betul-betul pasti?"

"Kami dah mengesahkannya. Suara dia dengan suara dalam data kita serupa."

"Bantu lari, huh... macam mana caranya?"

"Saya akan laporkannya secara terperinci nanti, tuan."

"Baiklah. Aku tunggu."

"Kalau begitu, saya minta diri, tuan."

Imej di monitor menghilang dan monitor itu bertukar hitam. Dia memandang ke luar tingkap semula merenung langit biru jauh di angkasa. 

-Jadi, kau dah kembali.

Kenapa dia kembali? Untuk apa dia muncul semula? 

-Kau sepatutnya duduk diam-diam saja... bodoh!

****

Yamase mencangkung di atas lantai sambil memeluk lututnya. Kepalanya tertunduk seperti seorang budak yang sedang merajuk selepas dimarahi.

"Yamase." Sion memanggilnya namun tiada jawapan.

"Yamase, kenapa ni?"

Yamase mula menangis.

"Yamase, janganlah nangis." Sion meletakkan tangannya di atas bahu lelaki itu. Tangisannya amat meruntun jiwa Sion. "Kenapa nangis ni? Ada apa-apa yang boleh aku tolong?"

"Memang ada." Tangan Yamase terus mencekak buku lali Sion.

"Sion, aku tak nak duduk sorang-sorang. Kenapa kau saja yang selamat?"

"Huh?"

"Kau akan ikut aku, kan?" Yamase merayu.

"Yamase, apa yang-"

Tangan yang mencengkam buku lali Sion itu mula berubah warna dan semakin mereput. Sion dapat melihat tulang-tulang Yamase yang semakin mereput itu."

"Kita pergi sama-sama, ya.."

Buku lali Sion semakin diramas kejap. Dia sedang ditarik ke arah kegelapan dan lengan Yamase semakin mereput hinggakan ianya mulai memanjang naik ke leher Sion. Tangan Yamase mencekik leher Sion.

"Jangan- tak nak.."

"Sion..."

Sion melonjak dan menggapai ke luar sejauh yang mungkin. Dia terasa sesuatu yang kuat di hujung jarinya dan menggenggamnya erat lalu sia menjerit.

"Tidak!"

Sion terjaga dengan tekak yang kering dan haus.

"Tidak, apa?" Nezumi menjengah ke arahnya dengan wajah yang serius.

"Nezumi..." Sion bergumam. "Oh... aku masih hidup..."

"Betul tu. Tahniah sebab dah berjaya pulang. Tapi, boleh tak kau lepaskan tangan aku ni? Sakitlah."

Rupa-rupanya, dia sedang memegang tangan Nezumi, kuat sekali hinggakan jari-jemarinya menusuk ke kulit Nezumi. Sion telah memegang tangan Nezumi untuk keluar dari kegelapan itu.

"Maaf."

"Nak air?" Nezumi bertanya.

"Nak."

Rasa air yang sejuk membasahi tekaknya dan menyegarkan segenap inci tubuh Sion.

"Aku masih ingat kau beri aku air macam ni.. banyak kali." Kata Sion sebelum dia menutup mulutnya dengan sedikit rasa segan.

"Dekat-dekat sini ada air mata air yang bersih. Jadi kau tak perlu risau."

"Kau... selamatkan aku lagi."

"Bukan aku yang selamatkan kau. Di sini tak ada doktor yang pakar jadi kalu aku bawa mereka pun, tak guna juga. Tak ada sesiapa yang selamatkan kau. Kau yang selamatkan diri kau sendiri. Kau yang bertarung dan aku memang kagum dengan kau. Aku janji, aku takkan panggil kau budak mentah lagi."

"Semuanya... sebab kau juga."

Sion memeriksa telapak tangannya yang terasa kering dan kasar. Mujurlah ianya masih tidak berkedut ataupun berbintik. Ianya masih tangan yang muda. Sion mengeluh kelegaan.

"Aku dapat mimpi ngeri.." Sion mula bercerita. "Aku nak orang tolong aku dan aku cuba capai sejauh yang boleh...dan aku pegang tangan kau."

"Menakutkan, huh?"

"Yamase pun ada- dia beritahu aku yang aku tak boleh selamat kalau aku sorang saja. Kemudian dia cekik aku.." Sion menyentuh lehernya yang berbalut dengan kain itu. "Yamase bukannya orang yang akan cakap macam tu. Dia sepatutnya akan rasa gembira untuk aku sebab aku masih hidup... tapi kenapa dia datang dalam mimpi aku dan..."

"Sebab kau tu yang rasa bersalah." Nezumi menyampuk dengan cepat. "Lelaki tu saja yang amti dan kau pulak selamat. Kau cuma rasa bersalah sebab tu lah kau termimpi benda bodoh tu."

"Semuanya bodoh atau tak berguna bagi kau.."

"Siapa yang hidup, dialah pemenang. Jangan rasa bersalah sebab kau masih hidup. Daripada kau buang masa rasa bersalah ni, lebih abik aku fikir tentang cara nak hidup dengan lebih lama. Dan kadang-kala kau boleh ingat mereka-mereka yang dah mati. Macam tu lebih baik."

"Kau cakap dengan aku?" Sion menyoal.

"Habis tu, aku bercakap dengan siapa lagi kat sini?"

"Sebab... kau nampak macam tengah cakap sorang-sorang."

Nezumi mengelipkan matanya dan merenung Sion untuk seketika sebelum berkata, "mengarut!" di bawah nafasnya.

Sion masih sukar menggerakkan badannya. Dia perasan begitu banyak kain dililit di seluruh tubuhnya. "Kenapa banyak sangat ni?"

"Sebab kau sakit sangat. Baring dulu. Masih awal lagi untuk kau bergerak merata. Ubat kau ada bawah bantal tu. Bila aku balik nanti, aku buatkan kau sup."

"Kau nak keluar?"

"Aku kena kerja." Nezumi berpusing dan meninggalkan Sion seorang diri di bilik itu.


Sion menelan pil berwarna putih seperti yang diarahkan Nezumi. Seekor tikus berwarna coklat berdecit kepadanya dari belakang gelas yang berisi air.

"Terima kasih, ya."

Tikus itu mengangguk seolah-olah ia mengerti apa yang dituturkan Sion, dan melompat ke atas dada Sion sebaik sahaja dia berbaring semula.

"Kerja apa agaknya tuan kau buat, ya?"

Cheep cheep.

"Apa nama sebenar dia? Bagaimana kehidupan dia di sini? Di mana dia lahir dan apa..." Sion semakin mengantuk. Kelihatannya badannya perlukan lebih banyak rehat, lalu dia menurut dan tertidur semula. Kali ini, dia tidak lagi bermimpi. Dan apabila dia terjaga semula, badannya terasa lebih bertenaga.

Tiada sesiapa di dalam bilik itu. Nampaknya Nezumi masih belum pulang dan suasana bilik itu amat senyap sunyi. Sion memandang ke arah tiga ekor tikus yang sedang tidur di tepi bantalnya. Dia bangun dengan senyap dan mengenakan kasutnya. Dia mahu keluar menghidu udara yang segar. Sion berjengket dengan senyap ke pintu. Badannya terasa berpeluh di bawah balutan kain di badannya. Dia menanggalkan kain yang membalut lehernya. Sekarang dia lebih senang bernafas. Kakinya terasa ringan dan dia tidak lagi berasa pening dan loya. Sion membuka pintu dan memanjat tangga keluar. Angin dingin bertiup lembut ke wajahnya dan dia terasa damai dan tenang memerhatikan dunia yang disimbahi cahaya merah mentari senja. Dedaun mula luruh dari pokok dan menari-nari ditiup angin yang kering namun dingin. Sion mendongak dan memandang ke arah dahan-dahan gelap di pokok dan dari jauh dia dapat melihat No. 6. Suasana di musim luruh yang begitu damai ini membuatkan matanya berair.

-Dia akan gelakkan aku lagi kalau dia nampak aku macam ni.

Sion menggigit bibirnya, cuba menahan air mata dari tumpah lagi. Dia menyedut udara sedalam-dalamnya.

Dia mula terdengar suara kanak-kanak sedang ketawa di belakangnya di sebalik pokok-pokok. Kelihatan dua orang budak perempuan dan seorang budak perempuan sedang ketawa riang bermain-main sesama sendiri. Segera dia teringatkan ibunya yang memang menyukai kanak-kanak itu.

Seorang kanak-kanak perempuan itu terpandang Sion yang begitu asyik merenung mereka. Matanya terbeliak besar dan wajahnya kelihatan pucat dan tegang. Sion tidak bermaksud hendak menakutkannya lalu dia mengangkat tangan ingin menegur.

"Hai."

Budak lelaki yang paling kecil itu terus menangis kuat.

"Huh? Oh, janganlah menangis." Sion melangkah setapak menghampiri mereka.

"Ular!" Si budak perempuan pula menjerit. Dia mula mencekak si budak lelaki dan seorang lagi budak perempuan bersamanya dan mengheret mereka jauh dari situ. Sion berdiri terlopong keseorangan. Kebingungan.

-Ular? Kenapa dia menjerit? Ular apa?

Dia tidak nampak ular yang dimaksudkan.

- Apa yang budak tu nampak?

Dia berpusing-pusing namun masih tidak nampak ular ataupun sebarang haiwan-haiwan hidup di sekelilingnya.

- Dia takut dengan bayang-bayang dahan yang nampak macam ular kut. Tapi, dia tengok ke arah aku tadi. Dia tengok aku.

Sion menggigil. Dia meletakkan tangannya di atas kepala dan menarik rambutnya kuat, kebiasaan baginya apabila dia berasa runsing.

"Apa ni..."

Nafas Sion tersekat di kerongkong. Beberapa urat rambutnya terlekat di celah-celah jari selepas dia menariknya tadi. Rambutnya berwarna putih jernih bersinar disinari cahaya matahari... seperti warna uban.

"Macam mana... apa.."

Dia menarik lebih banyak rambutnya dari atas kepala. Semuanya masih sama. Dia kemudian meraba-raba wajahnya. Tidak berkedut ataupun berusia namun, dia terasa sesuatu yang aneh di bahagian lehernya. Lehernya ada kesan bengkak yang panjang yang membaluti seluruh leher kurusnya. Sion terkejut.

-Cermin. Aku perlu tengok cermin.

Dia masuk kembali ke bilik Nezumi dan menolak buku-buku yang bertimbunan sehingga mengejutkan tikus-tikus yang masih tidur nyenyak. Tikus-tikus itu berlarian ke bawah katil. Dia menemui daun pintu kayu di sebelah bilik air lalu mebukanya. Sebuah ruang kecil yang muat-muat untuk seorang berbaring atau berdiri dan kelihatan dinding belakangnya yang nampak seperti sebuah cermin. Sion menyalakan lampu dan berjalan menghampiri benda berupa cermin itu. Kakinya lemah menggeletar dan tangannya menggigil. Namun, dia memaksa dirinya memandang imejnya di cermin. Dia berteriak ketakutan.

Apa ni?

Ular! 

Jeritan budak perempuan bergema di mindanya. Dia perlukan udara. Sion bersandar ke dinding dengan lemah sambil merenung dirinya di dalam cermin. Rambutnya berwarna putih dan bersinar. Dan memang ada ular. Seekor ular senduk berwarna merah selebar dua sentimeter sedang membaluti lehernya. Memang tidak salah lagi, ianya nampak seperti ular. 

"Tak mungkin..." Dia menanggalkan pakaiannya satu persatu sebelum mengoyakkan kain kain yang membaluti tubuhnya. Kelihatan luka-luka yang bersimpang siur dan membengkak di badannya. Apabila kain ablutan yang terakhir ditanggalkan, Sion menjerit kecil. Bengkak berwarna merah bermula dari buku lali kirinya, naik hingga ke kaki, ke bahagian perut, melalui celahan ketiak dan naik smapai ke leher. Secara harfiahnya, ianya kelihatan seperti seekor ular sedang membelit badannya. Kakinya kian lemah dan akhirnya dia jatuh terjelupuk ke lantai di atas kain-kain yang emmbaluti badannya tadi.

Rambut putih dan ular senduk merah. Jadi, inilah harga yang perlu dibayar untuk dia terus hidup.

"Seronok ke tengok diri sendiri berbogel?" Satu suara yang rendah menegurnya. Nezumi sedang berdiri bersandar pada pintu dibelakangnya.

"Nezumi - ini..."

"Benda tu timbul lepas demam kau kebah. Bengkak tu cuma pada permukaan kulit saja, bukan sebab saluran darah kau rosak. Maksudnya, saluran darah dalaman kau tak rosak. Bagus, kan?"

"Bagus? Apa yang bagusnya..."

"Kalau tak suka, buang je lah," Nezumi berkata perlahan. "Zaman sekarang ni, kau boleh buat pembedahan kulit. Rambut tu pun boleh warnakan. Tak ada masalah. Tapi kalau kau nak tahu-" Dia mengangkat bahunya sedikit. " Kita boleh buat sesuatu pasal rambut kau, tapi kau takkan boleh buat pembedahan kulit kat sini. Kita tak ada teknologi atau tempat untuk itu" Suaranya kelihatan tidak berperasaan dan tiada simpati.

"Sion."

"Ya.."

"Kau menyesal kau masih hidup, ke?"

Agak lama juga Sion memberikan jawapannya. "Apa? Kau cakap apa tadi?"

Nezumi mengeluh dan tunduk di hadapan Sion. Tangannya memegang dagu Sion dan menongkat wajahnya supaya mereka saling berpandangan.

"Tengok muka aku. Dengar apa aku cakap ni. Kau menyesal ke?"

"Menyesal... apa?"

"Hidup."

"Menyesal... maksud kau... berharap ia tak pernah terjadi?"

"Bukanlah." Nezumi berkata dengan nada yang sinis. "Aku tengah bercakap bahasa makhluk asing yang susah gila sampai susah kau nak faham. Kau ni.... janganlah macam ni. Kepala kau tu dah rosak ke?"

Menyesal? Sebab hidup? Takkanlah.... Sion menggelengkan kepalanya. "Tak."

Dia tidak mahu mati. Walaupun dia jatuh tersungkur, dibelasah separuh mati, dia pasti akan cuba untuk bangkit semula. Untuk terus hidup. Dia tiada matlamat atau cita-cita Namun, dia masih tidak mahu mati. Kehidupan ini bagaikan air yang dingin dan enak sedang mengalir di tekaknya. Ianya berwarna seperti langit yang luas terbentang, bagaikan ketenangan udara petang, bagaikan roti yang baru dibakar...

"Nezumi..." dia berbisik. "Aku... aku nak terus hidup."

Air mata yang ditahan sejak petang tadi sekarang sudah mula mengalir di pipi. Dia segera mengesatnya.

"Tak payah nak sembunyikannya, bodoh." Nezumi mengeluh. "Macam manalah kau boleh menangis macam tu depan orang? Tak segan ke?"

"Aku ter-emo sikitlah, okay." kata Sion. "Emosi aku masih belum stabil. Aku ni kan pesakit yang baru nak sembuh, jadi janganlah usik aku."

Nezumi merenung wajah Sion dan menghulurkan tangannya sambil mengusap rambut Sion lembut.

"Kalau kau nak, aku boleh tolong warnakan rambut kau nanti. Tapi, aku rasa rambut kau sekarang cantik. Lagipun-" Jari Nezumi berpindah ke bahagian bengkak merah di dadanya pula. "Kau ada ular merah di badan kau. Aku rasa... kau sangat menarik." 

"Aku tak rasa bangga langsung."

"Aku pun bukan seronok tengok kau berbogel ni jugak." Nezumi membidas. "Pakai baju cepat. Aku sediakan sup dan daging."

Bila difikir-fikirkan, sudah lama juga dia tidak menjamah makanan. Perutnya berkeroncong dan dia juga mulai terasa lapar.

"Sup apa? Nak aku tolong?"

Nezumi mengelipkan mata. "Kau memang cepat bersemangat, kan?"

"Huh?"

Suara Nezumi mula berkumandang lagi.

Round about the couldron go.
In the poisoned entrails throw.
Toad, taht under cold stone.
Days and nights has thirty-one.
Sweltered venom sleeping got,
Boil thou first i'the charmed pot.

"Apa tu?"

"Macbeth. Kat bahagian tiga ahli sihir tengah masukkan mata cicak, kaki katak dan sayap kelawar dalam periuk untuk buat sup istimewa. Menarik, kan?"

"Kalau itulah sup yang kau nak buat, terima kasih ajelah."

"Kita boleh gantikan sayap kelawar dengan ayam, cicak dengan sayur-sayuran. Katak boleh diganti dengan bawang putih. Sila tunggu sebentar ya, tuanku. Patik sediakan sekarang."

Sup istimewa Nezumi memang hangat dan sedap, malah lebih sedap dari makanan lain yang pernah dijamah Sion.

(bersambung di bab 5)



Tuesday, November 1, 2011

Sorry for the late entry

Hi guys...

Untuk No. 6 fans yang baca dan ikut Malay version ni, saya nak mintak maap banyak-banyak sebab dah agak lama tak update. Bukan senang ye kerja menterjemah ni sebenarnya kalau nak compare dengan mengarang cerita yang lahir dari kepala sendiri ... hahaaa... ditambah dengan cerita No. 6 ni bukannya kisah yang simple. Sekarang ni, saya tengah cuba translate dua chapter sekaligus. Insya-Allah akan diupdate bahagian seterusnya dalam weekend ni... masa cuti panjang raya haji nanti.

Gomen ne.... 


Sunday, October 9, 2011

Vol. 1 Ch. 4 Bahagian a

BAB 4 
Ketakutan yang tidak diduga

Sion tidak menjangkakan air kumbahan itu mengalir dengan begitu deras, malah sangat dalam. Objek-objek yang tidak dikenalpasti juga terapung di hadapan mukanya malah ada juga yang tersangkut di gogglenya, menghalang penglihatan Sion. Dia dapat menghidu bau-bauan yang tidak pernah dihidunya sebelum ini, bau yang begitu menusuk hidung, gabungan bau sesuatu yang amat busuk dengan bau masam manis seperti peluh. Dalam kesuraman itu, dia hampir tidak dapat mengikut rentak Nezumi yang berenang di hadapannya. Sion tidak dapat bernafas dan dadanya terasa amat sakit seperti dicucuk-cucuk.

Nezumi dan Sion mencapai pemegang besi yang dilekatkan di dinding dan mereka bersama-sama memulas dan menariknya sekuat yang boleh. Satu bukaan bulat mula terbentuk di dinding itu.

Sion tidak dapat bernafas. Dirasakan dirinya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Perlahan-lahan dia semakin hilang kesedaran sebelum tubuhnya mula disedut ke dalam bukaan lubang bulat itu. Dia ditarik, ditolak ke atas dan terhumban ke daratan. Tubuhnya sakit terhempas ke tebing, hinggakan hentakan itu terasa hingga ke hujung ibu jari kaki. Namun kini, Sion dapat menghidu udara semula, bernafas sedalam-dalamnya. Hatinya berasa lega, diselang-seli dengan batuk yang teruk yang dikeluarkan oleh tekaknya. Tekaknya terasa loya dan bahagian dalam mulutnya terasa melekit-lekit. Sion menanggalkan gogglenya dan menutup mata. Untuk seketika, dia tidak dapat bergerak.

"Masih awal untuk kau tidur," Nezumi sempat berjenaka dengan nafas yang masih termengah-mengah, seperti Sion. Sion membuka matanya hanya untuk melihat permukaan konkrit yang kosong di sekeliling.

"Kita kat mana?"

"Dalam paip pembentungan. Artifak abad ke-20. Mungkin bukan artifak, sebab paip ni masih digunakan." Nezumi menggeleng-gelengkan kepalanya dengan kuat seperti seekor haiwan hendak mengeringkan bulunya selepas mengalami kebasahan. Titisan air jatuh dari rambutnya ke lantai. "Kalau air kumbahan dah nak melimpah, mereka akan buka pintu belakang dan mengepam air tu ke dalam paip-paip ni."

"Mereka mengepam air kumbahan ke bawah ni? Tak tapis dulu?"

"Ya. Bandar kesayangan kau tu selalu juga buat macam ni."

"Air kumbahan ni mengalir ke mana?"

"West Block."

"Jadi mereka pam air kotor - sampai hati mereka..." Sion mula kehilangan kata-katanya. Nezumi pula bangkit berdiri.

"Dia tak nampak West Block sebagai sebahagian dari Bandar. Dia mungkin nampak tempat ni macam tempat buang sampah saja."

"Dia?"

Nezumi berdiri tegak tanpa menjawab soalan Sion sambil memandang ke hadapan tanpa berkelip.

"Jom pergi." Dia tunduk ke lantai untuk mencekup seekor tikus yang sedang berlari-lari di kakinya sebelum berpusing membelakangi Sion. Sion turut bangun dengan tekak yang masih meloya, seperti akan menghamburkan segala isi perutnya tidak lama lagi. Namun, dia masih mempunyai sedikit tenaga di kaki untuk berdiri. Aku masih ada tenaga. Aku takkan apa-apa. Sion cuba merangsangkan fikirannya sendiri sambil memandang ke arah tikus yang menjadi penunjuk arah mereka tadi di atas bahu Nezumi.

"Ah!" Sion meletakkan tangannya di leher. Lehernya terasa sedikit aneh dengan ada bahagian yang terasa kebas. Sion menyentuh bahagian itu dengan jarinya. Jarinya terasa kesan lepuhan kecil sebesar kacang dilehernya dan bahagian itu terasa gatal sekali. Dia menggarunya perlahan. Untuk seketika, dia terasa tubuhnya sedikit sejuk. Jantungnya berdegup kencang.

Garu leher - dia seperti pernah melihat seseorang melakukannya sebelum ini.

"Yamase." Imej Yamase yang sedang menuangkan kopi sambil berbual dengannya dan menggaru lehernya mula timbul di benak fikiran Sion. "Takkanlah..."

Nezumi berpusing. "Kenapa?"

"Tak ada apa-apa."

"Lebih baik kau jangan nak merungut yang kau tak larat nak jalan dah."

"Mana ada," Kata Sion, " Aku macam tengah bersenam je ni. Kau nak aku sikut kau di belakang aku?"

"Baiknya kau, tapi terima kasih je lah."

Tikus di atas bahu Nezumi berdecit kecil memandang Sion yang cuba berjalan laju mengejar Nezumi."

Dia terlalu banyak berfikir. Ianya hanya kesan melepuh. Kesan geseran di lengan dan badannya yang lebam-lebam itu lebih teruk dari ini. Ianya hanya kesan melepuh saja...

"Kenapa muka kau serius sangat ni? Rindukan mama kau ke?"

"Ibu aku..." Sion bergumam. "Nezumi, kau rasa aku boleh hubungi dia tak?"

"Lupakan saja niat kau tu."

"Kenapa?"

"Kau pun tahu, kan? Sekarang ni, Biro Sekuriti mesti tengah mengawasi rumah kau sampailah ke bakul sampah kau. Kau memang takkan boleh berhubung dengan dia melainkan kau ada kuasa telepati."

"Betul juga cakap kau."

-Ibu, maafkan saya. Dia hanya mampu memohon maaf. -Saya selamat. Saya masih hidup. Jadi tolonglah- Dia tidak mahu ibunya bersedih. Dia tidak mahu ibunya berduka.

"Bullshit!" Nezumi menyumpah.

"Apa dia?"

"Kaulah"

Itulah pertama kalinya Sion dihina terang-terangan begitu.

"Apa maksud kau ni?"

"Apa yang aku nak cakap ialah kau ni memang teruk sebab hidup kau rasa terbeban dengan benda-benda macam ni, benda-benda kesayangan ni cuma akan membebankan kau saja. Kau akan terikat dengan bebanan ni selama-lamanya." Nezumi mengecilkan matanya dan merenung Sion dengan tajam. Matanya tajam menikam, dipenuhi dengan perasaan seperti sedang berperang dengan seorang musuh tradisi.

Sion ingin membuka mulut menyoal Nezumi dengan lebih lanjut, namun lelaki itu mula memandang terus ke hadapan. Sebuah tangga berkarat kelihatan terlekat di dinding paip itu menuju ke atas. Sebaik sahaja dia naik ke permukaan, wajahnya disapa dengan angin petang. Dia sekarang berada di permukaan semula. Langit petang itu dihiasi dengan warna oren senja dan angin sejuk yang terasa hingga ke tulang.

Tempat itu kelihatan seperti pintu masuk ke West Block. Dari kejauhan, dinding luar No. 6 kelihatan berkilau dipanah mentari yang hampir terbenam itu. Memandangkan West Block terletak di tanah rendah, bandar No. 6 kelihatan amat besar sekali di mata Sion.

Nezumi mula berjalan ke arah yang bertentangan. Mereka melalui kawasan belukar hinggalah tiba di sebuah kawasan runtuhan sebuah bangunan. Asap keluar berkepul-kepul dari runtuhan bangunan itu dan Sion dapat mendengar suara-suara manusia di dalam.

"Ada orang ke tinggal dalam tu?"

"Ramai." Nezumi membalas.

Mereka kemudian melalui sebaris kawasan berek selepas melintasi runtuhan bangunan itu.

"Ikut sini." Lengan Sion ditarik ke arah satu lagi kawasan runtuhan bangunan yang kelihatan seperti sebuah gudang sebelum ini. Bangunan itu agak luas, namun hanya sebahagian sahaja yang musnah teruk.

"Kita akan masuk ke bawah tanah lagi." Nezumi menekan di satu kawasan di dindingnya dan ia mula bergerak membentuk satu laluan. Kelihatan sebuah tangga yang diperbuat dari konkrit seperti tangga di dalam terowong pusat kumpahan tadi. Tikus di atas bahu Nezumi berlari-lari menuruni tangga itu. Sion dapat melihat sebuah pintu sebaik sahaja menuruni tangga itu. Pintu itu dibuka dan dalamnya kelihatan amat gelap sekali. Kedengaran satu bunyi 'klik' sebelum bilik itu disimbah dengan cahaya yang malap.

Sion terlopong dan matanya tertancap pada satu bahagian di dalam bilik itu. Beratus-ratus buah buku kelihatan tersusun tinggi malah hampir setiap sudut bilik itu boleh dikatakan dipenuhi dengan buku.

"Semua ni, buku?"

"Habis tu, kau nampak macam makanan ke?"

"Aku tak pernah tengok buku sebanyak ni."

"Aku agak kau mesti baca benda-benda elektronik saja sebelum ni, kan?"

"Ya, emm... tak jugak, tapi... tapi wow, hebatlah."

"Dan aku rasa kau mesti tak pernah baca Moliere, Racine atau Shakespeare sebelum ni. Kau mesti tak tahu apa-apa pasal karya klasik negara China ataupun misteri kaum Aztec kan?"

"Tak pernah." Sion tidak mahu membantah buat masa sekarang.

"Habis tu, apa yang kau tahu?" Soal Nezumi sambil menggosok rambutnya yang basah itu.

"Huh?"

"Apa yang kau belajar sampai sekarang? Pengetahuan sistematik, teknologi-teknologi canggih, apa lagi?"

"Banyak lagilah." Sion membalas dengan marah.

"Macam apa?"

"Macam cara nak buat kek, cara nak bancuh kopi, menyelenggara taman ... dan sekarang ni, aku pun dah tahu macam mana nak menyelam dalam air kumbahan."

"Kau lupa 'macam mana cara nak tolak ajakan seorang perempuan yang nak tidur dengan kau dan cuma anggap dia macam kawan biasa'. Yang tu, kau memang tak pandai." Nezumi menyindir.

Sion mengangkat dagunya dan menentang mata kelabu Nezumi itu dengan berang. "Boleh tak kau biar aku mandi dan bersihkan diri sebelum kau nak kutuk aku?"

"Aku dulu." Nezumi menarik sehelai tuala dari celahan beberapa buah buku dan melemparkannya kepada Sion. "Janganlah marah.," katanya. "Apa yang aku maksudkan ialah kau memang dah tahu banyak benda sejak 4 tahun lalu. Kau dah belajar banyak benda yang lebih berguna selain daripada cara nak buat koko."

"Aku berbesar hati dengar kau puji aku."

"Hei, betul ni, kau janganlah marah."

Nezumi menghilang di sebalik timbunan buku-bukunya. Tidak lama kemudian, Sion dapat mendengar bunyi paip air hujan dibuka dan titisan air jatuh ke lantai. Dia sempat melihat-lihat keadaan sekeliling. Rak-rak buku kelihatan meninggi di dalam bilik itu dan semuanya dipenuhi dengan buku. Buku-buku itu tidak disusun mengkut turutan saiznya. Sion terasa seperti berada di dalam kesesakan dan keriuhan di stesen keretapi. Karpet yang lusuh di atas lantai jelasnya berwarna hijau dahulu dan turut ditimbuni buku-buku. Sebuah katil terletak di satu sudut. Tiada tingkap. Tiada dapur dan tiada perabot-perabot lain di bilik itu.

Cheep cheep

Seekor tikus berdecit dari atas sebuah buku. Sion mengambil buku itu dan membukanya, dan hidungnya menangkap bau kertas di buku itu. Dia masih ingat yang dia pernah mencium bau yang sama, lama dulu. Dia sedang duduk di atas sesuatu yang lembut dan hangat - memorinya sedikit pudar. Dia tidak dapat mengingatinya. 

Tikus itu memanjat lengannya dan duduk di bahunya. Ia menggosok-gosok misainya dan berdecit kuat.

"Kau nak aku baca ni?"

Cheep cheep

Sehelai penanda buku diletakkan di tengah-tengah buku itu. Sion membuka mukasurat itu dan mula membacanya kuat.

Here's the smell of the blood, still. All perfumes of Arabia will not sweeten this little hand. Oh, oh, oh
- What a sigh is there. The heart is sorely charged.
- I would not have such a heart in my bosom for the dignity of the whole body.

Seekor lagi tikus bermata seperti warna buah anggur muncul di kaki Sion. Tikus berwarna coklat yang duduk di atas buku awal-awal tadi mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah mengajak tikus itu menyertainya.

To bed, to bed. There's knocking at the gate. Come, come, come, come, give me your hand. What's done, cannot be undone - To bed, to bed.

Sion terasa seperti ada seseorang sedang berdiri di belakangnya, lantas dia pantas menoleh. Nezumi sedang berdiri dengan sehelai tuala melingkari di lehernya.

Nezumi tertunduk. "Kamar mandi sudah siap sedia, Tuanku."

"Nezumi, buku ni-"

"Itu Macbeth. Shakespeare. Pernah dengar?"

"Cuma tajuk saja."

"Aku dah agak dah."

"Semua ni buku-buku klasik ke?"

"Tidak, Tuanku. Kami juga ada buku pengenalan kepada ekologi dan jurnal-jurnal saintifik, khas untuk Tuanku."

"Buku-buku ni semuanya kepunyaan kau?"

"Kau nak soal-siasat aku lagi ke?" Nezumi menyoal tidak sabar. "Dahlah tu. Pergi mandi. Aku sediakan makanan untuk kau."

Paip air hujan di situ memang jenis model yang lama dan agak sukar juga Sion hendak menyelaras suhu airnya. Namun bagi Sion, ia sudah cukup sempurna. Sudah lama rasanya dia tidak menikmati masa mandi dalam keadaan yang amat selesa seperti ini. Kegatalan di belakang lehernya juga terasa semakin menghilang.

-Aku masih hidup. Aku dah selamat sekarang.

Sion berfikir sendiri di bawah pancuran air membiarkan segenap inci tubuhnya dibasahi air hangat itu. Dia masih belum pasti dengan hari esoknya, namun dia lega kerana dia masih hidup dan sedang menikmati air mandian yang menghangatkan badan dan hatinya itu.

- Aku masih belum ucap terima kasih pada dia.

Dia telah diselamatkan dan Nezumi telah mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan dirinya. Namun, dia mula sedar yang sepatah kata penghargaan pun masih belum diucapkan kepada penyelamatnya itu setakat ini.

Sebaik sahaja dia selesai mandi, seekor tikus mula berlari-lari di kaki Sion.

"Ia suka kau bacakan buku tadi tu." Nezumi kelihatan sedang mengacau sesuatu di dalam periuk kerosin yang berwap itu. Tiba-tiba sahaja Sion berperasaan seperti sedang berada dalam suasana di rumah sahaja.

"Oh..." Nostalgia lama Sion mula terimbas. Dia sudah ingat perasaannya apabila menghidu bau kertas di buku yang dibacanya tadi.

"Kenapa kau menjerit tiba-tiba ni?"

"Tak, aku baru teringat. Dulu, ibu aku selalu bacakan buku untuk aku."

"Dia bacakan Macbeth untuk kau?"

"Mestilah tak. Aku kecik lagi. Aku ingat aku duduk di atas riba dia, dan dia akan bacakan buku untuk aku." Apa tajuk cerita tu, ya? 

"Kau akan musnahkan diri kau sendiri nanti." Kata Nezumi dengan suara yang dingin.

"Apa?"

"Aku dah cakap tadi. Kalau kau asyik bawa bebanan bersama, satu hari nanti, habislah kau. Kau akan musnah teruk."

"Bebanan? Bebanan apa?"

"Memori. Kehidupan selesa kau di No. 6. Tanggapan kau yang kau tu istimewa dan orang-orang terpilih. Kebanggaan kau. Buang semuanya. Dan yang paling teruk ialah ibu kau. Kalau kau asyik fikirkan dia, siapa tahu kau mula cakap kau nak balik ke sana dan jumpa Mama kesayangan kau tu."

Kata-katanya membuatkan darah Sion tersirap.

"Salah ke aku nak fikir pasal ibu aku?" Sion marah. "Aku tahulah situasi aku sekarang ni dan aku tahu tak ada caranya untuk aku terus berhubungan dengan dia. Tapi, aku masih boleh fikir pasal dia. Rindukan dia. Kau tak ada hak nak larang aku."

"Buang semuanya." Suara Nezumi semakin dingin. "Buang semua perasaan tak guna tu."

"Kenapa kau cakap..." Sion seperti tidak percaya.

"Sebab ianya bahaya."

"Perasaan aku? Bahaya?"

"Kau buang kad pengenalan kau sebab ianya akan bahayakan kita berdua. Macam tu jugak dengan perasaan terhadap orang. Kau akan tersangkut, teragak-agak untuk buat sesuatu. Mama kau, papa, datuk, semuanya dah jadi orang asing sekarang. Kau tak perlu ada perasaan terhadap orang asing. Kau cuma perlu fikirkan diri kau sendiri saja, macam mana kau nak terus hidup."

"Dan sebab tu la aku kena buang semuanya?"

"Ya. Putuskan hubungan kau dengan semua bebanan yang kau bawa tu."

Sion menggenggam penumbuknya erat dan melangkah menghampiri Nezumi. "Habis tu, kau pulak macam mana?"

"Aku?"

"Kenapa kau tolong aku? Aku ni cuma orang asing bagi kau, tapi kau sanggup bahayakan diri kau untuk selamatkan aku. Kau tu pun cakap saja lebih."

"Berani betul kau ya," Nezumi berkata. "Kalau kau betul-betul rasa kau diselamatkan oleh aku, baik kau jaga mulut tu sikit."

Nezumi mula mencekak kolar baju Sion dan menghempaskan badannya ke sebuah rak buku. "Aku berhutang dengan kau." suara Nezumi yang merendah dibisikkan ke telinga Sion. "Kau dah selamatkan nyawa aku empat tahun dulu. Dan sekarang aku cuma nak bayar hutang aku balik. Itu saja."

"Kalau macam tu, kau dah bayar hutang kau." Sion cuba menolak tangan Nezumi dari kolar bajunya, namun genggaman tangan Nezumi tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan terlepas. "Lepaskan aku."

"Kau cubalah sendiri."

"Aku gigit hidung kau nanti." Sion mengetap giginya. Dia melingkari tangannya di belakang leher Nezumi. "Aku memang pandai gigit hidung orang."

"Huh? Nanti dulu, kotorlah-"

"Lupa nak cakap. aku pun dah belajar berlawan sejak empat tahun dulu."

"Woi, berhentilah." Suara Nezumi kedengaran gelabah. "jangan gigit - whoa.."

Nezumi hilang keseimbangannya dan kedua-dua mereka terjatuh di atas timbunan buku yang berselerakan di lantai. Beberapa buah buku lagi jatuh dari atas rakm mnimpa kepala dan badan masing-masing.

"Aduh," Nezumi mengerang. "Sakitnya. Rasanya kepala aku kena hentak dengan ensiklopedia. Sion, kau okey?"

"Ya... apa ni? Chumayel's Chilam Balam?"

"Itu kisah kaum Maryan - cerita pasal manusia dan dewa. Kau mesti tak minat punyalah." Nezumi tersenyum sambil mula mengemas buku-buku yang jatuh itu.

"Kenapa kau kata aku tak minat?"

"Betullah, kan? Kau pernah ke berminat dengan manusia atau dewa-dewi sebelum ni?"

Manusia? Dewa? Dia memang tidak pernah memikirkannya sebelum ini. Sekali pun tidak. Tapi, itu dulu.

Sion menghela nafasnya ke udara. Di sini ialah dunia asing yang dia tidak pernah tahu. Apa agaknya yang bakal menantinya di sini? Jantungnya berdebar-debar, namun dia tidak pasti mengapa. Untuk seketika, hatinya dicengkam rasa ingin tahu dan teruja, seperti melihat lautan untuk kali yang pertama. Selepas itu, dia mula terfikirkan bagaimanalah wajahnya pada ketika itu. Dia berasa malu, dan tunduk ke bawah mengutip buku-buku yang berselerak, tidak mahu Nezumi melihat wajahnya.

"Ni apa pulak?"

"Koleksi sajak-sajak Hesse." Nezumi membalas.

My soul, you frightened bird,
Over and over you must ask: 
When after so many turbulent days
Comes peace, comes calm?

"Pernah dengar?"

"Tak"

"Dah agak, dah."

"Tak payah la tanya kalau dah tahu." Sion menarik muka masam.

"Kalau tak tahu, belajarlah."

"Benda-benda ni bukan benda tak berguna ke?"

"Satu hari nanti, ia akan jadi berguna jugak." Nezumi berkata. "Dahlah. Sup tu akan sejuk..." Nezumi terdiam. Matanya membulat besar.

"Kenapa, Nezumi?"

"Sion, tangan kau."

"Huh?"

"Tangan kau... sejak bila ada tompok..."

Nezumi menggulung lengan baju Sion hingga ke siku. Beberapa tompokan gelap kelihatan dan mula hendak merebak ke badannya. Tompokan itu tidak ada ketika dia mandi tadi.

"Apa? Apa ni?"

Sion menjerit. Dalam masa yang sama, kepalanya terasa amat sakit.

"Sion!"

Kesakitan itu datang seperti gelombang. Sekejap ia surut, sekejap ia menyerang. Jari jemari Sion kaku dan kakinya mulai mengejang.

"Sion, aku panggilkan doktor-"

Sion mencapai baju Nezumi dengan lemah. Dia sudah tiada masa lagi. Tiada gunanya memanggil doktor sekarang.

"Apa aku nak buat? Sion, apa yang-"

"Leher aku..." Suaranya semakin lemah.

"Leher?"

"Kesan melepuh tu... potongkan."

"Tapi, aku tak ada bius."

"Tak payah." Dia mengerang. "Cepat..."

Dia semakin hilang kesedaran. Sion merasakan badannya diangkat. Jangan pengsan. Kalau pengsan, aku tak akan sedar lagi. Dia tidak tahu apakah yang membuatkannya begitu kuat, namun dia amat pasti. Rasa perit itu menghilang untuk seketika dan dia mula terbayangkan Yamase yang pengsan di lantai.

- Tapi, Yamase tak menderita.

Yamase tidak berguling-guling kesakitan. Dia hanya berusia dalam sekelip mata dan mati seperti pokok yang layu. Simptom-simptom Yamase berlainan dengan simptom-simptom Sion. Mungkin aku masih ada peluang-

Otak Sion seperti dicucuk dengan beribu-ribu jarum dari pelbagai arah. Badannya menggeletar dalam kesakitan yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Jeritannya sendiri menjadi serpihan tajam yang menikam badannya. Dia mula berpeluh, tekak meloya, darah dan cecair dalam perut mula terkumpul di mulut seolah-olah akan dimuntahkan melalui mulutnya. 

Sakitnya! Sakit! Sakit!

Sion tidak lagi mahu diselamatkan. Dia hanya mahu dibebaskan dari rasa sakit itu, dari penderitaan itu. Dia tidak perlu membuka matanya, tidak perlu hidup. Dia hanya mahu bebas-

Dia terasa rambutnya ditarik ke belakang dan diheret ke arah kegelapan. Apa yang dia perlu buat hanyalah menurut dan dia akan dibawa ke tempat lain yang lebih baik.

Sejenis cecair panas dituang ke dalam mulutnya. Cecair itu meluncur ke tekaknya dan dan dia dapat rasakan badannya ditarik keluar dari kegelapan itu.

"Buka mata kau." Sepasang mata kelabu sedang memandang tepat ke wajahnya.

"Nezumi... aku dah tak tahan... biar aku mati."

Pipinya ditampar kuat. "Jangan mengarut. Kau takkan pergi mana-mana. Minum benda ni." Cecair itu sekali lagi dipaksa menuruni tekaknya.

Sion seperti terdengar satu bunyi - mungkinkah ia hanya halusinasinya? Bunyi-bunyi halus beribu-ribu serangga yang sedang menggigit dan memakan otaknya. Bunyi-bunyi yang menyakitkan kepalanya:

Makan. Makan. Makan.

Halusinasinya kah? Atau adakah disebabkan kesakitan yang melampau itu menyebabkan dia mula terdengar bunyi yang bukan-bukan? Dia sudah tidak dapat bertahan. Dan dia berasa takut. Anak tekaknya terus-terusan menjerit menghamburkan rasa sakitnya yang semakin menjalar itu.

"Jangan mengalah. Kau tu baru 16 tahun. Masih terlalu awal untuk kau mati."

Sion terasa segala tenaganya semakin menghilang. Badannya berat seolah-olah dia diikat dengan beban yang berat. Dia semakin lemas, namun dia sedar yang kesakitan itu semakin berkurangan.

"Teruskan menjerit. Kau mesti sedar. Jangan pengsan. Aku akan potong lepuhan tu."

Tangan Nezumi sedang memegang sebilah pisau bedah.

"Aku tak ada pisau bedah elektronik, jadi kau jangan bergerak-gerak."

Samada sistem sarafnya sudah kebas daripada kesakitan itu, ataupun disebabkan semua tenaganya sudah hilang dari badannya, dia tidak tahu. Tetapi, Sion langsung tidak bergerak walaupun sedikit. Dia sudah kehilangan daya untuk bergerak.


Tiga ekor tikus sedang duduk memerhatikannya dari atas timbunan buku. Jarum jam analog di dinding bergerak perlahan-lahan. Tik-tik-tik. Sion dapat mendengar bunyinya dengan jelas. Itulah pertama kalinya dia dapat mendengar bunyi masa yang berlalu dan ia terasa amat lama. Mula-mula satu saat, kemudian satu minit. Dunia Sion terasa gelap. Pipinya terasa panas. Setitis air matanya jatuh ke pipi, menyentuh bibirnya dan jatuh ke atas tilam. 

Semuanya sudah berakhir. Dia mendengar Nezumi menghela nafas panjang dan bunyi pisau bedah itu terjatuh ke lantai.

"Luka kau tak teruk sangat. Sakit tak?"

"Tak..." Sion berkata lemah. "Aku nak tidur."

"Jangan tidur lagi. Bertahan sekejap."

Suara Nezumi semakin menjauh. Sion hanya dapat mendengar bunyi jam yang berdetik.

"Sion."

Badannya digoncang-goncang.

"Buka mata kau. Sikit lagi - tolonglah - buka mata kau."

Diam! Dia mahu menengking. Diam, diam! Sikit lagi? Berapa lama lagi dia perlu bertahan?

"Jangan mengarut. Kau dah susahkan aku tadi dan sekarang kau dah nak pergi. Sion, kau tahukan apa akan jadi? Mama kau akan menangis. Macam mana dengan budak perempuan, Safu apatah namanya tu? Pernah ke kau tidur dengan perempuan sebelum ni? Kau dah sia-siakan peluang kau sebab tolak dia, tahu tak?" 

Diam, diam. Berhenti bercakap lagi.

"Kau masih tak tahu apa-apa. Tentang buku, seks, atau cara berlawan. Dan sekarang kau dah tak mahu hidup lagi? Sion, buka mata kau!"

Dia membuka matanya dan terpandang empat pasang mata sedang merenung ke arahnya. Sepasang daripadanya berwarna kelabu, kepunyaan seorang manusia, dan tiga pasang lagi kepunyaan tiga ekor tikus.

"Bagus. Aku puji kau."

"Nezumi..."

"Hmm?"

"Aku masih tak tahu nama kau."

"Nama aku?"

"Nama sebenar kau..."

"Itupun satu lagi benda yang kau tak tahu. Aku akan beritahu kau lepas kau sihat nanti dan itu akan jadi hadiah untuk kau."

Mulutnya disuap dengan cecair pahit beberapa kali. Baru saja dia hendak emlelapkan mata, matanya akan terbuka semula apabila menghirup cecair itu. Sion demam. Dia berpeluh kuat dan muntah-muntah.

"Air..."

Dia merayu berulang-ulang kali dan setiap kali itulah tekaknya dibasahi dengan cecair sejuk itu.

"Sedap rasanya."

"Ya. Dunia ni bukannya tempat yang teruk sangat." Tangan Nezumi mengusap-ngusap rambut Sion dengan lembut.

"Kau boleh tidur sekarang. Kau dah tak apa-apa."

"Boleh?"

"Ya. Kau dah melepasi masa genting kau sekarang. Kau dah menang. Kau memang hebat." Jari-jemari yang mengusap rambutnya sangat lemah lembut, dan begitu juga dengan nada suara pemiliknya, Nezumi. Sion kemudian menutup matanya dan terus hanyut dibuai lena.

(bersambung di bahagian b)

Sunday, October 2, 2011

Vol. 1 Ch. 3 Bahagian b

"Sion, jangan panik. Aku datang tolong kau."

Betul cakap Nezumi. Jangan panik. Bertenang. Dia hanya perlu melengahkan masa mereka untuk memberi masa kepada Nezumi.

"Tolong jangan berkasar dengan saya." Pintanya.

"Kami takkan cederakan awak, asalkan awak bekerjasama dengan kami."

"Tak ada gunanya saya melawan, kan?"

"Tak perlu buat benda yang sia-sia. Budak baik macam awak ni sepatutnya tahu yang ianya tak berguna."

"Tak berguna? Pada siapa?"

"Pada awaklah."

"Saya tak faham apa yang encik cakapkan ni."

"Tak lama lagi awak akan faham. Awak ni memang budak yang bijak dan cepat faham, sama macam empat tahun lalu."

Sion masuk ke dalam kereta sambil diiringi oleh dua orang pegawai Biro. Sempat dia memandang ke atas, melihat langit musim luruh yang biru dan cerah. Matahari memancar terang dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Burung-burung berkicauan. Suasana yang cukup damai.

Kereta itu meluncur laju di jalan.

"Hari ni cuaca memang baik." Rashi memberi komen dari tempat duduk penumpang hadapan, tanpa menoleh memandang ke arah Sion yang duduk di kerusi belakang. Pegawai yang duduk di sebelah kanan Sion mengangguk tanda setuju. "Nampaknya hari ni lebih hangat dari biasa."

Rashi menoleh memandang ke arah Sion sambil tersenyum. "Awak ada kereta?" Soalnya.

"Tak. Saya biasanya berjalan kaki atau naik basikal je."

"Baguslah tu. Anak muda macam awak ni patut bersenam sikit. Gerakkan otot-otot tu. Kalau awak nak tahu, kereta yang kita naik ni ialah kereta yang pakai bateri. Selesa kan?"

"Memang bagus. Saya akan rasa macam tu kalau saya bukan dalam situasi sekarang ni." Sion menjawab dengan nada suara yang menyindir. Hanya itu sahaja yang dia mampu lakukan sebagai tanda memberontak dan protesnya. Rashi pula sekadar mengangkat bahu sahaja.

"Macam yang saya cakap tadi, kereta ni digerakkan menggunakan bateri. Awak tahu tak macam mana ia berfungsi? Kami tak berapa tahu benda-benda canggih macam ni sangat."

"Saya pun bukannya tahu sangat."

"Jadi, benda macam mana yang awak tahu?"

"Tak banyak... maksud saya, saya pun bukannya tahu sangat pasal pengetahuan saintifik."

Kedua-dua pegawai di sebelah Sion mula mencekak lengan Sion serentak. Nada suara Rashi juga telah berubah menjadi nada suara seorang pegawai menyiasat.

"Kalau macam tu, beritahu kami apa yang awak tahu."

"Macam yang saya cakap tadi, saya cuma ada pengetahuan asas sikit-sikit saja."

"Contohnya?"

Perbualan mereka amat pendek dan kedengaran santai, namun Sion merasakan nafasnya sedikit sesak dan kepalanya terasa terbeban seperti seseorang sedang mencekik lehernya perlahan-lahan menggunakan kain yang lembut dan ia membuatkan dia berasa loya dan tidak selesa. Membunuhnya perlahan-lahan.

"Emm... oksigen dan hidrogen akan terhasil dari alkohol melalui proses elektrolisis dan kalau mengabungkannya pula akan menghasilkan tenaga-"

"Tenaga apa?"

"Kita nak pergi mana sebenarnya ni?" Sion tiba-tiba menyoal. Dia mengangkat punggung dari kerusi namun ditarik semula oleh pegawai-pegawai itu membuatkan dia terhentak di kerusi.

"Bukankah kita nak pergi ke Biro Sekuriti? Ini bukan jalannya." Biro Sekuriti terletak bersebelahan dengan City Hall. Dari Pejabat Pengurusan Taman, mereka hanya perlu melalui jalan di taman dan ianya mengambil masa beberapa minit sahaja dengan menaiki kereta. Namun, Sion mula menyedari yang mereka sedang menghala ke arah jalan yang bertentangan.

"Awak rasa kita nak pergi mana?"

"Sebab tu lah saya tanya tadi." Sion hampir membentak.

"Awak tak berhak bertanya soalan."

"Apa- tapi kenapa-"

"Saya tak beritahu awak ke tadi? Awak ialah suspek utama dalam kes ni."

"Kes apa pulak?"

"Kematian hari ni dan kematian yang berlaku semalam. Awak telah disyaki membunuh."

Sion kehilangan suaranya. Darahnya tersirap dari telinganya hingga ke muka.

"Awak ialah seorang suspek yang merbahaya. Awak mempunyai pengetahuan dan tahap kebijaksanaan yang tinggi. Saya tahu itu melalui perbualan kita. Selain tu, awak bersikap tidak puas hati dan memberontak terhadap Bandar kita. Kemahiran yang amat tinggi dan sikap melawan awak tu menjadikan awak seorang yang merbahaya."

"Semua tu tuduhan palsu!"

"Palsu? Saya tak fikir begitu." Rashi memanjangkan tangannya dan menekan butang berwarna perak di stereng kereta dan suara Yamase dan Sion mula bergema melalui pembesar suara.

"Yamase, kenapa Biro Sekuriti perlu menipu pasal ni? Dan pelik jugak mereka masih belum jumpa sebab kematian lelaki tu."

"Yelah. Kejadian ni memang pelik."

Sion menutup kelopak matanya. Perbualan antaranya dan Yamase beberapa minit yang lalu, nampaknya telah dirakam sejak dulu. Adakah mikrofon tersembunyi telah dipasang di panel kawalan? Kalau ya, ianya untuk apa?

"Yamase, kau rasalah pihak Biro sedang memanipulasi maklumat ke?"

"Sion!"

Rashi menekan butang perak itu sekali lagi, mematikan perbualan itu. Untuk seketika, keadaan di dalam kereta itu menjadi senyap sunyi seolah-olah udara di sekeliling mereka telah membeku.

"Nak dengar lagi?" Rashi menyoal.

"Tolong... berhenti... saya tak percaya semua ni."

"Tak percaya?"

"Saya tak bunuh oranglah." Sion berkata.

"Habis tu awak nak kata pembunuh sebenar dalam kes ni ialah lebah yang awak cakapkan tadi?"

"Ya."

"Mengarut! Budak bijak macam awak ni mereka cerita yang macam ni?"

"Kalau macam tu, apa motif saya nak bunuh Yamase?"

"Perkara itu kami akan siasat. Tapi, saya agak awak cuma nak menimbulkan huru-hara."

"Apa?"

"Kekecohan. Awak nak mulakan kekecohan yang besar untuk menghuru-harakan Bandar ni. Awak mesti ingat yang awak tu ialah budak genius yang malang, jadi awak bencikan Bandar ni sebab apa yang berlaku pada awak 4 tahun lalu. Awak mahukan lebih perhatian, jadi awak mula terfikirkan cara macam ni, kematian misteri untuk menimbulkan kekacauan penduduk bandar. Awak memang ada pengetahuan dalam bidang biologi dan perubatan dan memang tak mustahil awak gunakan pengetahuan awak tu untuk melakukan pembunuhan."

Sion bersandar di kerusi kereta dengan tenaga yang semakin menghilang. Dia kini sedar semuanya adalah perangkap. Dia telah terjatuh ke dalam perangkap lelaki bernama Rashi ini dan sekarang sukar untuk dia meloloskan diri. Dia menjilat bibirnya yang kering itu.

"Saya dah faham." Sion membalas dengan tenang. "Semuanya dah diaturkan dari mula lagi. Saya diperangkap. Tapi, cerita awak ni lebih mengarut dari cerita saya, nampaknya."

"Kita tengok sajalah nanti bila kami soal-siasat awak." Tangan Sion kini mula digari. 

"Gari tu ada alat pengesan jejak supaya kami tahu lokasi awak. Kami akan tanggalkannya bila dah sampai nanti." Kata-kata Rashi itu membuatkan Sion dapat mengagak ke mana sebenarnya destinasi mereka. Dia akan dibawa ke West Block. Ke Pusat Pemulihan. Kalaulah dia disoal siasat di situ, dia pasti akan ditahan dan dikurung di situ sebagai penjenayah. Cip V juga akan diimplan ke dalam badannya.

Nezumi, sekarang dah terlambat. Aku dah tak boleh lari lagi.

Dia menutup matanya dan menarik nafas panjang.

"Awak memang budak baik. Duduk diam-diam."

Sion terus mendiamkan diri sambil menggigit bibir bawahnya.

Aku datang tolong kau. Suara Nezumi bergema di telinganya membuatkan hatinya beransur tenang. Kakinya masih menggigil namun bukan disebabkan ketakutan, tetapi kemarahan yang memuncak. Kemarahan kepada mereka yang menipunya dan suara Nezumi semakin menguatkan rasa amarahnya itu. 

Kereta itu mula memasuki Lost Town.

Ibu

"Awak risaukan ibu awak ke?"

"Tak ada apa-apa akan berlaku pada dia, kan?"

"Tak ada apa-apa. Kewarganegaraan dia takkan dilucutkan hanya sebab anaknya seorang penjenayah." Kata Rashi sebelum membisikkan sesuatu kepada pemandu mereka. Kereta itu kemudian membelok ke kanan dan memasuki sebuah kawasan yang amat dikenali Sion. Kereta itu akhirnya berhenti.

"Tengok tu."

Rashi menuding kepada Karan yang sedang berbual dengan seorang kanak-kanak perempuan sambil memberikannya sebungkus roti. Kedua-dua mereka sedang tersenyum gembira. Suasana di musim luruh itu membuatkan mereka kelihatan seperti sebuah lukisan ataupun dalam babak di dalam sebuah drama. 

"Ibu awak nampak macam seorang perempuan yang baik. Tengoklah dia puas-puas sekarang." Kata Rashi sebelum kereta itu mula bergerak semula. "Awak takkan jumpa dengan dia lagi."

Rashi tergelak kecil.

"Awak tak perlu risau sangat. Saya pasti dia akan terkejut sedikit dan rasa sedih pada mulanya. Tapi, nanti dia akan lupakannya. Macam tu lah kehidupan. Awak tak perlu risaukan dia sebab lepas ni awak akan jumpa benda lain yang akan buat awak lebih risau, Sion."

Kata-kata Rashi amat mengguris hati Sion. Nafasnya tersekat di tekak dan kemarahan di dalam dirinya beransur pudar perlahan-lahan. Dia tidak akan kembali kepada kehidupan lamanya semula, selama-lamanya. Melihat ibunya, membuatkan dia dibelenggu kesedihan yang teramat sangat.

Mereka memang telah mengaturkan semuanya. Mereka bukannya berhenti berhampiran rumah Sion disebabkan simpati padanya, sebaliknya hanya untuk menjatuhkan semangat Sion. Sengaja mahu membuat dia berfikir yang dia tidak punya harapan lagi, memanipulasi perasaannya. Memang kejam sekali kerana Sion sama-sekali sudah kehilangan daya untuk melawan.

"Aku datang tolong kau. Aku datang tolong kau."

Sion mengulangi kata-kata itu seorang diri.

Aku datang tolong kau. Hanya frasa yang pendek, namun suara Nezumi kedengaran amat berkeyakinan.

Macam mana agaknya rupa dia? Sion berfikir sendiri dan cuba membayangkan wajah Nezumi. Namun, ternyata dia hanya dapat mengingat sepasang mata kelabu itu sahaja.

Kita akan bertemu lagikah, Nezumi?

"Apa ni?" Rashi menoleh memandangnya dengan kening yang berkerut. "Awak tengah senyum?"

"Senyum? Mestilah tak." Sion membalas. "Tak mungkin saya boleh senyum dalam keadaan macam ni."

"Dalam keadaan macam ni, huh.... awak nampak tenang. Saya harap awak faham dengan situasi awak sekarang ni."

"Faham sangat."

"Awak terlalu tenang." Mata Rashi mengecil sedikit, barangkali berasa curiga.

"Sebab saya ni memang seorang yang naif."

"Apa?"

"Naif." Sion mengulang. "Ada orang pernah cakap macam tu pada saya. Yang saya ni seorang naif yang semulajadi."

Rashi merenung lama wajah Sion dalam senyap. Kereta itu akhirnya keluar dari Lost Town dan mula menghampiri sempadan di barat. Itulah pertama kali Sion menjejakkan kaki ke situ kerana penduduk biasa tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu. No. 6 memang bagaikan sebuah kubu - dengan tembok benteng yang dibina dari aloi khas yang mengelilingi seluruh bandar. Di kebanyakan tempat di dalam bandar, pokok-pokok ditanam berhampiran tembok itu membuatkan ia tidak dapat dilihat dari jauh namun di West Block ini, ianya kelihatan terdedah sahaja. Kereta itu kemudian melepasi Pejabat Imigresen.

"Nak masuk ke West Block dari sini ke?" Sion membuka mulut.

"Ada dua pintu di sini. Satu digunakan untuk urusan keluar masuk ke bandar. Satu lagi pintu menghubungkan terus ke Pusat Pemulihan. Pusat Pemulihan tu tempat khas, jadi ianya terasing dari kawasan lain termasuklah dari West Block. Rasanya awak tak tahu pasal ni kan?"

"Tak, saya tak tahu."

"Lepas ni, lagi banyak awak akan tahu."

Laluan itu semakin sempit dengan pokok-pokok gergasi yang banyak dan menghalang cahaya matahari terus menyinar ke tanah.

"Lepas hutan ni, kita akan melalui kawasan gurun. Bila dah lepas pintu nanti pun, kita akan melalui kawasan terbiar jugak. Jadi, lebih baik awak nikmati permandangan hijau ni sekarang."

Kereta itu berhenti tiba-tiba.

"Kenapa berhenti?" Rashi menyoal.

"Ah, itu..." Pemandu kereta menunjuk ke arah sesuatu di hadapan. Sebuah robot berwarna perak sedang terbaring secara melintang di tengah jalan. Tidak lama kemudian, perlahan-lahan robot itu bangkit berdiri.

"Sampo?" Sion tergamam.

"Apa ni? Apa robot pembersihan buat di sini?"

"Mungkin ia dapat arahan untuk bersihkan kawasan hutan ni."

"Saya tak tahu pum."

Sampo sedang mengutip daun-daun yang berguguran dengan lengan besinya itu.

"Jaga suspek ni baik-baik." Rashi memberi arahan sebelum keluar dari kereta dan berjalan ke arah Sampo. Robot itu bergerak menghampiri Rashi dalam terhoyong-hayang dan lengan besinya mencekak badan Rashi kuat. Badannya menjengah ke hadapan. Rashi berteriak perlahan sebelum dia diheret oleh Sampo di tanah ke celahan pokok-pokok.

"Ah!" Pemandu kereta itu menaikkan nada suaranya terkejut melihat insiden itu lalu membuka pintu kereta. Tidak lama kemudian, kelihatan dua ekor tikus bergerak laju menuju ke kereta itu dan dalam sekelip mata, kedua-dua ekor haiwan kecil berwarna kelabu itu naik ke badan kedua-dua orang pegawai yang duduk di sebelah Sion dan mencekak leher mereka.

"Jangan bergerak." Satu suara yang rendah memberi arahan. Seorang manusia yang menutup kepala dan bahunya dengan sehelai kain berwarna kelabu menyelinap masuk ke kerusi penumpang di hadapan. Seekor tikus berwarna coklat pula memanjat ke leher pemandu kereta.

"Dalam badan tikus-tikus ni ada bom. Kalau cuba buat apa-apa, aku akan letupkan kepala kamu semua."

Pemandu kereta itu mula berteriak ketakutan.

"Tanggalkan gari dia. Lepas tu, kamu bertiga keluar dari kereta ni."

Tiada sesiapa pun yang bergerak.

"Cepatlah!" Dia mengarah dengan nada yang marah. "Aku ni bukannya penyabar. Kamu nak aku letupkan bom ni ke, hah?" Bunyi klik, klik, klik dari tikus-tikus itu sudah cukup untuk menakutkan mereka. Gari di lengan Sion ditanggalkan dan ketiga-tiga mereka keluar dari kereta dengan leher yang berdarah.

"Nezumi!"

"Lepas ni baru beramah mesra." Nezumi berkata dengan wajah yang serius tanpa memandang muka Sion. Dia memusing stereng kereta lalu kereta itu berpusing membuat pusingan-U dan meluncur laju dengan kelajuan penuh.

"Nezumi, betul ke kau nak letupkan lelaki-lelaki tadi?"

"Bodohlah kau ni. Takkanlah aku betul-betul letak bom dalam kawan-kawan aku pulak? Tadi tu cuma nak menakutkan mereka sajalah."

"Jadi, tikus-tikus tadi tu robotlah, ya? Nampak macam tikus betullah. Sampo juga. Macam mana kau..."

"Diamlah!" Nezumi bertempik. "Tutup kepala kau baik-baik dengan kain tu."

"Ini kain superfibre ke? Kenapa aku kena pakai kain ni?"

"Sebab aku nak langgar."

"Langgar apa?"

"Kereta ni lah."

"Apa? Tapi, kenapa..."

Nezumi menumbuk stereng kereta itu kasar. "Diam boleh, tak? Kau ni pandai tanya soalan je ke?"

"Tapi, kita masih boleh lari pakai kereta ni."

"Memanglah rancangan asal aku macam tu, tapi..."

"Tapi apa?"

"Ianya akan jadi terlalu sempurna." Mereka semakin menghampiri tembok yang memisahkan West Block dengan No. 6, namun kereta itu tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan diperlahankan. "Sepatutnya tak semudah ni untuk selamatkan kau."

"Betul ke?"

"Si lembab macam kau ni memang takkan tahu apa-apa. Kalau rancangan kita berjalan terlalu sempurna, maksudnya ianya agak mencurigakan. Mesti ada bahaya sedang menanti. Sebab tu lah kita akan tinggalkan kereta ni. Kau tutup badan kau dengan kain tu dan bila aku bagi isyarat, kau lompat keluar dari kereta ni sebab aku nak biar kereta ni berlanggar."

"Kau pulak macam mana?"

"Aku dah biasa dengan benda-benda macam ni. Kau tak payah nak risaukan aku."

"Tapi, mana boleh aku tinggalkan kau!"

Mereka semakin mendekati dengan tembok.

"Keluar sekarang. Buka pintu tu." Nezumi menjerit. Serentak dengan itu, tayar kereta itu berdecit apabila kereta itu berhenti secara tiba-tiba. Tubuh Sion melambung ke atas disebabkan inersia. Tidak lama kemudian, dia terhentak ke kerusi semula. Mujur juga kerusi itu dilengkapi dengan bahan penyerap hentakan, jika tidak sudah pasti tulang Sion akan patah riuk.

"Tak guna!" Nezumi menyumpah seraya menendang pintu kereta dengan kuat. Ia tidak bergerak.

"Kereta ni pakai sistem brek automatik ke?" Sion menyoal sambil menggosok-gosok bahunya yang lebam itu.

"Aku dah matikan sistem tu awal-awal lagi. Sistem penggera, sistem pengesan pelanggaran, semuanya aku dah matikan. Kereta ni dikawal oleh alat kawalan jauh." Nezumi naik angin.

Mereka dapat mendengar suara Rashi sedang ketawa melalui pembesar suara di dalam kereta. "Jangan pandang rendah dengan kami dari Biro Sekuriti. Kereta yang awak naik tu sebenarnya kereta pengiring, walaupun awak mungkin tak perasan. Bukan senang nak kawal kereta ni."

Nezumi menyumpah lagi.

"Saya tak tahu pula awak ada kawan. Memang langsung tak jangka. Apa kata kita semua duduk bersembang baik-baik kejap lagi."

Kereta itu mula bergerak sendiri.

"Kawan awak tu pendiam, ya? Ataupun dia sengaja tak mahu bercakap sebab sistem kami ada sampel suara dia? Kalau macam tu, dia mesti ada rekod jenayah."

"Aku rasa kau tu yang cakap banyak. Maaflah, tapi aku tak berminat nak berborak dengan pak cik-pak cik tua." Nezumi berpindah ke kerusi belakang dan menolak Sion tunduk ke bawah. "Tunduk dan masuk dalam kain superfibre ni. Pegang kuat-kuat."

"Hei, apa kamu nak buat?" Suara Rashi kedengaran panik.

"Jumpa lagi, pak cik. Cakap selamat tinggal pada kereta canggih ni jugak."

"Apa-"

"Keluar!" Suara mengarah Nezumi bergema di telinga Sion. Pintu dibuka dan angin hangat mula bertiup di sekeliling mereka. Keluar. Aku kena keluar. Sion memejam matanya dan terus melompat keluar dari kereta. Dia terasa badannya menjejak tanah dan berguling-guling. Beberapa saat kemudian, dia terdengar bunyi letupan yang kuat dengan kereta yang mereka naiki tadi itu berkecai menjadi serpihan-serpihan.

"Bagus!" Nezumi bersiul kecil. "Kau memang pandai berguling. Kau tak cedera, kan?"

"Tangan aku luka. Kau?"

"Aku dah cakap tadi. Aku dah biasa dengan semua ni."

"Apa sebenarnya yang kau buat tadi?"

"Aku musnahkan sistem kawalan kereta tu."

"Macam mana?"

"Kereta pengiring macam tu memang nampak kuat di bahagian luar, tapi bahagian dalamnya biasa-biasa saja. Asalkan kau pasang di tempat yang betul, bom kecil pun dah boleh musnahkan kereta tu."

"Kau macam tahu banyak pasal benda-benda ni."

"Kan aku cakap tadi, aku dah biasa. Sekarang, kita kena pergi dari sini. Kau boleh lari?"

"Boleh."

Beberapa buah kereta Biro Sekuriti semakin menghampiri kawasan itu. Mereka tahu yang kawasan itu diletakkan sebagai kawasan berjaga-jaga. Pengawalan pasti amat ketat dengan pasukan menjejak mereka.

"Buang kad pengenalan kau." Nezumi mengarah. "Cepatlah. Jangan buang masa lagi. Benda tu akan menyusahkan kita."

Sion memang tahu. Kad pengenalan itu mengandungi maklumat peribadinya yang disambung terus ke sistem komputer pentadbiran pusat. Komputer itu akan mudah saja mengesan jejaknya daripada gelombang radio lemah yang dibebaskan dari kad itu. Sekiranya kad itu masih berada dengannya, samalah seperti dia sendiri memberitahu mereka di mana dia berada. Objek kecil yang amat berbahaya bagi mereka yang dalam pelarian, bersembunyi dan tidak mahu dirinya dikesan. Nezumi telah menyuruhnya supaya membuang kad itu. Namun - sekali dia melepaskannya, Sion tidak akan dapat memilikinya semula. Samalah seperti dia membuang dirinya dari No. 6. Kad pengenalannya itulah yang digunakan untuk membeli-belah, membayar bil utiliti, sebagai medium komunikasi dan juga untuk menaiki pengangkutan awam. Mereka-mereka yang gagal menunjukkan bukti kewarganegaraan ini, memang tidak dapat tinggal di No. 6.

"Cepat buang." Ulang Nezumi dengan nada yang masih rendah.

Kalaulah dia enggan, mereka tidak akan berpeluang melarikan diri. Tapi, kalaulah dia menurut, dia pasti tidak dapat kembali lagi. Mata kelabu Nezumi merenungnya lama. Mata yang langsung tidak kelihatan risau mahupun panik, sebaliknya kelihatan amat tenang dan susah dibaca. Sion akhirnya menurut, mencampakkan kad pengenalannya ke tanah. Seekor tikus kelabu muncul, menggigit kad itu di mulutnya dan berlari laju menuju ke arah bertentangan.

"Ia akan tolong kita lengahkan Biro Sekuriti buat sementara waktu. Mungkin tak lama, tapi sekurang-kurangnya kita akan sempat lari. Jom cepat." Kata Nezumi.


Sebuah kereta Biro Sekuriti membelok ke kanan dan menghilang di dalam laluan hutan. Kereta itu telah mengesan gelombang radio dari kad pengenalan Sion, dan sekarang kereta itu sedang mengekori tikus kecil itu.

"Cepat. Kalau pihak Biro hidupkan sistem satelit, mereka akan dapat tengok kawasan ni. Lepas tu, mereka akan tahu yang kita dah tipu mereka. Kita kena lari sementara mereka masih kejar kad pengenalan kau tu."

"Lari ke mana? Macam mana - ?"

"Kita guna itu." Nezumi menuding ke arah sebuah trak kecil yang diparkir di bawah sebatang pokok. Trak itu adalah kenderaan Pengurusan Taman dan kelihatan sebuah robot pembersihan di belakang trak itu.


"Sampo - tak, itu Ippo."

"Ya. Mereka kata nak tolong kau, tapi kau tak nak dengar, jadi aku bawak mereka sekali. Berguna juga robot-robot ni."

Trak itu akhirnya bergerak di jalan, dipandu oleh Nezumi.

"Nezumi, kawasan ni sepatutnya dikawal ketat sekarang. Kalau kita tak ada kad, mereka pasti akan syak sesuatu. Kita mesti kena tangkap nanti."

"Kita ada kad."

"Mana?"

"Dia ada." Nezumi mengerling ke arah Ippo.

"Ippo? Oh, betul juga." Semua robot dikehendaki berdaftar dengan Bandar. Robot seperti Sampo dan Ippo dilengkapi dengan cip dan didaftarkan mengikut kegunaan yang ditetapkan.

"Cip robot ni akan tolong kita melepasi sistem pemeriksaan."

"Tapi Ippo ni robot pembersihan. Kalaulah robot pembersihan ni berada di kawasan tak sepatutnya, mereka akan syak sesuatu."

"Kita memang akan pergi ke tempat yang sepatutnya."

"Huh?"

Mereka semakin menghampiri sebuah pintu pagar berwarna perak. Sebaik sahaja mereka melepasinya, mereka akan melalui alat pengimbas dan sekiranya sistem itu mengimbas benda-benda yang tak sepatutnya, pagar itu akan tertutup secara automatik dan mereka pasti akan terpaksa menghentikan trak itu.

Nezumi semakin menekan pedal minyak dan memecut laju melintasi pagar itu. Sion mengeluh lega apabila lampu dan penggera di pagar itu tidak menyala. 

Nezumi pula sekadar tertawa melihat reaksi Sion itu. "Jangan seronok sangat, Sion. Kita baru nak mula."

"Maaf. Aku tak biasa dengan semua ni."

"Tak lama lagi kau akan dapat biasakan diri. Lepas tu, kau boleh berseronok."

"Ni bukan caranya aku berseronok." Sion berbisik sendiri.

"Oh, ye ke? Aku nampak muka kau macam rasa seronok jugak."

Sion mengeluh lagi. Dia kemudian memusatkan pandangan matanya memandang lama wajah Nezumi yang sedang memandu.

"Suka tengok muka kacak aku ni ke?"

"Taklah, aku cuma perasan yang kau makin tinggi."

"Mestilah. Dah empat tahun, kan? Empat tahun tu masa yang lama. Mestilah kita akan berubah."

Empat tahun memang masa yang lama. Bagi Sion, ia memang tempoh yang lama dan berliku-liku. Namun, jika hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku beberapa jam yang lalu, tempoh empat tahun itu boleh dikatakan sebagai tempoh yang amat tenang di dalam hidupnya. 

Nezumi mengukir senyuman sinis. "Jadi, kau memang perasanlah ya?"

"Apa?"

"Aku dah lebih tinggi dari kau." 

"Tipu!" Sion membantah.

"Betullah. Kau makan apa selama ni? Badan kurus macam ranting kayu. Aku tak boleh bayangkan kau tanggalkan baju depan kekasih kau dengan badan yang macam ni."

"Jangan sibuklah!" Sion membalas sedikit berang. "Pernah ke kau nampak aku tak berpakaian? Jangan nak memandai cakap saja."

"Kalau aku cakap aku pernah nampak, macam mana?" Neumi berkata sambil terus ketawa dan mengangkat keningnya. Kain yang dipakai di bahunya bergerak-gerak mengikut rentak pergerakan badannya. Sion yang telah merawat bahu yang sama itu 4 tahun yang lalu. Bahu itu kelihatan lebih bidang dan gagah. Rambutnya yang panjang dulu sudah pendek, kini hanya menutup telinganya sahaja. Rahang dan lehernya masih kurus namun tidak melidi seperti dulu. Nezumi yang sekarang, bukanlah seperti Nezumi yang menarik simpati Sion 4 tahun dulu lagi.

"Nezumi, adakah selama ni kau mengawasi aku?"

"Apa kau cakap ni?" Nezumi menyoal dengan nada tidak bersalah.

"Jangan pura-pura. Kau muncul tepat pada masanya macamlah kau tahu benda ni akan berlaku pada aku. Apa ni? Kau memang perhatikan aku ke selama ni?"

"Jangan perasan sangat. Aku ni bukannya tak ada kerja lain nak buat."

"Kalau macam tu, jelaskan pada aku."

"Kau memang selalu macam ni, kan?" Kata Nezumi. "Kau sentiasa perlukan penjelasan untuk segala-galanya. Kau takkan buat sesuatu kalau kau tak faham betul-betul."

"Kau apa tahu?" Sion marah. "Jangan cakap macam kau tahu semuanya pasal aku. Aku mesti nak tahu apa sebenarnya yang dah berlaku - apa yang akan berlaku. Aku tak boleh bertindak kalau aku masih keliru macam ni."

Trak itu berhenti mendadak mengejutkan Sion. Nezumi menarik kolar baju Sion dan menggoncangnya kasar. Wajahnya tampak serius dan marah benar.

"Kau mesti bertindak." Nezumi berkata. "Jangan biar aku dengar kau merungut lagi. Mereka tu tak nampak kita macam manusia. Mereka boleh hapuskan kita dengan senang macam pijak semut saja, tahu! Lebih baik kau ingat tu."

Sion menarik nafasnya dan merenung wajah Nezumi. Kata-katanya itu kini bagaikan serpihan-serpihan puzzle yang mulai bercantum.

Hak? Awak ingat awak ada semua tu? 

Pegawai Penyiasat Biro Sekuriti yang bernama Rashi pernah berkata begitu padanya. Apa yang lelaki itu maksudkan ialah, dia dapat menghapuskan Sion dengan senang seperti memijak serangga sahaja. Menghapuskan kewujudannya dari muka bumi ini.

"Keluar." Nezumi membuka pintu. "Kita akan berjalan dari sini."

Selepas mereka turun, trak itu bersama-sama Ippo berpatah balik ke Pejabat Pengurusan Taman dan bergerak melalui laluan yang dilalui mereka tadi melalui sistem pemanduan auto.

Sion dan Nezumi kini berada di dalam sebuah kilang pemprosesan bahan-bahan buangan. Kesemua sampah sarap yang dikumpulakn di Bandar akan dibawa ke sini samada akan diproses menjadi Refuse-derived Fuel (RDF)* atau dihantar ke pusat kitar semula yang lain ataupun akan terus dibuang sebagai bahan buangan. 80% sumber tenaga di No. 6 menggunakan tenaga solar. Di Chronos, setiap rumah akan dilengkapkan dengan panel solar sendiri manakala di Lost Town pula, penduduknya lebih gemar menggunakan RDF kerana kosnya lebih murah.

"Aku dah faham sekarang. Kalau kita masuk ke kilang memproses bahan buangan, taklah pelik sangat kalau kita bawa robot pembersihan.Nezumi, kau memang dah rancang semua ni dari awal lagi ke?"

"Tanya soalan lagi?" Bahu Nezumi membongkok sedikit namun dia masih membelakangkan Sion yang mengekorinya dari belakang. Sion kemudian mula menyedari yang seekor tikus kecil berwarna kelabu sedang duduk di atas bahu Nezumi. 

"Kalau aku bawa robot tu, taklah mencurigakan sangat kalau memandu dalam bandar. Mereka takkan tangkap aku asalkan aku terus pandu sampai ke tempat ni. Trak pengangkut memang lembab, buat aku rasa nak marah saja. Tapi, nasib baik juga lelaki-lelaki tadi bawa kau balik ke Lost Town sekejap. Jadi aku ada sedikit masa. Tapi..."

"Tapi?"

"Tapi, kalau boleh aku nak lari dengan kereta Biro Sekuriti." Nezumi mengeluh. "Hmm.. itu menunjukkan kita takkan boleh buat semua seperti yang dirancangkan. Kita mesti hati-hati sebab perjalanan kita akan lebih susah lepas ni."

"Huh?"

Kedengaran satu letupan besar di belakang mereka membuatkan kedua-dua mereka menoleh. Asap putih naik berkepul-kepul di udara.

"Trak tu dah diletupkan berdekatan dengan pintu pagar." Kata Nezumi.

"Maksudnya, cip Ippo dah diimbas dan - "

"Ya. Mereka mesti dah arahkan ia diletupkan di semua pintu. Mereka dah tahu rancangan kita sebab kita tinggalkan robot yang satu lagi tu."

- Jadi, Ippo dan Sampo dah musnah.

Pergelangan tangan Sion dicekak secara tiba-tiba.

"Mereka akan jumpa kita nanti. Kita kena lari sekarang. Cepat."

Pegangan Nezumi itu amat kuat dan kejap hingga jari jemari Son terasa kebas.

"Nezumi, sakitlah."

"Diam. Jalan dekat dengan aku."

"Aku tahulah. Lepaskan tangan aku. Nanti tangan aku patah."

Dia mendengar Nezumi membunyikan lidahnya, tsk dengan marah.

"Itulah masalahnya dengan budak kecik yang lembut macam kau ni."

"Aku bukan budak kecil yang lembutlah." Kata Sion cuba menidakkan kata-kata Nezumi. "Aku dah berbeza dari 4 tahun lalu."

"Ye ke? Kau tahu tak, kau ni memang buat aku sakit hati juga kadang-kadang. Kau faham tak situasi kau sekarang ni? Kau boleh mati bila-bila masa saja, tahu tak?"

"Faham."

"Bohong."

"Aku tak bohonglah."

Nada suara Nezumi semakin keras. "Habis tu, kenapa kau buat muka macam tadi, huh? Takkanlah kau rasa kesian pada robot-robot tu pulak? Kau tu sebenarnya langsung tak faham apa-apa." Jari Nezumi semakin dalam di kulit Sion. Pegangannya semakin kuat dan semakin menyakitkan, namun Sion hanya mendiamkan diri, mengetap giginya menahan rasa sakit dengan senyap.

Tangan Nezumi akhirnya terlerai dari pergelangan tangannya.

"Ikut rentak aku kalau kau tak nak mati. Jangan berjauhan dengan aku walau apa pun berlaku." Nezumi mula mengatur langkah laju, berlari. Kilang bahan buangan itu memang sebuah kilang terbiar. Walaupun kamera-kamera pengawasan dipasang namun kebanyakannya adalah model lama yang tidak begitu efektif. Sion mengagak yang tiada sesiapa pun akan menyangka yang kawasan itu akan dipecah masuk, sebab itulah pengawasan di situ amat longgar. Walaubagaimanapun, Nezumi kelihatan begitu berwaspada mencari-cari laluan di dalam titik buta kamera pengawasan.

Dari jauh, mereka dapat mendengar mesin pelupusan bahan buangan bersaiz besar mengeluarkan bunyi perlahan. Bahan-bahan yang tidak dapat dikitar semula akan dilupuskan di sini. Air kumbahan juga menitis dari mesin-mesin itu ke dalam kolam di bawahnya, yang mengalir perlahan-lahan ke pusat penapisan di luar kilang. Airnya dalam dan kotor seperti sungai yang hampir melimpah selepas hujan lebat. Namun, tiada hidupan di dasar 'sungai' ini. Sebaik sahaja mereka menuruni tangga mendekati air itu, bau busuk mula menyengat nostril Sion lalu dia pantas menutup hidungnya. Lantainya sedikit licin dan berlumut, membahayakan mereka jika tidak berhati-hati. Nezumi berhenti sebelum melemparkan sesuatu kepada Sion.

"Goggle?"

"Ya. Yang ni ada pengesan infrared, jadi kau boleh tengok dalam air."

"Air?"

Nezumi menuding jari ke dalam air kumbahan itu. "Kau suka menyelam tak?"

"Jadi, kita kena menyelam dalam ni, huh..."

"Ya."

Sion menarik nafas panjang memenuhkan peparunya dengan udara yang bercampur bau yang tidak menyenangkan itu. Tanpa banyak cakap, dia mengenakan goggle itu di matanya.

"Wow, kau memang dah dengar cakap sekarang." Nezumi tersengih. "Aku ingatkan kau akan buat muka masam dan hentak kaki ke lantai."

"Aku tak mahu mati," Sion berkata dengan tegas. "Aku takkan biarkan diri aku dipijak macam semut. Aku akan buat apa saja untuk selamatkan diri aku, termasuklah menyelam dalam air ni."

Nezumi menoleh memandangnya dan tersenyum sedikit.

"Kalau macam tu, ikut aku."

"Ya."

Bunyi mesin tiba-tiba berhenti diganti dengan bunyi beberapa tapak kaki yang didengari berhampiran mereka.

"Mereka dah datang." Nezumi mendepakan tangannya ke arah sungai kumbahan itu. Seekor tikus berlari di lengannya dan terjun ke dalam air. 

"Ikut tikus tu dan masuk dalam air perlahan-lahan."

Sion menurut kata Nezumi tanpa banyak soal. Dia menarik nafas panjang sebelum masuk ke dalam air. Sebelum kepalanya mencecah air, wajah ibunya mula terbayang-bayang di minda.

* RDF - tenaga yang dihasilkan dari bahan-bahan buangan pepejal dengan menggunakan teknologi waste converter. 

(bersambung di bab 4)